Monday, 2 January 2012

TEORI PSIKOANALITIK DAN TEORI PSIKOSOSIAL DALAM PRAKTIS KERJA SOSIAL

1.0  PENGENALAN
          Pada pertengahan abad ke-19, psikologi muncul sebagai displin ilmu yang berdiri dengan sendiri. Psikologi merupakan kajian tentang proses mental dan pemikiran, terutamanya berhubung dengan perlakuan manusia dan haiwan; pola pemikiran dan perlakuan seseorang atau sesuatu kumpulan tertentu; dan kebijaksanaan memahami sifat manusia. Jelas disini, psikologi berkaitan dengan perasaan, pemikiran, ramalan atau tindak balas manusia terhadap sesuatu sama ada di peringkat kesedaran atau tidak sedar. Di bawah konsep-konsep asas untuk menerangkan keadaan psikologi tertentu, muncullah pelbagai teori-teori yang dikemukakan oleh para sarjana misalnya teori psikoanalitik, teori psikososial, teori pembangunan kognitif dan sebagainya.
2.0  TEORI PSIKOANALITIK
          Teori ini diperkenalkan oleh Sigmund Freud yang berasal daripada Freiberg, Cekoslovakia. Selama 40 tahun beliau telah menyelidiki proses ketidaksedaran dengan metode asosiasi bebas dan mengembangkan teori-teori keperibadian yang komprehensif. Pemahaman Freud tentang keperibadian manusia diperoleh melalui penelitian terhadap pesakitnya sendiri, analisis mimpi-mimpi dan beliau banyak membaca buku-buku atau jurnal mengenai ilmu kemanusiaan. Teori ini akan dibahaskan berdasarkan empat konsep iaitu tahap-tahap aktiviti mental, bahagian-bahagian fikiran, kedinamikan keperibadian dan penelitian khas dan metod penelitian.
           Bahagian utama teori ini yang membincangkan tahap-tahap aktiviti mental dikemukakan oleh Frued diantara tahun 1890 hingga 1939. Pengalaman-pengalaman beliau dalam terapi memberi keyakinan bahawa ketidaksedaran merupakan faktor penentu tingkah laku yang penting dan dinamik. Dalam hubungan terapeutik, beliau mendapati bahawa kata-kata pesakitnya kebanyakan tidak tepat secara berulang misalnya waktu dan tempat. Teori ini menyimpulkan bahawa terdapat tahap-tahap pemikiran manusia iaitu ketidaksedaran, keprasedaran dan kesedaran. Ketidaksedaran merupakan sikap, perasaan, dan fikiran yang tidak mampu dikawal oleh kemahuan seseorang. Walaupun kita menyedari tinglah laku atau perbuatan, kita sering tidak menyedari proses mental yang berada di sebalik tingkah laku tersebut. Misalnya jika seseorang individu bergaduh, ia tidak sedar sepenuhnya tujuan dan keadaan ketika pergaduhan itu berlaku, sesuatu yang kelihatan irasional.
          Tahap keprasedaran pula bermaksud persepsi atau keadaan yang hanya sedar untuk sementara waktu. Fikiran-fikiran yang cepat berubah diantara sedar dan tidak sedar ini umumnya bebas daripada kecemasan dan dalam setiap percakapannya akan didorong oleh gambaran-gambaran yang tidak sedar. Namun, teori ini hanya menekankan setiap keadaan yang berlaku dalam tindakan dan fikiran manusia berpunca daripada alam tidak sedar.
          Fikiran di tahap kesedaran memainkan peranan yang sangat kecil dalam teori psikoanalitik dan dapat didefinisikan sebagai elemen-elemen mental dalam kesedaran pada saat tertentu. Kesedaran merupakan tahap secara lansung tersedia bagi kita. Fikiran-fikiran dapat mencapai kesedaran dari dua arah berbeza. Yang pertama dari sistem sedar perseptual yang diarahkan ke dunia luar dan bertindak sebagai medium persepsi terhadap stimulus-stimulus eksternal. Dengan kata lain, apa yang kita persepsikan melalui organ-organ pancaindera kita bila tidak terlalu mengancam akan memasuki kesedaran. Sumber kedua dari elemen-elemen sedar berasal dari dalam struktual mental dan meliputi fikiran-fikiran yang tidak mengancam dari alam prasedar. Walaubagaimanapun, Freud berhujah bahawa tahap kesedaran tidak akan berlaku dengan penuh, elemen prasedar akan menyusup masuk menyebabkan seseorang itu tetap akan berada di bawah tahap ketidaksedaran.


2.1  BAHAGIAN-BAHAGIAN PEMIKIRAN
          Pada awalnya, Freud memperkenalkan 2 model pemikiran manusia iaitu Model Neurologis dan Interpretation of Dream, namun kedua-dua model tersebut tidak berjaya untuk menghuraikan dengan jelas pengaruh-pengaruh dalam keperibadian. Kemudian Frued memperkenalkan suatu model struktual yang tidak lagi menggambarkan fungsi mental sebagai terdiri daripada subsistem-subsistem yang terpisah dan dibatasi secara kaku. Model ini menggambarkan fikiran manusia sebagai campuran-campuran atau gabungan dari kekuatan di mana bahagian-bahagian dari keperibadian juga dapat mengandungi keadaan tidak sedar. Egen terbaru ini dikenali sebagai Id, Ego dan Superego.
           Id merupakan sumber utama tenaga fisiologis yang terungkap pada dorongan-dorongan hidup dan mati. Id dipengaruhi oleh elemen-elemen yang sudah wujud sejak lahir dan dianggap primitif. Ia dominan pada awal kelahiran manusia iaitu ketika masih bayi. Pada ketika itu, bayi tidak dipengaruhi oleh ego dan superego. Ia bertindak mengikut gambaran-gambaran atau perasaan yang hadir berdasarkan apa yang dilihat. Pada ketika ini, dikatakan elemen psikik yang mempengaruhi tengkah laku manusia.
          Ketika individu mula meningkat dewasa, ego akan wujud untuk mengawal tingkah laku agar dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran. Ego sebenarnya hampir sama dengan id dimana keadaan mendesak mengikut kemahuan, namun apa yang membezakan ialah ego dipengaruhi oleh unsur rasional. Setiap kemahuan atau kehendak akan dipengaruhi oleh etika masyarakat yang sedia ada. Dengan itu ego beroperasi secara realistik, menggunakan pemikiran yang logik serta perancangan yang sesuai.
          Superego merupakan sumber asal suara hati iaitu kebolehan membezakan yang baik dengan yang buruk. Keadaan ini muncul bila kanak-kanak mula mempelajari peraturan yang digunakan ibu bapa untuk menginterpretasi jangkaan masyarakat. Secara evolusi kanak-kanak akhirnya membina set piawai dalamannya sendiri. Superego mengutamakan moral serta nilai yang menjadi unsur dalaman seseorang individu. Ia merupakan perkembangan hati nurani, penilaian betul atau salah dan baik atau jahat. Tahap superego merupakan tahap yang unggul. Menurut Frued lagi, masalah psikologikal sering berlaku apabila tiada keseimbangan antara id, ego dan superego. Rumusannya, seseorang yang mengalami desakan id yang kuat mencari kepuasan, sebaliknya seseorang yang mengalami desakan superego yang kuat mencari kesempurnaan.
3.0  TEORI PSIKOSOSIAL
Teori psikososial diperkenalkan oleh Eric Erickson yang berasal daripada Frankfurt, Jerman. Teori yang dikemukakan Erik Erickson merupakan salah satu teori yang memiliki pengaruh kuat dalam psikologi. Bersama dengan Sigmund Freud, Erickson mendapat posisi penting dalam psikologi. Hal ini kerana ia menjelaskan tahap perkembangan manusia mulai dari lahir sehingga kehidupan seterusnya. Selain itu Freud lebih banyak berbicara mengenai proses ketidaksedaran manusia, teori Erickson pula menghuraikan mengenai aspek kehidupan sosial dan fungsi budaya dianggap lebih realiti. Teori Erickson dikatakan sebagai salah satu teori yang sangat selektif kerena distrukturkan pada tiga elemen asas. Asas yang pertama ialah teorinya sangat representatif kerana memiliki kaitan dengan ego yang merupakan salah satu aspek yang mendekati keperibadian manusia. Kedua, menekankan betapa pentingnya perubahan yang terjadi pada setiap tahap perkembangan dalam lingkaran kehidupan, dan yang terakhir adalah menggambarkan secara eksplisit mengenai usahanya dalam mengabungkan pengertian sosial dan latar belakang yang dapat memberikan kekuatan serta kemajuan dalam perkembangan keperibadian didalam sebuah jangka hayat manusia. Terdapat 8 peringkat psikososial dalam teori ini yang saling berhubung kait antara satu sama lain.
          Tahap yang pertama ialah ketika awal kelahiran bayi yang berumur sehingga 1 tahun dimana wujud keadaan mempercayai melawan tidak mempercayai. Perilaku bayi dipengaruhi oleh dorongan mempercayai atau tidak mempercayai orang-orang di sekitarnya. Dia sepenuhnya mempercayai orang tuanya, tetapi orang yang dianggap asing dia tidak akan mempercayainya. Oleh karena itu kadang-kadang bayi menangis apabila di pangku oleh orang yang tidak dikenalinya. Cara penjagaan ibu dan ayah pada ketika ini mempengaruhi kelakuan bayi dan memberikan sedikit keyakinan padanya untuk belajar kebaikan atau keburukan sesuatu keadaan.
          Tahap kedua pula ialah perkembangan kepercayaan berdikari atau lawannya malu serta ragu-ragu yang berlaku ketika bayi berumur 18 bulan sehingga 3 atau 4 tahun. Pada usia ini menurut Erikson bayi mulai belajar untuk mengawal tubuhnya, sehingga melalui masa ini akan nampak suatu usaha atau perjuangan anak terhadap pengalaman-pengalaman  baru yang berorientasi pada suatu tindakan atau kegiatan  yang dapat menyebabkan adanya sikap untuk mengawal diri sendiri dan juga untuk menerima mengawal dari orang lain. Kanak-kanak ketika ini perlu dikawal dan dibentuk caranya, jika keberanian mampu mengawal perasaan ragu-ragu dan malu, mereka akan mencapai tahap berdikari.
          Tahap seterusnya ialah inisiatif ataupun rasa bersalah yang berlaku diantara umur 4 hingga 6 tahun. Pada masa ini anak telah memiliki beberapa kecekapan, dan dengan kecekapan-kecekapan tersebut dia terdorong untuk  melakukan beberapa kegiatan, tetapi karena kemampuan anak tersebut masih terbatas adakalanya dia mengalami kegagalan. Kegagalan-kegagalan tersebut menyebabkan dia memiliki perasaan bersalah, dan untuk sementara waktu dia tidak mahu berinisatif atau atau mengulanginya lagi. Oleh kerana itu, rangakaian kata yang tepat untuk menggambarkan umur kanak-kanak ketik ini ialah  keberanian, kemampuan untuk bertindak dan pemahaman mengenai keterbatasan dan kesalahan yang pernah dilakukan sebelumnya.
          Peringkat keempat pula ialah ketekunan atau kerendahan diri yang terjadi pada usia kanak-kanak di sekolah antara umur 6 sehingga 12 tahun. Salah satu tugas yang diperlukan dalam tahap ini ialah adalah dengan mengembangkan kemampuan bekerja keras dan menghindari perasaan rasa rendah diri. Saat berada lingkungan umur ini interaksi sosialnya bertambah luas dari lingkungan keluarga sampai ke sekolah, sehingga semua aspek memiliki peranan, misalnya orang tua harus selalu mendorong, guru harus memberi perhatian, teman harus menerima kehadirannya, dan sebagainya. Kanak-kanak akan belajar mengikut dan menghormati etika masyarakat yang sedia ada namun ia perlu dorongan yang utuh daripada keluarga.
          Selepas usia mencapai 12 hingga 20 tahun, remaja akan mula mencari identiti dan bingung dengan peranan sendiri. Pada usia ini, remaja akan mula mencari dan mengenal identiti sendiri agar tidak tercelaru. Pengaruh rakan sebaya atau orang berpengaruh pada ketika ini amat mendorong pembentukan identiti remaja. Oleh itu, keluarga berperanan membantu remaja mengenali identiti anaknya agar tidak terpengaruh dengan unsur kurang elok.
          Mengikut Erickson, tahap keenam individu bermula dari umur 20 hingga 30 tahun iaitu tahap kedewasaan. Pada tahap ini, individu akan mula memikirkan soal pasangan dan mula menghindari rakan sebaya walaupun bukan secara mutlak. Mereka mula mencari keserasian yakni percintaan namun bimbingan yang wajar harus diberikan agar ia tidak mengalami kecelaruan perasaan misalnya jatuh cinta sesama jantina atau homoseksual. Wujud dua keadaan dalam peringkat ini iaitu adanya afiliasi dan elitisme. Afilisiasi menunjukkan suatu sikap yang baik dengan mencerminkan sikap untuk mempertahankan cinta yang dibangunkan dengan sahabat, kekasih, dan lain-lain. Sedangkan elitisme menunjukkan sikap yang kurang terbuka dan selalu menaruh curiga terhadap orang lain.
          Tahap ketujuh dalam teori ini merujuk kepada umur di pertengahan dewasa iaitu sekitar 30 hingga 60 tahun. Pada tahap ini, individu sudah mempunyai nilai dan tanggungjawab yang harus dihadapi misalnya penjagaan keluarga dan sebagainya. , pada tahap ini individu telah mencapai puncak dari perkembangan segala kemampuannya. Pengetahuannya cukup luas, kecekapannya yang banyak, sehingga perkembangan individu sangat pesat. Meskipun pengetahuan dan kecakapan individu sangat luas, tetapi dia tidak mungkin dapat menguasai segala macam ilmu dan kecekapan, sehingga tetap pengetahuan dan kecakapannya terbatas. Untuk mengerjakan atau mencapai hal–hal tertentu sehingga maksimum ia mengalami sekatan.
          Integriti serta keputusan merupakan tahap terakhir di dalam teori ini yang berlaku di antara umur 60 hingga 65 tahun. Pada ketika ini, pengalaman-pengalaman masa lampau yang banyak akan menyebabkan seseorang individu itu berjaya mencapai keputusan yang baik di dalam setiap keinginannya namun bukan semuanya akan tercapai. Pada peringkat ini, kekecewaan dan kegembiraan mudah dirasai berdasarkan usaha yang dilakukan pada umur sebelumnya.
4.0 PERSAMAAN SERTA PERBEZAAN TEORI PSIKOANALITIK DAN PSIKOSOSIAL
          Teori yang diasaskan oleh Frued iaitu psikoanalitik dan teori yang diasakan oleh Erickson iaitu psikososial saling berkait rapat atau mempunyai persamaan antara satu sama lain. Persamaan yang pertama jelas dilihat pada pokok penghujahan yang bermula dari peringkat awal kehidupan manusia sehingga penghujung. Kedua-dua tokoh ini membahagikan peringkat perkembangan manusia dan setiap peringkat itu akan mempengaruhi tingkah laku individu. Oleh sebab itu, Erickson menerima gagasan-gagasan yang diutarakan oleh Freud mengenai berkaitan tahap ketidaksedaran yang berlaku dalam kalangan individu. Frued dan Erickson memegang kuat teori santifik iaitu Endegenous. Dalam teori ini,menghuraikan bagaimana perkembangan sebagai pola-pola pembukaan tetap dan tidak dapat diteluskan kepada persekitaran secara relatif. Teori yang disokong oleh dua tokoh ini menegaskan lagi kematangan biologi sebagai mekanisme perubahan perkembangan manusia.
          Oleh kerana Frued memegang konsep Freud di dalam teorinya, maka tidak banyak percanggahan berlaku diantara kedua-dua teori. Peringkat pertama yang diutarakan oleh Erickson selari dengan apa yang diutarakan oleh Freud namun teori psikoanalitik hanya menekankan penjagaan sebelum berumur 1 tahun. Hal ini berbeza dengan Erickson yang menekankan keperluan penjagaan berterusan bagi memenuhi keperluan asas individu. Di dalam penghuraian teori ini, Erickson lebih gemar melihat manusia dipengaruhi unsur ego yang kuat berbanding Freud unsur id.
          Kesimpulan kecil yang dapat dibuat, kedua-dua tokoh ini menerangkan mengenai konsep yang penting di dalam aspek psikologi. Unsur-unsur yang menerangkan peringkat pertumbuhan manusia sejak dari awal hingga akhir ditekankan di dalam kedua-dua teori ini. Tambahan lagi, teori psikososial dan psikoanalitik hampir sama kesemuanya yang membezakan hanya cara penghuraian dan konsep pemikiran relatif.
5.0  KESESUAIAN TEORI INI DENGAN PRAKTIS KERJA SOSIAL
          Dalam praktis kerja sosial, teori-teori yang dikemukakan oleh para sarjana amat penting untuk dipraktikkan terhadap klien atau pesakit. Teori-teori ini menggagaskan kaedah-kaedah, konsep, serta pemahaman yang lengkap mengenai perkembangan manusia baik dari segi luaran atau dalaman. Merujuk kepada teori psikoanalitik dan psikososial, pekerja sosial dapat memahami garis panduan untuk membantu klien-klien, pesakit, individu atau permasalahan yang berlaku misalnya kes buli, rogol, ketagihan dadah dan sebagainya. Selepas rujukan dan bacaan dibuat, didapati terdapat empat sumbangan terpenting yang menyesuaikan kedua-dua teori ini dengan praktis kerja sosial. Yang pertama ialah kehidupan mental individu boleh difahami dan pemahaman terhadap sifat manusia boleh berfungsi untuk meredakan penderitaan manusia. Kedua ialah tingkah laku yang diketahui sering ditentukan oleh faktor-faktor tidak sedar dan prasedar. Ketiga ialah perkembangan semasa kanak-kanak awal sangat berpengaruh terhadap keperibadian masa dewasa dan yang terakhir ialah pendekatan psikoanalitik dan psikososial telah memberikan cara-cara untuk mengetahui ketidaksedaran melalui asosiasi bebas, analisis mimpi, resistensi dan transferensi.
          Konklusinya berdasarkan kepada sumbangan-sumbangan tersebut, teori yang diimplementasikan ini berjaya membantu praktis kerja sosial seperti apa yang difahami kelaziman tugas pekerja sosial ialah membantu dan menyelesaikan permasalahan-permasalahan semasa.
6.0  KES BULI DI SEKOLAH
          Kes buli di sekolah bukanlah satu perkara asing dan sentiasa berlaku peningkatan dari semasa ke semasa. Namun terdapat juga kes buli yang tidak direkodkan oleh sekolah untuk menjaga nama baik dan reputasi sekolah tersebut. Dalam kajian untuk menangani kes buli di sekolah, terdapat pelbagai faktor yang harus dilihat dan difahami iaitu jenis tingkah laku buli, ciri-ciri individu yang bertingkah laku membuli dan dibuli, punca-punca kejadian buli, kesan tingkah laku buli terhadap pembuli dan mangsanya serta teori-teori pencegahan yang berkesan
untuk mengatasi masalah tingkah laku buli ini.
6.1  DEFINISI TINGKAH LAKU BULI
          Tingkah laku buli boleh ditunjukkan dalam pelbagai bentuk dan cara tanpa mengira jantina. Terdapat pelbagai definisi tentang tingkah laku buli diberikan oleh para sarjana. Definisi tingkah laku buli ini bergantung kepada budaya sesuatu masyarakat di mana satu tingkah laku buli itu mungkin dikatakan tingkah laku buli oleh satu masyarakat dan bagi masyarakat lain ianya bukan tingkah laku buli. Bagi masyarakat Melayu, panggilan nama atau gelaran yang tidak baik misalnya bukan satu tingkah laku buli, sebaliknya sebagai tingkah laku yang bersifat gurauan. Buli pada asasnya adalah penyalahgunaan kuasa. Ia adalah operasi
psikologikal atau fizikal yang berulang-ulang terhadap individu yang lemah oleh individu atau kumpulan yang lebih berkuasa. Apa yang penting dalam mendefinisikan tingkah laku buli ialah wujudnya ketidakseimbangan kuasa antara pembuli dan mangsa buli. Pembuli lebih berkuasa daripada mangsa buli.
         Dalam kes buli, tidak ada tindak balas daripada mangsa buli ketika kejadian buli. Jika ada tindak balas ketika kejadian buli, maka imbangan kuasa antara pembuli dan mangsa buli
wujud. Keadaan ini tidak lagi dikelaskan sebagai kejadian buli atau tingkah laku buli. Definisi tingkah laku buli yang paling banyak diterima pakai oleh para sarjana ialah definisi tingkah laku buli yang diberikan oleh Olweus yang menyatakan bahawa tingkah laku buli ialah tingkah laku agresif yang dilakukan secara berulang kali terhadap orang lain secara individu atau berkumpulan. Tingkah laku buli merupakan juga satu bentuk interaksi sosial di mana individu yang lebih dominan iaitu pembuli akan menunjukkan tingkah laku agresif yang cenderung menyebabkan ketidak selesaan kepada individu yang kurang dominan atau lemah
iaitu mangsa buli. Apa yang penting dalam mendefinisikan tingkah laku buli ialah tidak wujud imbangan kuasa di antara pembuli dan mangsa buli serta ianya berlaku secara berulang kali. Pembuli lebih berkuasa daripada mangsa buli. Tingkah laku buli tidak boleh digunakan untuk merujuk kepada konflik antara dua pelajar seperti bergaduh atau bertumbuk. Kenyataan ini disokong oleh Pepler dan Craig yang mendefinisikan tingkah laku buli sebagai perlakuan agresif yang dikategorikan sebagai ketidak imbangan kuasa antara pembuli dengan mangsa buli. Secara umumnya, perlakuan buli bolehlah didefinisikan sebagai satu perbuatan negatif oleh seseorang yang lebih kuat atau berkuasa terhadap orang lain yang lebih lemah atau kurang berkuasa secara berulang-ulang kali. Aspek-aspek umum dalam mendefinisikan tingkah laku buli dalam kajian ini meliputi aspek kekuasaan sosial yang ingin dimiliki oleh pembuli terhadap mangsanya. Ini disebabkan oleh ketidakupayaan mangsa buli untuk berinteraksi dengan persekitaran rakan sebayanya dan ini akan menyebabkan mereka terdedah
dengan tingkah laku negatif seperti tingkah laku buli.
6.2  JENIS TINGKAH LAKU BULI
        Secara umumnya, terdapat tiga jenis tingkah laku buli yang terdapat dalam kalangan pembuli iaitu fizikal, verbal dan antisosial. Jenis tingkah laku buli fizikal, verbal dan anti sosial termasuklah tindakan-tindakan seperti mengejek, pemulauan dan memukul. Tingkah laku buli fizikal dan verbal merujuk kepada tingkah laku buli secara langsung. Tingkah laku buli anti sosial pula merujuk kepada tingkah laku buli secara tidak langsung. Definisi yang dinyatakan di atas mempunyai persamaan dengan definisi olehConnel dan Farrington, 1996; Espelage et al. (2000) iaitu jenis tingkah laku buli termasuklah serangan fizikal seperti menumbuk, menendang dan menolak. Jenis tingkah laku buli verbal adalah seperti cemuhan, hinaan, panggilan nama, ejekan dan ugutan, manakala jenis tingkah laku buli antisosial (secara psikologi) seperti pemulauan, menyebabkan gossip dan memanipulasikan hubungan sosial. Terdapat sedikit perbezaan jenis tingkah laku buli yang diberikan oleh Elliot dimana tingkah laku buli diklasifikasikan kepada dua iaitu fizikal dan verbal. Jenis tingkah laku buli fizikal dan verbal pula dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu secara langsung dan tidak langsung. Jenis tingkah laku buli fizikal secara langsung ialah serangan secara fizikal seperti menumbuk dan mencederakan orang lain, manakala tingkah laku buli verbal secara langsung ialah deraan verbal seperti ejekan dan kutukan. Jenis tingkah laku buli fizikal secara tidak langsung ialah merosakkan harta benda, aktiviti pemulauan dan penyisihan, manakala tingkah laku verbal secara tidak langsung ialah menyebarkan fitnah atau gosip dan memperkecil-kecilkan mangsa buli. Jenis tingkah laku buli yang paling kerap dilaporkan adalah mencemuh dan panggilan nama, diikuti oleh memukul, menyepak dan ancaman-ancaman lain. Manakala gangguan verbal merupakan bentuk tingkah laku buli yang paling biasa dalam kalangan pelajar lelaki dan pelajar wanita.
          Kajian yang dijalankan oleh Dawkins (1995) berkaitan jenis tingkah laku buli di sekolah-sekolah mendapati bahawa jenis tingkah laku buli lazimnya dilaporkan oleh para pelajar adalah mencemuh dan panggilan nama. Terdapat perkaitan yang kuat antara panggilan nama dengan tingkah laku buli secara verbal dan pengalaman tersebut merupakan pengalaman yang negatif atau menyakitkan. Kandungan biasa nama-nama panggilan banyak dirujuk kepada penampilan fizikal, mempermainkan nama seseorang dengan merujuk kepada nama binatang dan mencemuh. Menurut kajian Boulton, Trueman dan Flemington (2002), didapati bahawa serangan verbal secara langsung merupakan jenis tingkah laku buli yang paling kerap dilaporkan manakala mencuri (jenis tingkah laku buli fizikal ) merupakan jenis tingkah laku buli yang paling kurang dilaporkan. Murid tahun 9 adalah yang paling kurang melaporkan bahawa mereka melakukan tingkah laku buli sejak beberapa minggu kebelakangan berbanding murid-murid yang lain. Tidak wujud perbezaan jantina yang signifikan dalam penilaian kajian ini. Kebanyakkan murid-murid menganggap bahawa enam jenis tingkah laku yang dianggap perlakuan buli oleh penyelidik itu betul dan sebahagian kecil lagi menganggapnya bukan. Kajian perbandingan mengenai tingkah laku buli dalam kalangan remaja dan pesalah juvana telah dilakukan oleh Ireland (2002). Dapatan kajian mendapati bahawa remaja dilihat mempunyai kekerapan tingkah laku buli yang tinggi berbanding pesalah juvana. Remaja juga didapati lebih signifikan terlibat dalam jenis tingkah laku buli secara fizikal, psikologikal, atau verbal dan keseluruhan bentuk tingkah laku buli secara langsung berbanding dengan pesalah juvana.
           Kesimpulannya, jenis tingkah laku buli sama ada dalam bentuk fizikal, verbal dan antisosial boleh menyebabkan kecederaan atau ketidak selesaan atau kesakitan ke atas individu lain iaitu mangsa buli sama ada secara fizikal mahupun emosi.
6.3  PUNCA TINGKAH LAKU BULI
         Tingkah laku buli merupakan tingkah laku yang kompleks. Remaja tidak dilahirkan sebagai pembuli. Tingkah laku buli juga tidak diajar secara langsung kepada remaja. Kajian-kajian semasa mendapati bahawa percampuran individu, sosial dan risiko persekitaran merupakan antara punca tingkah laku buli berlaku. Walaubagaimanapun, terdapat pelbagai punca lain yang dikenal pasti mempengaruhi seseorang kanak-kanak untuk membuli. Punca-punca ini termasuklah faktor biologi dan perangai, pengaruh keluarga, rakan dan persekitaran.
Faktor membalas dendam merupakan salah satu punca yang menyebabkan berlakunya tingkah laku buli. Beberapa kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa pembuli mungkin berasal daripada mangsa yang pernah mengalami perlakuan ganas atau deraan. Tindakan
mereka membuli adalah bertujuan untuk membalas dendam. Pembuli menjadi lebih popular dan terkenal dalam kalangan rakan sebaya. Dalam kebanyakkan situasi buli, saksi ataupun rakan sebaya yang melihat tingkah laku buli dilakukan lazimnya akan mengambil sikap berdiam diri dan enggan campur tangan. Mereka beranggapan bahawa jika mereka campur tangan atau memberitahu orang lain tentang tingkah laku buli yang disaksikan, mereka akan mengundang tindak balas atau bencana yang lebih buruk terhadap diri mereka sendiri dan juga mangsa buli. Kegagalan untuk bertindak atau melaporkan kes buli ini akhirnya akan mengukuhkan tingkah laku pembuli serta terus membiarkan tingkah laku buli dilakukan sewenang-wenangnya. Punca berlakunya tingkah laku buli dalam kalangan remaja juga berkaitan dengan kawalan kendiri yang rendah.
          Kajian tentang pengaruh kawalan kendiri yang rendah dan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) terhadap tingkah laku buli dan mangsa buli mendapati bahawa kawalan kendiri mempengaruhi mangsa buli melalui interaksi dengan jantina, ukuran saiz fizikal dan kekuatan. Kawalan diri yang rendah dan wujudnya ADHD menjadi faktor untuk membuli dan menjadi mangsa buli. Rakan sebaya memainkan peranan yang tidak kurang penting terhadap perkembangan dan pengekalan tingkah laku buli, sikap anti sosial dan salah laku lain dalam kalangan kanak-kanak. Kehadiran rakan sebaya sebagai pemerhati secara tidak langsung membantu pembuli memperolehi kuasa, populariti dan status. Pembuli secara tidak langsung mencapai kesedaran tentang kuasa dan menerima pengukuhan sosial melalui rakan sebaya terhadap tingkah laku buli yang mereka lakukan terhadap mangsa. Latar belakang keluarga juga merupakan salah satu faktor utama dalam membentuk punca tingkah laku buli. Ibu bapa yang sering bertelagah, cenderung untuk mempunyai anak-anak yang mempunyai risiko untuk menjadi lebih agresif. Penggunaan kekerasan dan tindakan-tindakan yang keterlaluan dalam usaha untuk mendisiplinkan kanak-kanak oleh ibu bapa, penjaga dan guru secara tidak langsung boleh menggalakkan tingkah laku buli dalam kalangan kanak-kanak. Keganasan rumah tangga yang berlaku turut menjejaskan mental remaja kerana mereka membesar dalam dunia yang penuh keganasan. Justeru itu, secara tidak langsung ianya akan mempengaruhi mental remaja agar mengikut jejak langkah bapa yang sering melakukan keganasan terhadap ibu mereka termasuk mengeluarkan kata-kata kesat. Remaja akan merasakan keganasan itu adalah sesuatu yang normal. Ini akan menjadikan mereka membesar menjadi remaja yang liar. Farrington menyatakan bahawa pembuli mungkin wujud dalam kalangan keluarga yang mempunyai bapa yang ada sifat pembuli. Latar belakang keluarga yang mempunyai berbagai-bagai masalah seperti kurangnya interaksi prososial, pengukuhan terhadap tingkah laku agresif, ketidak tekalan serta kaedah disiplin yang lemah telah mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak untuk menjadikan ia seorang pembuli.
          Kanak-kanak yang kurang mendapat kasih sayang, didikan yang sempurna dan pengukuhan positif lazimnya akan menjadi pembuli. Mereka akan menjadi kanak-kanak yang bersikap pemarah dan lebih agresif berbanding kanak-kanak lain yang sebaya. Tindakan ahli keluarga yang secara keterlaluan mendera sama ada secara verbal atau fizikal akan mengajar kanak-kanak tersebut bahawa tingkah laku ganas dan agresif merupakan tingkah laku yang paling sesuai dan efektif bagai mencapai sesuatu matlamat. Kanak-kanak tersebut belajar bahawa tindakan menentang adalah cara bagi mereka untuk menyelesaikan masalah. Paparan aksi dan tingkah laku ganas yang sering dipaparkan di kaca televisyen dan media-media elektronik mempengaruhi tingkah laku ganas kanak-kanak dan para remaja. Ianya mungkin secara khusus berlaku kepada mereka yang mempunyai masalah kawalan tingkah laku, emosi dan pembelajaran. Imej dan makumat media yang memaparkan keganasan dan tingkah laku buruk akan menyumbang kepada tanggapan yang menyifatkan bahawa tingkah laku buli adalah tingkah laku yang diterima, popular dan menghiburkan. Kanak-kanak yang terdedah kepada tingkah laku dan aksi ganas akan belajar menerima keganasan dalam kehidupan seharian mereka. Mereka seterusnya akan membentuk sikap yang positif terhadap penggunaan kekerasan dan akhirnya gagal untuk menyedari kesan-kesan negatif akibat daripada tingkah laku ganas tersebut. Mereka lazimnya akan melihat tingkah laku dan aksi ganas sebagai sumber status sosial atau cara yang efektif untuk menyelesaikan masalah. Persekitaran dan budaya sekolah turut mempengaruhi interaksi, aktiviti dan tingkah laku pelajar di sekolah. Pengurusan serta pengawasan disiplin sekolah yang lemah akan mengakibatkan wujudnya tingkah laku buli di sekolah. Tingkah laku buli juga berpotensi untuk wujud dalam kalangan pelajar akibat daripada keadaan kelas yang sesak serta kekurangan guru di sekolah akan menyebabkan pelajar tidak dapat diselia dan dikawal dan akhirnya akan menjadi penyumbang kepada berlakunya tingkah laku buli dalam kalangan pelajar di sekolah.
          Kesimpulannya, punca berlakunya kejadian tingkah laku buli adalah disebabkan pengaruh rakan sebaya, keluarga, persekitaran dan budaya sekolah. Justeru itu, punca-punca ini perlu dikenal pasti agar gejala tingkah laku buli dapat dihapuskan.
6.4  CIRI-CIRI PEMBULI
          Tingkah laku buli merupakan satu bentuk interaksi sosial di mana pembuli yang lebih dominan akan menunjukkan tingkah laku agresif yang cenderung menyebabkan ketidakselesaan kepada individu yang kurang dominan atau lemah iaitu mangsa buli. Kebanyakan pembuli mempunyai fizikal yang kuat, bertubuh tegap dan berkuasa manakala mangsa buli memiliki ciri-ciri yang sebaliknya. Justeru itu, pembuli biasanya lebih agresif, mempunyai fizikal yang lebih kuat dan lebih besar berbanding mangsa. Pembuli biasanya akan bertindak agresif dengan menggunakan kelebihan fizikal mereka yang lebih kuat dan lebih besar berbanding mangsa buli yang mempunyai fizikal yang lemah, lebih kecil dan tidak berkuasa.
           Para pengkaji juga mendapati pembuli mempunyai tahap psikososial yang rendah.    Kebanyakan kes itu dikatakan berpunca daripada sikap remaja sendiri yang terlalu mengikut gelodak jiwa, yang sering dianggap suka memberontak, tinggi sifat ingin tahunya hingga kadang kala membelakangkan peraturan. Pembuli-pembuli juga cenderung untuk menganggap bahawa dirinya sentiasa diancam dalam bahaya. Mereka akan bertindak menyerang sebelum diserang sebagai justifikasi dan sokongan terhadap tingkah laku agresif yang telah dilakukan. Pembuli-pembuli lazimnya adalah terdiri daripada mereka yang secara fizikalnya kuat dan penghargaan kendiri yang baik dan berkembang. Mereka tidak mempunyai rasa tanggungjawab terhadap tindakan yang telah mereka lakukan, sering berasa ingin mengawal dan mendominasi serta tidak mampu memahami dan menghargai orang lain.
           Dapatlah disimpulkan bahawa pembuli akan menggunakan segala kelebihan fizikal dan mental yang ada bagi mendominasi persekitaran sosial terhadap rakan sebaya mereka.



6.5  CIRI-CIRI MANGSA BULI
        Tingkah laku buli ialah perbuatan menekan atau menindas sama ada secara fizikal atau psikologi oleh seseorang yang lebih berkuasa terhadap seseorang yang tidak berkuasa. Oleh itu, mangsa buli ialah orang yang dibuli iaitu orang yang menerima akibat atau kesan langsung daripada perbuatan atau tingkah laku buli. Mangsa buli juga orang yang kurang dominan dan lebih lemah daripada pembuli serta merupakan sasaran pembuli. Mangsa buli juga mempunyai ciri-ciri fizikal yang lemah. Pelajar atau individu yang mempunyai kekurangan dari segi ciri-ciri fizikal, tahap kebimbangan yang tinggi dan kemahiran sosial yang rendah berpotensi untuk dijadikan mangsa buli oleh rakan-rakan sebaya. Isu ketidakmampuan mangsa buli adalah berkait rapat dengan ketidakupayaan atau kekurangan mereka dari aspek fizikal dan psikologi, penyisihan sosial, keseorangan, rasa tidak selamat dan penghargaan kendiri yang lemah. Ciri-ciri ketidakupayaan dan kekurangan ini seolah-olah cermin yang menggambarkan mangsa buli. Oleh yang demikian, jika pembuli dikategorikan sebagai individu yang berkuasa maka mangsa buli pula dikategorikan sebagai individu yang tidak berdaya atau tidak berkuasa. Ciri-ciri seterusnya bagi mangsa buli adalah seperti yang dijelaskan oleh Olweus yang menyatakan bahawa terdapat mangsa-mangsa buli yang berkelakuan menyakitkan hati orang lain disekeliling mereka. Perlakuan mereka ini seterusnya mencetuskan provokasi terhadap orang lain disekeliling mereka dan akhirnya mencetuskan pula reaksi negatif daripada orang lain. Mangsa buli provokatif ini secara langsung akan mengumpan atau menarik perhatian pembuli untuk membuli mereka. Selain dari itu, mangsa buli juga sering membangkitkan kemarahan orang lain untuk membuli mereka dengan penggunaan kata-kata yang menyakitkan hati. Pelajar-pelajar ini juga dikatakan mempunyai sifat yang mudah bergaduh, pemarah, dan berkelakuan yang menjelikkan orang lain. Ciri-ciri mangsa buli seterusnya ialah mempunyai sikap suka menyendiri dan tidak mempunyai rakan untuk melindungi atau berkongsi masalah. Pelajar dalam kelompok ini merupakan pelajar yang disisihkan oleh orang lain. Dalam pelbagai kejadian buli, mangsa buli daripada kalangan pelajar yang suka menyendiri ini dianggap sebagai ‘mangsa buli harian’ oleh pembuli terutama sekali jika mangsa tersebut mudah menangis dan kurang melawan atau bertindak balas.
          Kesimpulannya, disebabkan mangsa buli mempunyai ciri-ciri fizikal yang lemah, maka mereka merupakan sasaran buli yang paling tidak selamat kepada pembuli. Secara umumnya kanak-kanak ini kurang berkeyakinan. Mereka mempunyai penghargaan kendiri yang rendah dan sering menganggap diri mereka sebagai individu yang tidak dapat menyesuaikan diri, tertekan dan sentiasa dalam kebimbangan.
6.6  KESAN TINGKAH LAKU BULI
          Tingkah laku buli memberi kesan secara fizikal dan mental terhadap pembuli dan mangsa buli. Mangsa buli melaporkan bahawa mereka merasa amat marah dan hilang harga diri masing-masing selepas kejadian dibuli. Mangsa buli merasakan demikian kerana ketidaksanggupan dan ketidakupayaan guru untuk melindungi mangsa terbabit. Mangsa buli lazimnya akan cenderung untuk ponteng sekolah, mengalami penghargaan kendiri yang rendah dan dalam kes-kes yang kronik, mereka akan lari dari rumah, bunuh diri atau membunuh pembuli. Perlakuan buli memberi kesan buruk terhadap mangsa buli dan juga pembuli. Kanak-kanak yang dikenal pasti sebagai pembuli adalah tiga kali ganda cenderung untuk melanggar undang-undang apabila mencapai umur 30 tahun. Mangsa buli akan menderita dari aspek sosial dan akademik dan ini akan mengakibatkan mereka memilih untuk bunuh diri dan ianya merupakan akibat yang paling kronik.
           Kesan tingkah laku buli terhadap mangsa buli di antaranya ialah cenderung untuk mengalami kerisauan, mereka membenci diri sendiri dan lebih suka memerap di rumah daripada pergi ke sekolah demi menjaga keselamatan diri masing-masing. Mangsa buli lazimnya akan menonjolkan ciri-ciri tingkah laku dalaman yang negatif seperti bersikap pasif, sensitif, pendiam, lemah dan tidak akan bertindak balas sekiranya diserang atau diganggu. Secara umumnya kanak-kanak ini kurang berkeyakinan. Mereka mempunyai penghargaan kendiri yang rendah dan seringmenganggap diri mereka sebagai individu yang tidak dapat menyesuaikan diri, tertekan dan sentiasa dalam kebimbangan.
         Kesimpulannya, tingkah laku buli memberi kesan negatif terhadap fizikal dan emosi pembuli dan mangsa buli. Kesan ini akan mempengaruhi perkembangan zaman remaja mereka yang sepatutnya penuh dengan keceriaan dan ketenangan.
7.0  TEORI PSIKOSOSIAL MERUJUK KES BULI
          Teori Psikososial Erik Erikson menyatakan bahawa tiap-tiap individu melalui 8 peringkat perkembangan yang dinamakan peringkat psikososial. Tiap-tiap peringkat digambarkan oleh pelbagai krisis psikologikal yang perlu diselesaikan oleh individu sebelum individu tersebut bergerak ke peringkat seterusnya. Jika individu menangani krisis tertentu dalam keadaan yang tidak sesuai, maka individu tersebut akan mengalami kesusahan untuk menangani krisis-krisis tersebut pada masa hadapan. Krisis identiti keremajaan (peringkat identiti dengan kekeliruan peranan) merupakan krisis yang paling penting (Erickson, 1963). Tubuh mengalami perubahan biologikal dan hormon yang menghasilkan naluri kesedaran kendiri. Remaja memperolehi kesegaran kesedaran terhadap diri mereka sebagai individu, rakan seksual, pekerja dan ibu bapa yang berkebolehan dan sebagai individu baru. Tarikan terhadap jantina berlawanan mula muncul semula. Pengharapan baru terhadap diri diadaptasikan. Imej-imej kendiri ini pada mulanya cenderung untuk menjadi fleksibel selalunya akan berubah mengikut masa, tempat dan situasi.
            Perkembangan ego pada ketika ini menyediakan remaja untuk menanggung beban identiti kendiri. Ibu bapa guru, rakan dan orang-orang terdekat dengan individu mempunyai pengaruh yang kuat dalam pembentukan identiti remaja. Remaja pada ketika itu berusaha untuk menyelesaikan krisis identiti mereka dengan menguji pelbagai peranan, nilai dan perhubungan. Perkembangan keremajaan menjadi sinonim dengan tugasan untuk membentuk pemilihan identiti kendiri yang unik. Jika remaja gagal dalam pembentukan identiti ini, maka akan wujudlah kekeliruan dan kekecewaan. Remaja yang tidak dapat menilai yang mana buruk atau baik, akan mula melakukan berbagai-bagai salah laku seperti melepak, gangsterism dan membuli. Remaja mungkin tidak mempunyai niat nilai sosial untuk mencapai imej positif melalui keupayaan dan pencapaian yang baik. Mereka akan mengarahkan penghargaan kendiri mereka dalam lingkungan kekuatan kuasa fizikal terhadap orang lain. Mengancam orang lain mungkin menjadi salah satu cara mengukuhkan identiti kendiri untuk memenuhi atau menampung kekecewaan dalam bidang yang lain.
          Semasa di peringkat sekolah rendah, apabila seorang guru berdepan dengan seorang murid yang mempunyai masalah ketidakpercayaan, guru harus menetapkan rutin bilik darjah yang berkala dan tetap. Pelajar harus dilayan dengan mesra agar mereka berasa selamat dan yakin dengan keadan sekeliling.
           Oleh hal yang demikian, pada peringkat awal dan keremajaan, ibu bapa haruslah membentuk identiti dan mengenal pasti permasalahan-permasalahan yang wujud dalam diri anak-anak. Semasa proses pembentukan identiti, ibu bapa tidak boleh membiarkan anak-anak mencari sendiri sebaliknya arahkan pembentukan identiti tersebut ke arah kebaikan kerana menurut Erikcson sendiri, proses kecelaruan identiti dari positif menyebabkan gejala-gejala buruk seperti buli berlaku.

8.0  TEORI PSIKOANALITIK MERUJUK KEPADA KES BULI
           Teori psikoanalitik melihat keagresifan adalah naluri semula jadi manusia dan ia tidak dapat dielakkan daripada realiti kehidupan manusia. Menurut teori psikoanalisis, struktur personaliti individu terdiri daripada id,ego dan superego. Pendorong kepada tingkah laku dan sifat keagresifan ialah id. Ego pula berfungsi sebagai pemikiran, persepsi dan kawalan motor yang akan menilai secara tepat keadaan persekitaran. Ego merupa pengimbang antara id dan superego. Dalam usaha untuk memenuhi fungsi adaptasi ini, ego mesti berupaya mengukuhkan penangguhan kepuasan impuls naluri daripada id. Untuk mempertahankan dirinya daripada impuls-impuls yang tidak dijangkakan, ego perlu membentuk mekanisma khusus yang dikenali sebagai mekanisma bela diri. Mekanisma-mekanisma ini termasuklah represi, penyingkiran dan pengukuhan pola-pola tingkah laku yang secara langsung bertentangan dengan keperluan tidak sedar. Perkembangan personaliti wujud melalui penempatan berperingkat `libido’ yang memberi tenaga kepada tubuh untuk menukarkannya kepada stimulasi. Ianya berfungsi sebagai penyebab utama aktiviti mental dan tingkah laku manusia dalam memburu keseronokan dan ketegangan. Konflik dalam kehidupan akan mewujudkan kebimbangan. Kebimbangan ini akan dihadapi oleh individu dengan menggunakan mekanisma bela diri. Pembuli lazimnya wujud daripada kalangan kanak-kanak atau pelajar yang mempunyai latar belakang keluarga yang bermasalah. Pembuli mungkin wujud dalam kalangan keluarga yang mempunyai bapa yang bersifat seorang pembuli. Latar belakang keluarga yang mempunyai pelbagai masalah seperti, kurangnya interaksi prososial, pengukuhan terhadap tingkah laku agresif, ketidaktekalan serta kaedah disiplin yang lemah mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak untuk menjadi pembuli. Pengalaman lampau sebagai mangsa buli akan menyebabkan kanak-kanak tersebut bertindak untuk membuli orang lain sebagai mekanisma bela dirinya untuk merasai dirinya adalah individu yang berkuasa.
          Sejak peringkat awal perkembangan kanak-kanak, ibu bapa harus menunjukkan suasana yang positif dan agar kanak-kanak melihat keadaan toleransi dan kasih sayang. Oleh sebab itulah, keseimbangan diantara id, ego dan superego penting kepada individu terutama remaja kerana peringkat keremajaan merupakan satu tahap yang penuh dengan konflik, tekanan dan cabaran.

9.0  KESIMPULAN
            Teori psikoanalitik dan psikososial jika difahami dan dihayati mampu untuk membentuk peribadi, kelakuan atau tindakan seseorang ke arah yang positif. Perkara asas yang dibincangkan di dalam teori ini yang bermula sejak awal hingga akhir menceritakan bagaimana unsur-unsur yang mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak dan remaja. Untuk mengelakkan kes buli ini dari terus berlaku di sekolah, ibu bapa, guru-guru dan masyarakat seharusnya memahami kehendak dan tahap perkembangan kanak-kanak serta remaja.


 BIBLIOGRAFI
Calvin S.H. and Gardner. L.,1978, Theory of Personality, Santa Barbara: New York.

Djiwandono, S. E., 2003, Psikologi Pendidikan, PT Grasindo: Jakarta.

Fred Weinstein, 1931, Freud Psychoanalysis Social Theory, New York Press: Albany.

Greenberg, J. R., 1942, Object Relations in Psychoanalysis Theory, Library of Congress Cataloging in Publication Data: USA.

Routledge, 2005, Psychoanalytic Theory fo Social Work Practice, Oxford.

Semiun, Y., 2006, Teori Kepribadian dan Teori Psikoanalitik Frued, Kanisius: Yogyakarta.

No comments:

Post a Comment