1.0 PENGENALAN
Teori sejarah yang diperkenalkan oleh Karl Marx satu-satunya teori sejarah yang menekankan kajian tentang masyarakat sebagai inti kepada pemahaman perjalanan sejarah. Menurut Profesor E. J. Hobsbawm, aliran Marxis tentang sejarah kebendaan marupakan satu-satunya teori yang cuba menggubal satu pendekatan perkaedahan kepada sejarah secara keseluruhan.[1] Marx merupakan seorang ilmuwan yang bijak dan seringkali melibatkan diri dalam kegiatan revolusioner menyebabkan kebanyakan karya-karyanya tidak diterbitkan sehingga saat kematiannya seperti Das Kapital. Marx merupakan seorang yang menuntut keadilan semua masyarakat tanpa mempunyai sebarang kelas perbezaan, oleh sebab itu beliau menghabiskan banya masa untuk mengkaji dan membaca mengenai falsafah. Walaubagaimanapun, di dalam karyanya Poverty of Philosophy menggambarkan bahawa beliau orang mengenalinya sebagai ilmuan sosial berbanding ahli falsafah.[2]
Karl Marx banyak menghabiskan masa mengkaji karya-karya Hegel yang mengasaskan dialektik idealisme. Oleh sebab itu, wujud persamaan kedua-dua teori ini kerana Marx menggunakan triad dialektik juga cuma beliau mengadaptasikannya dalam konsep meterialisme.[3] Bagi Marx, segala perjalanan sejarah manusia didorong oleh faktor tuntutan untuk memenuhi keinginan, bukannya berpunca daripada idea seperti yang diketengahkan oleh Hegel. Walaubagaimanapun, ada kebenaran juga teori yang diasaskan oleh Marx kerana setiap manusia mempunyai nafsu keinginan, cara untuk memenuhi keinginan itu bergerak selaras dengan perjalanan sejarah sekaligus akan memantapkan penjelasan sejarah.
2.0 DIALEKTIK MATERIALISME
Merujuk kepada karya The German Ideology, Marx menyatakan bahawa tugas ahli sejarah ialah menegakkan kebenaran tentang dunia ini tanpa mengaitkan dengan unsur-unsur ketuhanan atau tahyul.[4] Menurut Marx, manusia mempunyai akal fikiran dan boleh mengesan keistimewaannya yang tersendiri. Berpandukan kepada keistimewaan ini, Marx menerangkan bahawa manusia akan membina kehidupan bersama sekaligus mencetuskan institusi-institusi seperti keluarga, masyarakat dan negara. Apabila manusia mula hidup berinstitusi, akan wujud keperluan-keperluan tertentu seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan berbagai lagi yang merupakan teras unsur ekonomi. Bagi Marx, hal ini adalah tindakan pertama sejarah dan merupakan hakikat, bukannya konsep tahyul atau rekaan. Di dalam karyanya A Contribution to the Critique of Political Economy, Marx mengenal pasti empat zaman di dalam kemajuan pembentukan ekonomi masyarakat iaitu Asiatik, Silam, Feudal dan Berjouis Moden yang masing-masing memiliki cara pengeluaran yang tersendiri, serta didukung oleh struktur kelas yang tersendiri.[5]
Bertolak daripada fahaman ini, Marx menghuraikan bagaimana perkembangan ini akan mewujudkan hubungan pengeluaran dan pemilikan harta. Kedua-dua aspek ini akan menimbulkan pertelingkahan dan perasaan ketidakpuasan hati sesama manusia. Institusi ekonomi juga akan menentukan pembentukan kelas masyarakat di mana kelas yang menguasai alat pengeluaran kebendaan akan berada di atas manakala kelas yang tidak berjaya menguasai alat pengeluaran akan tunduk kepada kelas yang berkuasa. Menurut Marx lagi, kapitalisme adalah tahap penindasan tertinggi kerana individu akan berlumba-lumba mengumpul kekayaan sehingga melupakan norma kehidupan. Marx juga menolak super struktur iaitu konsep idea-idea, institusi, agama dan sebagainya. Super struktur misalnya dari segi agama hanya rekaan semata-mata untuk menekankan orang bawahan agar tidak bangkit menentang golongan atasan misalnya di Eropah semasa penguasaan gereja. Bagi Marx, substruktur yang menggerakkan sejarah. Substruktur ialah hubungan pengeluaran yang mana ditekankan oleh Marx di mana sejarah harus dikaji mengenai perhubungan ekonomi bukannya idea-idea atau keagamaan seperti di dalam superstruktur.
Di dalam penjelasan sejarah, Marx menekankan dua ciri utama iaitu masalah alienation dan konsep dialektikal.[6] Masalah alienation berpunca sifat semulajadi manusia untuk bekerjasama supaya menghasilkan keperluan kebendaan dan sekatan akan dikenakan untuk mengehadkan keperluan itu. Sekatan ini bermaksud pengasingan yang dikenakan kepada individu terhadap hasil keluaran. Marx membuktikan hujah ini di dalam konsep kapitalisme moden di mana golongan bawahan dikerah tenaganya oleh golongan yang menguasai alat pengeluaran. Tenaga atau keringat golongan bawahan ini tidak lagi menjadi milik mereka namun dikuasai oleh kelas Borjuis misalnya di Eropah. Dalam hal ini, mereka bukannya bekerja secara sukarela tetapi dikerah dan dipaksa menyebabkan secara tidak lansung mereka akan terasing daripada golongan atasan. Ciri yang kedua pula iaitu konsep dialektikal sebenarnya diadaptasi daripada konsep Hegel iaitu percanggahan daripada init dan kewujudan. Proses dialektik ini berkembang dalam tiga peringkat yang disebut sebagai ‘triad’. Perkembangan triad ini berlaku secara dialektik bermula pada satu peringkat kepada satu peringkat yang lain bergerak daripada tesis, kemudian antitesis dan akhirnya sintesis. Oleh itu, jika tesis diumpamakan seperti peristiwa sejarah, maka akan muncul peristiwa yang bertentangan sehingga mewujudkan antitesis dan akhisnya sintesis iaitu penyatuan.[7]
3.0 PERINGKAT PERKEMBANGAN SEJARAH
Menurut Profesor Hobsbawm, teori meterialisme atau kebendaan ini telah berjaya mengasingkan sejarah daripada pemikiran tradisional yang dianjurkan oleh Ranke. Marx telah meletakkan satu garis panduan kajian saintifik yang lebih jelas berbanding Ranke yang dipengaruhi oleh konsep-konsep idealisme dan institusi. Pendapat ini disokong oleh J. S. Cohen yang menghujahkan bahawa teori Marx menyebabkan para pengkaji sejarah berubah kepada kajian sejarah ekonomi. Setiap zaman mempunyai satu identiti yang tersendiri yang mana penentuannya dipengaruhi oleh faktor penguasaan alat pengeluaran. Perre Anderson juga menyokong pendapat ini dengan merujuk kepada tokoh-tokoh komunis yang menggunakan teori Marx ini untuk menghapuskan penguasaan kelas borjuis. Tokoh-tokoh komunis awal yang mendukung teori Marx ini sebenarnya terlibat di dalam sejarah itu sendiri misalnya Tortsky yang mengarang The History of the Russian Revolution. Karya ini mengisahkan peristiwa-peristiwa yang berlaku sejak awal hingga ke akhir revolusi yang berlaku di Rusia pada tahun 1917. Oleh sebab itu, pada peringkat awal karya-karya yang dihasilkan Marx tidak diterbitkan secara meluas kerana penulisannya mampu memberi pengaruh yang besar ke atas golongan-golongan borjuis di Eropah. Seperti yang difahami, ajaran Marx yang menekankan konsep persamaan kelas tidak dapat diterima oleh golongan pemerintah di Eropah kerana bimbang kedudukan mereka akan diancam oelh golongan yang menyokong komunis. Oleh itu, pemerintah di Eropah berusaha sedaya upaya untuk menyekat fahaman Marxis ini agar tidak menular dalam kalangan golongan bawahan.
Walaubagaimanapun, menjelang tahun 1890-an teori Marx berjaya menarik minat ramai para ilmuan dan pengkaji sejarah seperti Benedetto Croce. Perkara utama yang menarik minat beliau adalah penerangan sejarah dari sudut pertentangan kelas dan juga konsep dialektik metarialisme. Namun pada akhirnya, beliau menolak sedikit konsep Marx kerana wujud ketidakwajaran di dalam aspek sejarah. Di Eropah pula, kebanyakan negara-negara sudah mula menerima pengaruh teori Marx misalnya di England sejak tahun 1910-an dalam kalangan ahli sejarah akademik. Pengkaji seperti C. Hill. Farrington telah menggunakan teori Marx di dalam sejarah Yunani dan Rom yang mana pemerintahnya mengamalkan gaya hidup mewah sekaligus menghidupkan jurang pemisahan yang besar diantara golongan pemerintah, bangsawan dan rakyat. Oleh sebab itu, keruntuhan tamdaun ini berlaku kerana timbulnya perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat dan hamba yang tertindas.[8]
Walau sebanyak mana tentangan dan kritikan terhadap teori Marx, ahli-ahli sejarah tidak berupaya untuk menolak hujahan Marx mengenai keperluan masyarakat untuk dijasikan perkara utama kajian sejarah. Marx menekankan bahawa kefahaman sejarah adalah melalui selok belok masyarakat bukannya negara kerana setiap pergerakan pensejarahan akan dimulakan oleh masyarakat. Pandangan ini telah menghapuskan keutuhan konsep Ranke yang menanggap sejarah dilihat melalui selok belok negara. Profesor H. Butterfield juga bersetuju dengan pandangan Marx yang menganjurkan satu garis panduan pensejarahan yang lebih tepat berbanding Ranke. Konsep gagasan asas yang merupakan jalinan diantara perundangan, politik, keagamaan dan sebagainya dikenali sebagai pendekatan structuralist. Menurut Profesor Momigliano, pendekatan ini menyebabkan teori Marx dapat diterima umum. Beliau juga menitikberatkan peranan idea-idea dalam penjelasan sejarah pada masa yang sama tidak menolak unsur ekonomi juga tidak boleh diketepikan.[9] Warisan Marx mengenai sejarah ekonomi telah memperkukuhkan tanggapan ahli sejarah bahawa sejarah sebagai satu proses ke arah penyempurnaan.
4.0 KRITIKAN TERHADAP TEORI MARXIS
Croce ialah seorang sejarawan Itali yang amat berminat dengan teori Marxis ini pada peringkat awalnya.[10] Beliau banyak membaca untuk memahami teori metarialisme ini sedalam mungkin, namun akhirnya beliau menolaknya kerana berpendapat bersifat saintifik dan mekanikal lantas tidak mempunyai nilai-nilai kemanusiaan dan akhlak. Bagi beliau, sejarah adalah kisah tentang kebebasan, semua sejarah adalah sejarah semasa, sejarawan tidak berdaya bersikap tidak berat sebelah dan pergerakan sejarah bermula daripada asas kemudiannya menyerap ke bawah, maka kebalikannya adalah mustahil. Croce sebenarnya bersependapat dengan E.H Carr mengenai ketidakupayaan ahli sejarah untuk bersikap tidak berat sebelah.
Teori Marx merupakan satu bentuk determenisme yang mana ia hanya menekankan faktor ekonomi sahaja yang menggerakkan sejarah. Marx meninggalkan kepentingan-kepentingan lain seperti peranan idea-idea, keagamaan, institusi dan sebagainya. Seharusnya, peranan idea tidak boleh dipisahkan kerana ia lahir semulajadi di dalam diri manusia, keinginan untuk menubuhkan atau menjadikan sesuatu merupakan pengaruh daripada idea-idea. Profesor Momigliano menyatakan bahawa tanggapan ini berpengkalan di Jerman seawal abad ke-19 kemudiannya telah merebak ke seluruh benua Eropah sehingga semua universiti mengakui keutuhan idea-idea sebagai penggerak sejarah.[11]
Oleh sebab itu, kebanyakan para sarjana tidak mengambil konsep Marx dengan tepat kerana terdapat juga kelemahan-kelemahan yang tersendiri. Hal ini kerana, di dalam aspek kajian sejarah, peranan idea selaras dengan perkembangan ekonomi sekaligus menyebabkan ianya tidak boleh dipisahkan.
5.0 KESIMPULAN
Secara asanya, memang ramai ahli sejarah yang menolak teori ini namun mereka sebenanrnya bersetuju tanpa sedar di dalam penulisan-penulisan mereka jika dikaji secara teliti. Menurut Hobsbawm, kebanyakan ahli sejarah terpengaruh dengan fahaman Marxis namun mereka hanya memilih idea-idea tertentu untuk menyempurnakan kajian mereka. Hal ini kerana, teori Marx bukanlah bersifat menyeluruh, ia sekadar kefahaman tentang sesuatu sejarah yang baru. Hal yang harus diakui oleh ahli-ahli sejarah, Marx merupakan seorang tokoh yang berjaya merungkaikan pensejarahan di luar pemikiran tradisional seperti Ranke. Profesor M.M Bober menyatakan bahawa teori Marx tetap memberi sumbangan penting kepada sains sosial yang menggugat kesahihan teori-teori sejarah lain yang hanya menekankan peranan tokoh, cita-cita wangsa, pengaruh geografi dan sebagainya.
Pengaruh Marx di dalam bidang pensejarahan terlalu tinggi sehingga menimbulkan pelbagai kesan seperti pengurangan bentuk penindasan golongan borjuis terhadap kelas bawahan. Pengaruh Marx juga meliputi hampir ke seluruh negara misalnya di Burma, yang mana fahaman Marxis ini diaplikasi oleh golongan muda untuk bangkit menentang pemerintah pada ketika itu. Bagi pandangan tersendiri pula, teori Marx ada benarnya juga berdasarkan konsep pembahagian kelas dan ketuhanan. Sebenarnya, kajian sejarah tidak seharusnya mengaitkan konsep ketuhanan kerana ia hanya rekaan semata-mata. Misalnya di Eropah ketika penguasaan golongan paderi, pentadbiran kerajaan menjadi lemah kerana semuanya tunduk pada kuasa gereja. Berbeza dengan Marx, beliau menggariskan satu panduan seperti A Kingdom of God without God yang mana masyarakat tidak mempunyai sebarang perbezaan kelas. Segala keuntungan dibahagi sama rata dan individu tidak lagi memiliki jentera pengeluaran sebal;iknya ia dimiliknegarakan. Walaupun hal ini sukar untuk dilakukan, tetapi jika ia berjaya dilakukan, konsep ini akan menyebabkan semua golongan berasa selesa tanpa sebarang penindasan dan pembolotan keuntungan.
Pendekatan Marxis sebenarnya berjaya memantapkan penjelasan sejarah pada ketika itu kerana konsep Ranke sebelum Marx jelas bersifat tradisional. Apabila Marx berjaya meletakkan satu garis panduan bagi kajian sejarah, sekaligus berjaya berhujah dengan membuktikan dengan kejadian-kejadian Eropah pada ketika itu, saya rasakan ia sudah cukup untuk memantapkan penjelasan sejarah.
6.0 BIBLIOGRAFI
Croce, B., Historical Materialisme and The Economics of Karl Marx, New Brunswick: Transaction Books.
Hobsbawm, E. J., ‘Karl Marx’s Contribution to Historiography’ dalam R. Blackburn, (e.d), Ideology in Social Sceince, Glasgow: Collins,. 1975.
Ibrahim, M. Yusof, Aspek dan Perkembangan Falsafah Sejarah Dunia Barat, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,. 1991.
Marwick, A., The Nature of History, London: Mcmillan Publisher Ltd., 1985.
Momigliano, A. D., Studies in Historiography, London: Weidenfeld and Nicolson,. 1969.
Russel, B. History of Western Philosophy, London: George Allen and Unwin Ltd., 1961.
Scruton, R., A Short Story of Modern Philosophy, London: New Fetter Lane,. 1981.
Suntharalingam, R., Pensejarahan Barat, Petaling Jaya: Fajar Bakti., 1987.
[1] E. J. Hobsbawm, 1984, Karl Marx’s Contribution to Historiography’ dalam Ideology In Social Science, R.Blackburn (e.d), Glasgow. Hlm. 265-283.
[7] Yusof Ibrahim, 1991, Aspek dan Perkembangan Falsafah Sejarah Dunia Barat, Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur. Hlm. 136.
[10] Yusof Ibrahim,1988, Sejarawan dan Pensejarahan, Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur. Hlm. 303.
terima kasih atas perkongsian. susah nak dapatkan bahan bacaan dalam bahasa melayu. (:
ReplyDelete