Monday 2 January 2012

PENDUDUKAN JEPUN DI TANAH MELAYU

PENGENALAN
Pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan Singapura pada tahun 1941 hingga 1945 meniggalkan pelbagai sejarah-sejarah yang tragis dan menyayat hati. Untuk kita merasai bagaimana pahit getir dan pengalaman semasa Jepun menjajah, memoir yang ditulis oleh mangsa yang mengalaminya cukup penting untuk dijadikan bahan kajian. Memoir A. Samad Ismail di Singapura mengisahkan sejarah hidup beliau semasa zaman pendudukan Jepun dan selepas kedatangan semula British. Pelbagai jenis dasar dan kesan semasa pendudukan Jepun diceritakan oleh beliau misalnya dalam aspek keganasan tentera Jepun, sikap dan situasi perubahan masyarakat dan dasar-dasar yang diamalkan oleh kerajaan Jepun.
Kajian ini akan menilai sama ada memoir beliau benar-benar fakta yang berlaku atau penulisannya dipengaruhi oleh prasangka buruk, dendam, tokok tambah dan sebagainya. Justeru, perbandingan akan dilakukan berasaskan memoir mangsa-mangsa lain, kajian-kajian ahli sejarah dan pendapat beberapa tokoh. Oleh hal yang demikian, kita dapat menilai kejituan dan ketepatan peristiwa yang digambarkan oleh A. Samad Ismail di dalam memoirnya.





DASAR ANTI CINA
            Sikap dan layanan askar Jepun terhadap orang-orang Cina bukanlah perkara biasa dan akal fikiran waras sudah tentu tidak dapat kita percayainya. Kezaliman tentera-tentera Jepun jelas diceritakan oelh semua pihak yang mengalaminya mahupun kajian-kajian para sarjana.  Memoir A. Samad Ismail menceritakan bagaimana di Jalan Besar, Singapura, kanak-kanak, lelaki dan perempuan dewasa dihimpunkan di suatu kawasan yang sekelilingnya dipagari dengan kawad berduri.[1] Mereka dikumpulkan dalam keadaan yang bersesak-sesak dan padat, sesetengahnya terpaksa berdiri di dalam parit-parit yang penuh dengan air sehingga paras leher.[2] Kekejaman tentera Jepun terhadap orang-orang Cina berlaku kerana mereka mahu menghapuskan anasir-anasir komunisme. Kekejaman tentera Jepun terhadap orang Cina lebih teruk selepas operasi Sook Ching dijalankan iaitu peristiwa pembunuhan orang Cina secara beramai-ramai. [3] Tidak cukup dengan itu, orang-orang Cina dituntut membayar wang pampasan kerugian sebanyak 50 juta ringgit sebagai bayaran hutang darah dan hukuman kerana menentang Jepun.[4]
            Ketegangan diantara orang Melayu, Cina dan India juga bermula hasil daripada dasar yang diamalkan oleh pihak Jepun. Layanan yang berbeza-beza berlaku kerana tentera Jepun memerlukan sokongan orang Melayu dan India untuk menentang British sekaligus menghapuskan orang-orang Cina.[5] Kerajaan Jepun juga menubuhkan beberapa skuad tentera untuk membantu menentang British serta menghapuskan anasir-anasir yang menentang Jepun misalnya orang Cina.[6] Kerajaan Jepun mewujudkan Jeikedan( Pasukan Pertahanan Awam), Tonarigumi ( Persatuan Kejiranan), Heiho ( Pasukan Sukarela Tambahan) dan Giguyun ( Pembela Tanah Air).[7] Jelas dilihat bagaimana kerajaan Jepun di Tanah Melayu dan Singapura mengamalkan dasar anti-Cina sekaligus mencerminkan kezaliman mereka terhadap orang Cina.
DASAR KAWALAN MEDIA
Untuk merealisasikan hasrat kerajaan Jepun untuk meraih sokongan rakyat di Asia, mereka bertindak dengan mengawal media-media yang mampu mempengaruhi pemikiran masyarakat. Selepas Jepun menguasai Singapura, akhbar pertama yang diterbitkan ialah Berita Malai dalam tulisan Rumi, akhbar gabungan daripada Warta Malaya dan Utusan Melayu.[8] Begitu juga dengan akhbar Straits Times ditukarkan kepada Syonan Shimbun bertujuan untuk menjadi alat propaganda Jepun agar masyarakat membenci British di Tanah Melayu dan Singapura manakala di Indonesia pula rakyatnya membenci Belanda.[9] Sebelum tulisan para pengarang disiarkan, seorang wakil Jepun iaitu censor akan meneliti setiap berita dan dengan kebenarannya sahaja artikel boleh disiarkan.[10]
Tentera Jepun membawa slogan seperti Asia untuk Asia dan Lingkungan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya dengan hal yang sama iaitu meraih sokongan masyarakat. Tentera Jepun menguasai minda rakyat melalui kawalan akhbar, slogan propaganda dan strategi-strategi yang memburukkan British.[11]
DASAR KESELAMATAN
Umum kita ketahui, selepas Jepun berjaya menguasai Tanah Melayu, Singapura dan Indonesia, mereka mengambil langkah berjaga-jaga dengan begitu ketet sekali. Segala alat perhubungan seperti radio diharamkan, segala jenis senjata termasuk parang panjang tidak dibenarkan sehingga pergerakan juga diperhatikan. Untuk pergi ke sesuatu tempat misalnya, seseorang itu perlu mempunyai surat rasmi dari tentera Jepun dan kain putih yang ditulis dalam bahasa Jepun untuk dililit di lengan sebagai surat izin untuk bebas berjalan. Jalan-jalan raya disekat dengan dawai-dawai berduri dan hampir setiap simpang jalan akan wujud tentera Jepun yang berkawal.[12] Sebuah risikan dibentuk iaitu Jikidan yang akan mengintip dan memasang telinga, sesiapa sahaja yang cuba untuk menentang Jepun, namanya akan disenarai hitam dan sudah tentunya hukuman bunuh sebagai penyelesaian.[13] Anggota khas iaitu Botai juga diwujudkan di setiap kampung-kampung untuk menangkap orang-orang Cina yang disyaki menentang menentang Jepun.[14]
Selain itu, polis yakni Kampetai bertugas untuk mengawal selia aktiviti-aktiviti penduduk dan kekuasaan mereka untuk menentukan hukuman juga besar misalnya ketika Tunkun Abdul Rahman menjadi Majistret, terdapat 36 orang tahanan di dalam penjara yang belum dibicarakan di atas kesalahan kecil. Sebaik sahaja mereka dilihat oleh Kampetai, mereka diheret keluar dari penjara, dipaksa untuk menggali kubur kemudiannya ditikam dengan bayonet sehingga mati.[15] Dasar keselamatan yang diamalkan oleh tentera Jepun sangat tidak berperikemanusiaan sehingga zaman ini boleh dikatakan ibarat telur di hujung tanduk, sesiapa sahaja yang disyaki menentang akan dibunuh.
DASAR PENTADBIRAN
Selepas berjaya mengalahkan British di Tanah Melayu di Singapura serta Belanda di Indonesia, keadaan masih kucar-kacir dan tidak terurus. Mayat-mayat orang British dan India bergelimpangan, bangkai kenderaan hangus dan sisa butir peluru berselerak di penjuru jalan.[16] Setiap jalan dan jambatan-jambatan akan dikawal oleh tentera Jepun dengan sangat keras. Di jambatan Kallang misalnya, beberapa kepala manusia dipacak untuk dipertontonkan kepada khalayak ramai kerana mereka membunuh seorang tentera Jepun. Sesiapa sahaja yang terserempak dengan tentera Jepun harus tunduk hormat dan sesiapa sahaja yang melanggar tatatertib akan ditampar, ditendang dan sebagainya.
Masalah kekurangan makanan menjadi isu besar ketika pemerintahan Jepun dan ada yang memanggilnya Zaman Ubi Kayu. Selepas Jepun berjaya menduduki Singapura, ladang getah dibersihkan untuk menanam sayur-sayuran terutama sekali ialah ubi kayu bagi menampung keperluan hidup.[17] Lot-lot tanah akan dibahagikan untuk jenis-jenis tanaman dan kebanyakan para petani terdiri daripada orang Melayu daripada Geylang Serai.
Sekolah-sekolah British dan sekolah aliran Cina juga dimansuhkan serta pengenalan silibus berdasarkan tetapan yang diletakkan oleh pentadbiran Jepun. Semua sekolah harus belajar bahasa Jepun, menghormati budaya dan mengagungkan Maharaja Jepun dengan cara menghadap matahari setiap kali waktu pagi. Kedatangan Jepun juga telah menyamaratakan penduduk kerana sesiapa sahaja yang boleh menguasai bahasa Jepun akan diberi keistimewaan dalam perkhidmatan awam dan sebagainya.[18]
Sebenarnya, kedatangan Jepun bukannya mahu memberi kemerdekaan kepada orang-orang Asia, namun keperluan sumber seperti getah, bijih timah, arang batu dan sebagainya yang menyebabkan mereka mahu menguasai seluruh Asia. Usaha Jepun untuk mengeksploitasi kekayaan sumber mengalami kesulitan kerana masalah peperangan yang berlanjutan dan banyak pertempuran berlaku hasil tentangan pihak Berikat. Dasar British sebelum tewas iaitu Dasar Bumi Hangus menyebabkan Jepun mengalami kesukaran kerana banyak peralatan,  bekalan minyak dan lombong-lombong dihancurkan. Tokoh penting yang membentuk formula pentadbiran ialah Kolonel Watanabe Wataru. Pada mulanya, Tanah Melayu dan Sumatera mempunyai pusat pentadbiran utama di Singapura, namun mulai bulan April 1943, Sumatera mempunyai pusat pentadbiran sendiri di Bukit Tinggi.[19]


KESAN TERHADAP EKONOMI
Pelbagai masalah timbul semasa Jepun memerintah di Singapura dan Tanah Melayu misalnya kewujudan pasaran-pasaran gelap di sepanjang kaki lima North Bridge Road dan Geylang Serai yang menjual barang-barang keperluan seperti pakaian, rokok dan sebagainya.[20] Hal ini berlaku kerana masalah kebuluran meningkat dalam kalangan penduduk, harga barang yang mahal dan sistem catuan makanan yang diamalkan oleh pihak Jepun menyebabkan pasaran gelap berleluasa. Masalah lambakan mata wang Jepun juga akhirnya membawa kesan buruk kepada ekonomi kerana wang Jepun yang dicetak tanpa nombor siri tidak lagi bernilai.[21] Selain itu orang Jepun telah merampas barang makanan peniaga tanpa memberikan bayaran. Maka, tidak hairanlah masyarakat telah bertindak menyorok bahan makanan mereka untuk dijual di pasaran gelap dengan harga yang lebih mahal dan berbaloi. Contohnya di Kelantan pada awal 1942, para petani telah menyorok beras mereka untuk diseludup ke negeri Terengganu dan Pahang dengan harga yang sangat tinggi iaitu antara $10 hingga $13 bagi satu gantang berbanding  harga yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu 50 sen bagi beras kelas pertama.[22] Selain itu, penyeludupan petrol berlaku contohnya di Batu Pahat yang telah menyeludup petrol untuk dijual kepada orang Indonesia untuk mengerakkan mesin seperti mesin tepung sagu dengan harga yang mahal.[23]
Kemusnahan terhadap sumber ekonomi, terutama ladang getah dan lombong bijih timah telah berlaku dengan teruknya. Tentera British telah memusnahkan ladang getah dan lombong bijih timah sebelum meninggalkan Tanah Melayu. Semua kelengkapan melombong, seperti kapal korek telah dimusnahkan di bawah Dasar Bumi Hangus. Para pekerja turut meninggalkan kawasan ladang dan lombong untuk menyelamatkan diri. Tanah Melayu yang bergantung sepenuhnya pada bahan eksport tersebut telah terjejas teruk misalnya pada tahun 1941, hasil bijih timah ialah 79 000 tan telah merosot menjadi 3000 tan pada tahun 1945.  Malahan sistem pengangkutan dan perhubungan turut musnah. Tentera Jepun tidak memulihkan kemusnahan infrastruktur di Tanah Melayu. Keadaan ini memburukkan lagi ekonomi Tanah Melayu. Selain itu, masalah inflasi telah berlaku di Tanah Melayu. Kekurangan barangan keperluan di pasaran, terutamanya barangan makanan. Tambahan pula, pihak Jepun telah mengeluarkan wang kertas Pokok Pisang tanpa kawalan. Hal ini telah menyebabkan nilai mata wang tersebut jatuh. Harga barangan keperluan telah meningkat beberapa kali ganda misalnya harga beras 500 gram telah melonjak naik kepada $120.00 pada bulan Ogos 1945. Beras juga sukar untuk diimport dari Burma dan Thailand kerana Jepun telah dikenakan sekatan perdagangan antarabangsa. Amalan rasuah, menyorok barangan dan pasaran gelap menyebabkan kesan ekonomi lebih buruk dialami oleh rakyat.[24] Malahan kegiatan eksport dan import hanya berlaku di kawasan Asia Tenggara sahaja. Contohnya, PulauPinang mengeksport getah dan bijih ke negara Jepun manakala Jepun membekalkan tentera, perubatan, anak patung, rokok dan sebagainya tetapi separuh darinya dihantar ke pasaran gelap.[25]
Pendudukan Jepun telah menyebabkan banyak industri baru muncul di Tanah Melayu untuk menampung kekurangan barangan. Misalnya, penggunaan bahan api daripada susu getah, penciptaan tayar tanpa tiub daripada getah padat, benang daripada daun nanas dan kertas daripada buluh, daun getah serta lalang. Selain itu, perusahaan tradisional telah berkembang dengan pesatnya seperti menghasilkan minyak daripada kelapa, gula kelapa dan rokok daun.[26] Jelas bahawa kesengsaraan yang dihadapi semasa Jepun memerintah menyebabkan rakyat terpaksa mencari beberapa inisiatif untuk meneruskan kelansungan hidup tanpa memikirkan soal kebejatan budaya, agama dan sebagainya.
KESAN POLITIK
            Kemenangan Jepun menewaskan British menyebabkan rakyat di Asia mula sedar akan semangat nasionalisme dan keupayaan mereka untuk menghalau segala anasir penjajahan. Parti politik misalnya Kesatuan Melayu Muda sangat yakin dengan Jepun yang akan membawa perubahan kepada nasib orang Melayu serta mengangkat bangsa-bangsa lain.[27] Salah satu kesan lain ialah tembok pemisah diantara bangsa Melayu dan bangsa Indonesia mulai roboh, unsur-unsur bahasa Indonesia meresap masuk misalnya dalam aspek penulisan Berita Malai. Pentadbiran Jepun juga menggalakkan Kesatuan Melayu Muda menyokong gagasan Indonesia Raya atau Kerajaan Indonesia Semenanjung (KRIS).[28]
            Berbeza halnya dengan kesatuan politik Cina ditekan oleh tentera Jepun kerana bimbang pengaruh dakyah komunis berleluasa. Oleh kerana tekanan demi tekanan dikenakan, tidak hairanlah tertubuhnya Parti Komunis Malaya serta Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA).[29] Semasa pendudukan Jepun, orang-orang Melayu dan India bekerjasama untuk menghapuskan pihak komunis yang menentang Jepun. Oleh sebab itulah, dendam orang Cina terhadap orang Melayu berakar umbi dan tempoh 14 hari selepas kekalahan Jepun di Tanah Melayu, MPAJA keluar dari hutan dan bermaharajalela membunuh polis, orang-orang kampung terutamanya orang Melayu.[30] Orang-orang Cina dan wujud juga segelintir orang Melayu di dalam MPAJA mahu menubuhkan Republic Communist of Malaya.[31] Jelaslah bahawa masalah politik timbul hasil daripada tindakan Jepun yang memperalatkan orang-orang Melayu dan India akhirnya membawa keretakan perpaduan di antara kaum.
KESAN SOSIAL
Semasa pendudukan Jepun, tidak ada perasaan selamat mahupun ketenangan dapat dirasai. Kekejaman dan keganasan tentera Jepun sangat-sangat luar biasa sehingga mereka bertindak seperti haiwan tanpa perasaan dan akal fikiran waras misalnya di Jalan Besar, Singapura, orang-orang Cina dikumpulkan di dalam parit yang berisi air dan di sekelilingnya diletakkan dawai-dawai berduri.[32] Malahan Jepun telah membuat penindasan yang kejam dengan merompak, membakar rumah dan kampung, mengambil barang-barang orang Cina, merogol wanita dan sebagainya. Contoh kekejaman Jepun yang ketara pada masyarakat Cina ialah apabila Jepun telah menjalankan operasi Sok Ching ke atas orang Cina di Bakar Kapur, Sungai Petani pada Febuari 1942. Mangsa telah disuruh mengorek lubang kubur terlebih dahulu sebelum dibunuh. Sehingga May 1942, seramai 40 000 orang cina termasuk wanita dan kanak-kanak telah dibunuh.[33] Di Indonesia seperti Bireuen, setiap malam askar Jepun akan meronda kampung dan masuk kedalam rumah sesiapa sahaja yang dikhendakinya. Jika terdapat anak gadis atau wanita sudah bersuami sekalipun, mereka akan merogol dan jika suami menghalang, anak serta isterinya akan ditikam dengan bayonet.[34]
Kekejaman Jepun tidak pernah putus misalnya di Sandakan, Sabah, sesiapa yang disyaki terlibat dalam gerakan menentang Jepun akan ditangkap. Mangsa aka diberi makan, tangannya diikat ke belakang dan makanan diletakkan di atas lantai seperti seekor anjing. Mangsa juga dijemur di kawasan panas terik bersama-sama tahanan lain di dalam sangkar berukuran 140 kaki persegi seramai 25 orang. Terdapat juga tahanan yang diberi minum air sabun sehingga perut kembung kemudian satu papan diletakkan di atas perut, tentera Jepun akan memijiak beramai-ramai. Itu masih belum cukup, hukuman paling kejam ialah kulit kepala tahanan akan ditebuk kemudiannya dimasukkan garam dan mangsa diberi pisau untuk membunuh diri sendiri.[35] Oleh sebab itulah, ketika pemerintahan Jepun, kehidupan sosial masyarakat terjejas teruk, hidup di dalam ketakutan dan tidak tenteram.

KESIMPULAN
Tempoh pendudukan Jepun di Tanah Melayu selama 4 tahun sudah cukup untuk memberi pelbagai kesan baik mahupun buruk. Memang benar semangat nasionalisme timbul taktala Jepun meniup api semangat pemerintahan berkerajaan sendiri, namun itu hanyalah sekadar propaganda yakni kehidupan binasa. Orang-orang Melayu dan India tegar menyokong perjuangan Jepun yang mahu membuka belenggu British di Asia namun akhirnya terjerat dengan harapan mereka sendiri tidak ubah seperti ‘mengelak daripada mulut harimau kemudian masuk ke mulut buaya’. Memoir A. Samad Ismail jelas membuktikan kepayahan dan kesukaran hidup di zaman Jepun, dunia yang luas seperti di dalam sangkar besi. Segala pergerakan terbatas dengan kehidupan sekeliling dipenuhi mayat-mayat bergelimpangan ataupun darah-darah berhamburan. Kesimpulannya, memoir ini memang telus dalam mengisahkan penderitaan dan penyiksaan semasa zaman pentadbiran Jepun, bukannya dipengaruhi prasangka atau dikaburi oleh emosi semasa beliau menulisya.



BIBLIOGRAFI
Abdul Samad Ismail. 1993.  Memoir A. Samad Ismail di Singapura. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Abdul Halim Saad. 1991.  Malaysia Kita. Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara Malaysia.

Abdul Latif Abu Bakar. 1977.  Ishak Haji Muhammad: Penulis dan Ahli Politik Sehingga 1948. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Cheah Boon Kheng.1982.  Red Star Over Malaya, : Resistance and Social  Conflict During and After The Japanese Occupation, 1941-1946. Singapore: Singapore University Press.

Foong Choon Hon. 1997.  The Price Of Peace: True Accounts of The Japanese Occupation Singapore: Asia Pacs Books Ltd.

Kratoska, Paul H., dan Abu Talib Ahmad. 1989. Pendudukan Jepun di Tanah Melayu :Kumpulan Esei Oleh Pelajar-Pelajar U.S.M.  Pulau Pinang :Universiti Sains Malaysia.  

Kratoska, Paul H. 1998. The Japanese Occupation of Malaya: A Social and Economic History. London: C. Hurst & Co.

Lewis, T.P.M. 1992. Cangi: Tahun-Tahun Gerhana 1941-1945. Terjemahan: Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Isa Othman. 2002. Sejarah Malaysia 1800-1963. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributor.

Mohd. Zamberi A. Malek. 2009.  Harimau Malaya: Biografi Tengku Mahmood Mahyiddeen. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

R. M. Jasni. 2006.  Memoir Anak Sisa Peperangan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Syed Othman Omar. 2007.  Pemburu Bintang Tiga. Selangor: PTS Publication.

Tunku Abdul Rahman Putra. 1980.  Pandang Balik. Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books Ltd.

T. N.P., 1973. Pulau Pinang di Zaman pendudukan Jepun (1941-1945 ) Jilid 1. Penang: Universiti Sains Malaysia.

Victor Purcell. 1997.  Orang-Orang Cina di Tanah Melayu. Terjemahan: Nik Hasna Nik Mahmood: Universiti Teknologi Malaysia.

Wan Hashim Wan The. 1995.  Memoir Khatijah Sidek, Puteri Kesateria Bangsa. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Wan Noraini Wan Ahmad. 1986. Pendudukan Jepun (1942-43) & Thai (1943-45) di Kelantan : Kesan ke Atas Masyarakat Melayu. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

Yusof Harun. 1991.  Tunku-Idealisme Dalam Kenangan. Pulau Pinang: Yayasan Bumiputera.


[1]  Abdul Samad Ismail, Memoir A. Samad Ismail di Singapura, (Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1993) m.s  155.
[2]  Ibid. m.s 172.
[3]  Cheah Boon Kheng, Red Star Over Malaya, : Resistance and Social  Conflict During and After The Japanese Occupation, 1941-1946  (Singapore: Singapore University Press, 1982) m.s 23.
[4]  Mohd. Isa Othman, Sejarah Malaysia 1800-1963, (Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributor, 2002) m.s 285.
[5]  Mohd. Zamberi A. Malek, Harimau Malaya: Biografi Tengku Mahmood Mahyiddeen, ( Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 2009) m.s 79.
[6]  Cheah Boon Kheng, Red Star Over Malaya: Resistance and Social  Conflict During and After The Japanese Occupation, 1941-1946. m.s  34.
[7]  Mohd. Isa Othman, Sejarah Malaysia 1800-1963. m.s 287.
[8]  Abdul Samad Ismail, Memoir A. Samad Ismail di Singapura, m.s 153.
[9]  Ibid. m.s 154 dan 216. Lihat juga T.P.M Lewis, Cangi: Tahun-Tahun Gerhana 1941-1945, (terjemahan: Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992) m.s 140.
[10]  Ibid. m.s 202.
[11]  Abdul Latif Abu Bakar, Ishak Haji Muhammad: Penulis dan Ahli Politik Sehingga 1948, ( Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1977) m.s 40.
[12]  Abdul Samad Ismail, Memoir A. Samad Ismail di Singapura, m.s 198.
[13]  R. M. Jasni, Memoir Anak Sisa Peperangan, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006) m.s 37.
[14]  Syed Othman Omar, Pemburu Bintang Tiga, (Selangor: PTS Publication, 2007). m.s 30.
[15]  Yusof Harun, Tunku-Idealisme Dalam Kenangan, (Pulau Pinang: Yayasan Bumiputera, 1991). m.s 69.
[16]  Abdul Samad Ismail, Memoir A. Samad Ismail di Singapura, m.s 155.
[17]  Ibid. m.s 217.
[18]  Abdul Samad Ismail, Memoir A. Samad Ismail di Singapura, m.s 217.
[19]  Okuma Memorial Social Sciences Research Institutes, (eds.), Japanese Military Administration in Indonesia, 1963. m.s 10.
[20]  Abdul Samad Ismail, Memoir A. Samad Ismail di Singapura, m.s 156. Lihat juga Paul H. Kratoska, The Japanese Occupation of Malaya: A Social and Economic History ( London: C. Hurst & Co, 1998) m.s 169.
[21]  Ibid. m.s 217.
[22]  Wan Noraini Wan Ahmad, Pendudukan Jepun (1942-43) & Thai (1943-45) di Kelantan : Kesan ke Atas Masyarakat Melayu (Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia, 1986), ms. 52-53.
[23]  Kratioska, Paul H., dan Abu Talib Ahmad, Pendudukan Jepun di Tanah Melayu :Kumpulan
Esei Oleh Pelajar-Pelajar U.S.M. (Pulau Pinang :Universiti Sains Malaysia, 1989)   ms.38.

[24]  Kratioska, Paul H., dan Abu Talib Ahmad, Pendudukan Jepun di Tanah Melayu :Kumpulan Esei Oleh Pelajar-Pelajar U.S.M. ms. 7.
[25]  T. N.P., Pulau Pinang di Zaman pendudukan Jepun (1941-1945 ) Jilid 1, (Penang: U.S.M, 1973), ms. 261.
[26]  Kratioska, Paul H., dan Abu Talib Ahmad, Pendudukan Jepun di Tanah Melayu :Kumpulan Esei Oleh Pelajar-Pelajar U.S.M. m.s 109.
[27]  Abdul Samad Ismail, Memoir A. Samad Ismail di Singapura, m.s 203.
[28]  Mohd. Isa Othman, Sejarah Malaysia 1800-1963. m.s 288.
[29]  Victor Purcell, Orang-Orang Cina di Tanah Melayu, (terjemahan: Nik Hasna Nik Mahmood: Universiti Teknologi Malaysia, 1997). m.s 237.
[30]  Tunku Abdul Rahman Putra, Pandang Balik, (Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books Ltd, 1980) m.s 15.
[31]  Foong Choon Hon, The Price Of Peace: True Accounts of The Japanese Occupation (Singapore: Asia Pacs Books Ltd, 1997) m.s 45-47.
[32]  Abdul Samad Ismail, Memoir A. Samad Ismail di Singapura, m.s 199.
[33]  Abdul Halim Saad et al, Malaysia Kita, (Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara Malaysia, 1991), ms.474.
[34]  Wan Hashim Wan Teh, Memoir Khatijah Sidek, Puteri Kesateria Bangsa, (Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1995) m.s  53-55.
[35]  R. M. Jasni, Memoir Anak Sisa Peperangan, m.s 50.

5 comments: