Monday, 2 January 2012

REVOLUSI 1905 DI RUSIA


1.0  PENGENALAN
Sejarah telah membuktikan betapa besarnya kuasa rakyat sehingga mampu menjatuhkan sebuah kerajaan yang utuh misalnya empayar Tsar di Rusia. Idea-idea revolusioner yang diwujudkan oleh golongan intelek seperti Leon Trotsky, Rosa Luxemburg, George Gapon, Karl Marx dan ramai lagi berjaya menimbulkan kesedaran dalam kalangan rakyat untuk bangkit menenteng rejim autokratik Tsar yang menindas kehidupan mereka. Tiada unsur demokrasi lansung semasa pemerintahan Tsar dan rakyat terutamanya golongan pekerja atau buruh hidup dalam keadaan tertekan serta kesulitan. Hal inilah yang menyebabkan api semangat revolusioner membara sehingga meletus pada tahun 1905.[1]
Kekalahan berturut-turut Rusia kepada Jepun pada bulan Januari tahun 1904 menyebabkan Jepun berjaya menguasai beberapa tempat penting misalnya Port Athur, Vladiostok, Utara Mukden dan Sungai Sha. Rentetan daripada kekalahan ini, golongan Revolusioner Sosialis tampil menuntut demokrasi dan sistem berpelembagaan ditubuhkan, namun ditolak oleh Tsar menyebabkan mereka bertindak ganas dengan membunuh Menteri Dalam Negeri, Plehve dan Sipiagin. Seorang paderi yang berpengaruh iaitu George Gapon pula meniup semangat revolusi dalam kalangan pekerja-pekerja kilang dan hasilnya sebuah perarakan aman diadakan menuju ke Istana Tsar Nicholas II pada hari Ahad, 9 Januari 1905 bertujuan untuk menuntuk hak demokrasi rakyat. Namun tentera-tentera Tsar bertindak ganas dengan menembak pekerja-pekerja kilang ini dan kesannya hampir 500 orang terbunuh dan beribu-ribu tercedera. Peristiwa ini dikenali sebagai Blood Sunday atau Ahad Berdarah kerana kematian ramai orang-orang awam dan boleh dikatakan sebagai permulaan awal tercetusnya Revolusi 1905.[2] Terdapat faktor dalaman dan beberapa faktor luaran yang menyebabkan tercetusnya revolusi ini dan asas utamanya ialah perasaan tidak puas hati rakyat terhadap golongan pemerintah.
2.0  FAKTOR DALAMAN
2.1  PEMERINTAHAN AUTOKRATIK TSAR
Pada umumnya, sehingga tahun 1917, empayar Rusia mempraktikkan pemerintahan bercorak autokratik yang diterajui oleh Tsar Nicholas II. Beliau merupakan pemerintah terakhir dinasti Romanov yang menerajui tampuk pemerintahan Rusia sejak tahun 1613. Beliau memerintah dari tahun 1894 hingga 1917 setelah mengambil alih tampuk pemerintahan dari bapanya iaitu Alexander III. Tsar Nicholas mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan keputusan pentadbiran serta hal ehwal kerajaan misalnya melantik serta memecat para menteri.[3] Oleh kerana abad ke-20 kebanyakan negara-negara mengalami revolusi, Tsar bertindak mengawal segala pergerakan rakyat dan menghadkan pemikiran mereka dengan melakukan beberapa dasar yang menghalang hak demokrasi misalnya sebarang perhimpunan dan pertubuhan tidak dibenarkan wujud kecuali dengan keizinannya. Organisasi yang berbaur keagamaan juga tidak dibiarkan berleluasa walaupun penganut Kristian Katolik merupakan majoriti terbesar di Rusia. Pada tahun 1894, penganut-penganut Stundist, satu mazhab agama Baptist Rusia mengadakan upacara sembahyang namun dihalang oleh tentera-tentera atas arahan Tsar kerana beliau merasakan terdapat cubaan penyebaran idea subversif. Penganut mazhab Dukhobor pula dikenakan kerahan tenaga dan dipaksa menjadi tentera pemulihan di Cyprus menyebabkan permusuhan terhadap Tsar semakin mendalam. Rakyat yang ingkar dan menentang akan dipenjarakan atau dihantar ke Siberia tanpa perbicaraan kerana tidak patuh arahan Tsar.
Segala bentuk cubaan yang boleh menjatuhkan kekuasaan kerajaan akan disekat misalnya kebebasan berakhbar. Segala berita atau tulisan yang ingin dikeluarkan mestilah melalui proses penapisan dan mendapat kebenaran Tsar bertujuan untuk menghalang idea sosialis atau subversif tersebar dalam pemikiran rakyat. Rakyat bawahan juga tidak dibenarkan menyertai mana-mana pertubuhan elit dan jawatan dalam kerajaan hanya untuk golongan bangsawan. Begitu juga kebebasan golongan minoriti misalnya Yahudi dikawal dan tempat tinggal mereka hanya dibenarkan di satu kawasan dikenali sebagai The Jewish Pale of Settlement.  Justeru, rakyat tidak mempunyai ruang atau hak untuk menyuarakan perasaan dan tuntutan mereka terhadap kerajaan. Inilah kesilapan terbesar Tsar Nicholas II apabila tidak mengendahkan perasaan dan tuntutan rakyat yang akhirnya membawa keruntuhan kerajaan beliau sendiri.
2.2  PERANAN GOLONGAN INTELEKTUAL DAN INTELIGENTSIA
            Umum kita ketahui, dalam tercetusnya sesebuah revolusi, golongan intelek memainkan peranan penting dalam menggerakkan rakyat untuk bangkit menentang kezaliman kerajaan yang memerintah misalnya Revolusi Amerika Syarikat (1776), Revolusi Inggeris (1688), Revolusi Perancis 1789 dan banyak lagi revolusi yang digerakkan oleh idea-idea yang disebarkan oleh golongan intelektual.[4] Pada akhir abad ke-18, Alexander Radishchev telah menerbitkan artikel Journey From St. Petersburg to Moscow. Artikel ini mengkritik pemerintahan autokratik di Rusia dan menuntut institusi perhambaan dihapuskan. Beliau menceritakan kehidupan hamba-hamba yang penuh penderitaan dan kesakitan dengan kerja-kerja paksaan yang dikerah sedangkah kadar upah yang sepatutnya tidak diberikan. Hasil daripada penulisan ini menyebabkan ramai golongan rakyat sedar akan penindasan kerajaan dan akhirnya Radishchev ditangkap serta dihantar ke Siberia.
            Pada abad ke-19, Rusia mencapai Zaman Keemasan Kesusasteraan Rusia atau Golden Age of Russian Literature yang berpusat di St. Petersburg. Karya-karya yang dihasilkan banyak mengisahkan realiti kehidupan masyarakat misalnya Eugene Onegin hasil nukilan Alexander Pushkin. Golongan intelektual terdiri daripada golongan cerdik pandai yang berpindidikan tetapi golongan inteligentsia merangkumi semua lapisan masyarakat tidak kira bijak atau tidak tetapi asas pemikiran perjuangannya bertentangan dengan pemerintahan Tsar.[5] Mereka menuntut agar kuasa Tsar dihadkan atau jurang sosial diantara pihak atasan dengan rakyat bawahan dirapatkan. Perjuangan mereka disokong oleh buruh-buruh kasar serta pekerja awam yang mahukan pemerintahan autokratik diminimumkan agar hak asasi rakyat terjamin.
            Golongan intelektual dan inteligentsia mahukan hak rakyat di dalam pemilihan wakil di dalam institusi kerajaan seperti zemstov.[6] Jelas dilihat betapa pentingnya peranan golongan intelektual dan inteligentsia dalam mencetuskan revolusi 1905 kerana mereka bertanggungjawab melahirkan pemikiran rakyat ke arah liberalisme dan sosialisme di Rusia.
2.3  GOLONGAN BURUH DAN PETANI
            Pada tahun 1900, lapan puluh peratus daripada orang Rusia terdiri daripada golongan petani dan mereka begitu setia berkhidmat kepada tanah. Kesetiaan mereka jelas dilihat berdasarkan peribahasa klasik iaitu “kami milik tuan tanah tetapi tanah milik kami” bermakna mereka sanggup menjadi pemilik tuan tanah asalkan dapat bercucuk tanam dan mengusahakan pertanian. Menjelang awal abad ke-20, Rusia mengalami pertumbuhan industri pertanian yang pesat namun masalah pemilikan tanah mula timbul kerana kelahiran penduduk yang banyak. Pada tahun 1877 hingga tahun 1905, sebanyak tiga puluh peratus penduduk bertambah di kawasan luar bandar terutamanya kawasan-kawasan pertanian dijalankan. Kekurangan tanah jelas dilihat di Moscow dan Lembah Volga menyebabkan ribuan petani terpaksa berpindah mencari kawasan baru yang jaraknya hampir seratus batu jaraknya dari kawasan bandar.[7]
            Kekurangan tanah untuk pertanian menyebabkan petani berasa tidak puas hati dan memberontak kepada tuan tanah serta memusnahkan tanaman misalnya di Kharkov, Poltova dan Kherson.[8] Oleh sebab itulah mereka menyertai paderi Gapon dalam perarakan menghantar petisyen istana Tsar Nicholas II. Golongan petani juga terlibat dalam revolusi 1905 ini bersama-sama buruh untuk menuntuk hak mereka. Buruh-buruh di Rusia hidup dalam keadaan tekanan dan penderitaan kerana sikap majikan yang mengutamakan keuntungan dan berusaha meminimumkan kos upah sebanyak mungkin. Upah yang diterima mereka hanya 200 rouble setahun dan ada pekerja yang tidak dibayar gaji tetapi diberi kupon khas. Kupon ini hanya oleh digunakan di kedai yang menjalankan kerjasama dengan syarikat atau kilang mereka bekerja. Jika buruh atau pekerja ini sakit, gaji mereka akan dipotong dan kos kesihatan mereka tidak akan ditanggung oleh majikan. Keperitan mereka ditambah lagi dengan masa bekerja yang panjang diantara 12 hingga 14 jam sehari dan kawasan persekitaran pekerjaan tiada jaminan keselamatan. Ramai pekerja yang jatuh sakit kerana kawasan kediaman mereka juga tiada kemudahan yang disediakan. Oleh sebab itulah di dalam revolusi 1905, mereka menuntut keselesaan kawasan kediaman, masa bekerja dipendekkan selama 8jam sahaja sehari, keselamatan persekitaran tempar bekerja dan kadar upah ditingkatkan.

2.4  PENGARUH MARXISME
            Pada tahun 1872, hasil karya Karl Marx iaitu Das Kapital diterjemahkan ke bahasa Rusia dan awal abad ke-20 barulah fahaman beliau tersebar ke seluruh pelusuk Rusia.[9] Marx mengasaskan konsep dialektikal meterialisme iaitu konsep persamaan kelas dan jurang sosial antara golongan bawahan dengan atasan dipengaruhi faktor ekonomi. Marx menekankan dua ciri utama iaitu masalah alienation dan konsep dialektikal. Masalah alienation berpunca sifat semulajadi manusia untuk bekerjasama supaya menghasilkan keperluan kebendaan dan sekatan akan dikenakan untuk mengehadkan keperluan itu. Sekatan ini bermaksud pengasingan yang dikenakan kepada individu terhadap hasil keluaran. Marx membuktikan hujah ini di dalam konsep kapitalisme moden di mana golongan bawahan dikerah tenaganya oleh golongan yang menguasai alat pengeluaran. Tenaga atau keringat golongan bawahan ini tidak lagi menjadi milik mereka namun dikuasai oleh kelas Borjuis misalnya di Eropah. Dalam hal ini, mereka bukannya bekerja secara sukarela tetapi dikerah dan dipaksa menyebabkan secara tidak lansung mereka akan terasing daripada golongan atasan.
            Pertubuhan Marxis Rusia yang pertama ialah Liberation of Labour ditubuhkan pada tahun 1883 dan segelintir ahlinya terdiri daripada pengikut kumpulan populis misalnya George Plekhnov, Pavel Axelord dan Vera Zasulich.[10] Hasil karya tulisan Marx berjaya mempengaruhi ramai rakyat Rusia untuk menentang pemerintahan Tsar yang tidak adil dan memberi keistimewaaan kepada golongan atasan berbanding rakyat bawahan.



2.5  RUSSIAN SOCIAL DEMOCRATIC LABOUR PARTY
Persatuan atau parti ini mempunyai ramai ahli-ahli yang berpengaruh misalnya Vladimir Lenin, Plekhanov, Akslrod, Vera Zasulich, Stalin dan sebagainya. Ia ditubuhkan di Switzerland pada tahun 1898 dan memegang kukuh fahaman Marxis. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah perjuangan mereka menuntut hak persamaan kelas dan dasar perhambaan dihapuskan. Walaubagaimanapun, menurut Kongres II pada tahun 1903 krisis dalaman berlaku menyebabakan ia terbahagi kepada dua iaitu Bolshevik dan Menshevik.[11] Lenin mempunyai pandangan berbeza dengan Plekhanov, pertama mengenai keahlian diperketatkan hanya kepada revolusioner profesional bertujuan untuk menyekat pengaruh fahaman liberal menyusup masuk ke dalam parti dan yang kedua ialah pimpinan tertinggi dipilih secara undi dari delegasi dan segala keputusan pimpinan tertinggi harus dipatuhi oleh ahli.[12]
Pada tahun 1903, sebuah kongres diadakan bertujuan untuk berbincang mengenai cadangan Lenin ini dan ramai pengikut parti ini mengikut pendapat Lenin. Oleh itu wujudlah Bolshevik yang diterajui Lenin bermaksud majoriti dan Menshevik iaitu minoriti diterajui oleh Martov. Ahli Menshevik ini tidak radikal kerana memegang fahaman ortodoks Marxis iaitu Rusia perlu mengalami revolusi borjuis kemudian sosialis dan akhirnya barulah komunisme. Berlainan pula dengan Bolshevik yang bersifat radikal seperti kekerasan dan revolusi berdarah untuk menggulingkan pemerintahan Tsar Nicholas II.[13]  
Leon Trotsky menyertai Kongres II dan beliau salah seorang daripada pengikut fahaman Marx berasal daripada Ukraine. Beliau mempunyai pandangan yang tersendiri meskipun pada suatu ketika beliau memihak Menshevik dan kemudiannya berpindah kepada Bolshevik. Trotsky merasa kesal akan perpecahan di antara kedua-dua golongan ini dan cuba untuk menyatukannya kembali daripada tahun 1903 hingga 1917 tetapi gagal.[14] Trotsky mempunyai slogan “revolusi tanpa gangguan dan kekerasan” namun Lenin tetap dengan pendiriannya iaitu kekerasan. Walaubagaimanapun, perlu diketahui kedua-duanya mempunyai agenda yang sama iaitu menentang kerajaan Tsar.[15]
3.0  FAKTOR LUARAN
3.1  PERANG RUSIA-JEPUN
Semasa perang Rusia dengan Jepun berlaku, tentera Rusia mengalami kekalahan teruk di darat mahupun di laut kerana pelbagai sebab misalnya kurang kesediaan dan teknik serangan Jepun yang baik. Kekuatan Jepun berlipat kali ganda hasil sokongan moral Amerika dan Britain dari segi kewangan serta peralatan ketenteraan.[16] Pada bulan Disember 1904, Port Athur jatuh ke dalam tangan Jepun dan seterusnya Lioyang serta Sungai Sha. Dalam Perang Mukden yang berlansung pada Februari 1905, tentera Rusia hampir musnah namun mereka masih mampu bertahan di darat kecuali di laut yang musnah teruk.[17] Kekalahan ini menyebabkan rakyat bangkit menentang kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan yang lemah dan korupsi yang tinggi.[18]
Rusia dan Jepun juga mempunyai konflik perebutan beberapa kawasan misalnya Manchuria dan Korea.  Kerajaan Tsar Nicholas berjaya mendapatkan pengiktirafan dari China melalui Perjanjian Li-Babanov pada tahun 1896. Rusia mahukan kawasan yang mempunyai sumber semulajadi misalnya arang batu, bijirin, bijih besi dan kayu balak. Oleh sebab itulah mereka membina landasan keretapi Rentas Siberia daripada Tasik Baikal menuju ke Vladivostok. Jepun turut mempunyai impian yang sama iaitu menguasai Manchuria dan mendapatkan bekalan bahan mentah serta mancari pasaran baru. Hal yang sama juga berlaku di Korea apabila Rusia cuba menguasainya bertujuan untuk aktiviti perdagangan manakala Jepun mahukan Korea untuk dijadikan zon penampan ketenteraan daripada Barat terutamanya Rusia. Justeru, salah satu faktor peperangan Rusia-Jepun bolehlah dikatakan berpunca daripada perebutan untuk perluasan jajahan.[19]
Kekalahan Rusia dalam perang ini menyebabkan termeterainya Perjanjian Portsmouth pada 5 Disember 1905. Dalam perjanjian ini, Semenanjung Liaotung, bahagian Selatan Sakhalin dan Jalan Keretapi Manchuria Selatan diserahkan kepada tentera Jepun.[20] Oleh sebab itu gerakan revolusioner semakin marah dan bertindak ganas menentang kerajaan Tsar kerana kegagalan pemerintahan Tsar sendiri yang akhirnya menyebabkan Rusia kehilangan banyak negeri serta kawasan jajahannya. Kekalahan ini menyebabkan rakyat bangkit menentang kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan yang lemah dan korupsi yang tinggi.
4.0  MANIFESTO OKTOBER
            Selepas Perjanjian Portsmouth ditandatangani, Tsar melantik Wittie menjadi Perdana Menteri Rusia yang pertama dan Tsar Nicholas II bersetuju mengistiharkan pemerintahan berpelembagaan. Wittie bertanggungjawab menyediakan kertas kerja membentuk sebuah kerajaan dan beliau telah mencadangkan “Manifesto Oktober” yang mempunyai tiga teras utama.[21] Pertama mengenai hak kerakyatan sepenuhnya kepada rakyat berdasarkan prinsip kebebasan manusia, kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun dan kebebasan menubuhkan persatuan. Keduanya ialah mengadakan pilihanraya untuk memilih wakil Duma Negeri dan mempercepatkan proses pemberian hak mengundi kepada rakyat. Perkara ketiganya mengenai penetapan undang-undang dan proses penggubalannya hanya boleh dikuatkuasakan setelah mendapat persetujuan daripada Duma Negeri.
            Rakyat berpuas hati dan merasa gembira dengan perlembagaan yang diumumkan oleh Wittie kerana yakin dengan pengembalian hak sepenuhnya kepada mereka sebagai rakyat misalnya hak bersuara dan sebagainya. Walaubagaimanapun, gerakan haluan kiri masih lagi tidak berpuas hati seperti kumpulan Soviet St. Petersburg kerana merasakan wujud ketidakseimbangan dalam pemilihan wakil untuk Duma Negeri.  Pada bulan Disember 1905, kumpulan ini di bawah pimpinan Trotsky melancarkan mogok umum di Moscow namun berjaya dipatahkan oleh tentera kerajaan. Pengakhiran tentera kerajaan melumpuhkan mogok di Moscow menjadi petanda berakhirnya Revolusi 1905 di Rusia.
5.0  KESAN REVOLUSI 1905
5.1  PEMBENTUKAN DUMA
            Selepas revolusi 1905, Tsar Nicholas II bersetuju untuk membenarkan sebuah majlis parlimen atau dewan perundangan ditubuhkan iaitu Duma.[22] Terdapat dua bentuk Duma iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Pertuanan, ahli-ahli dewan dipilih berdasarkan kemenangan di dalam undian majoriti semasa pilihanraya. Sebanyak 497 kerusi dipertandingkan, prokerajaan mendapat 45 kerusi, wakil masyarakat luar seperti Poland mendapat 32 kerusi, 184 kerusi dimenangi wakil Cadet, golongan haluan kiri mendapat 124 kerusi dan 112 kerusi berjaya diperoleh bebas. Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang misalnya bekas anggota Zemstvo, bangsawan, pemilik perusahaan, pihak universiti, wakil petani, paderi-paderi dan beberapa pemimpin gerakan revolusioner seperti Trudoviki.[23]
            Akibat daripada pelbagai fahaman dan pegangan, Duma gagal untuk mencapai matlamatnya kerana pertentangan semua keputusan yang cuba diambil misalnya hak pemberian tanah.[24] Golongan pembangkang terutamanya wakil petani mahukan hak pemberian tanah sepenuhnya kepada petani berdasarkan jumlah keluarga ataupun kemampuan mereka namun ditentang oleh pihak prokerajaan yang mahukan tanah dikawal kerajaan pusat. Dapat disimpulkan bahawa pembentukan Duma gagal dibuktikan dengan pembubaran selepas 73 hari penubuhannya ia dibubarkan kerana tiada kata sepakat mampu dicapai dalam kalangan ahlinya.
5.2  PENUBUHAN PARTI POLITIK
Selepas Manifesto Oktober disahkan, rakyat bebas menyertai dan menganggotai mana-mana parti politik misalnya Constitutional Democratic Party atau akronimnya Cadet. Parti ini diterajui oleh Paul Miliukov dan Peter Struve yang mendukung fahaman liberal.[25] Perjuangan parti ini berteraskan hak rakyat sebab itulah mereka mendapat sokongan ramai terutamanya golongan petani. Mereka menuntut supaya pembahagian tanah secara adil dan saksama kepada petani dan hak pemilikan tanah harus diberi. Bagi golongan pekerja pula, mereka menuntut supaya kadar upah dinaikkan serta masa bekerja disingkatkan kerana ia membebankan para pekerja.
Union of 17 October atau Octobrist Party merupakan pati yang pro-kerajaan dipimpin oleh Alexander Guchkov dan Mikhail Radzyanko. Mereka memperjuangkan hak kebebasan rakyat namun masih di bawah pengaruh Tsar, jelas dilihat kegagalan mereka menunaikan Manifesto Oktober yang dibentuk oleh mereka sendiri. Walaubagaimanapun, manifesto ini merupakan rentetan awal permulaan hak kebebasan kepada rakyat berbanding keadaan sebelumnya. Akhbar-akhbar yang diterbitkan oleh parti-parti ini mula tersebar luas dalam kalangan masyarakat misalnya Provo Vedomosti, Russki Vedomosti, Russkaya Gazeta dan banyak lagi. Menurut Abraham Ascher, diantara bulan Oktober hingga Disember sahaja hampir 100 00 ribu naskah karya diedarkan oleh Social Democratic Party.
5.3  KEBAJIKAN RAKYAT
            Selepas Manifesto Oktober diluluskan, tidak banyak perubahan yang berlaku kerana kegagalan pembentukan Duma dan pengurusannya menemui jalan buntu. Hanya beberapa pembaharuan kecil dapat dilihat misalnya dari segi pertanian yang dicadangkan oleh Stolypin pada tahun 1906. Beliau memperkenalkan pemilikan tanah yang berpusat dan luas kepada semua petani. Pinjaman juga disediakan oleh bank kepada petani yang ingin membeli tanah dengan kadar faedah yang rendah dan para petani bebas mengusahakan tanah mereka tanpa diawasi oleh komun. Para petani juga dibebaskan dari bayaran cukai yang membebankan diri mereka selama ini dan mereka bebas untuk bekerja apa sahaja tanpa arahan mana-mana pihak.
            Kepada pekerja atau buruh pula, sistem paksaan dihapuskan dan konsep kerelaan diutamakan. Keselamatan dan keselesaan mereka di kediaman serta tempat kerja dititikberatkan, dengan kadar upah juga dinaikkan. Walaubagaimanapun, keadaan ini tidak berkekalan kerana Tsar tetap campurtangan dalam urusan pentadbiran kerajaan.



6.0  KESIMPULAN
            Rumusannya, revolusi 1905 ini tidak berjaya membawa perubahan besar kepada sistem pentadbiran serta struktur politik Rusia. Kejayaan revolusi ini bukannya bergantung kepada pengaruh golongan liberal atau sosialis, namun perasaan ketidakpuasan hati petani dan buruh juga memainkan peranan penting dalam revolusi ini. Oleh sebab itu, jika dilihat kebanyakan parti-parti politik misalnya Kadet cuba untuk mempengaruhi petani dan golongan pekerja kerana kuasa dan suara mereka lebih kuat. Walaupun revolusi ini tidak berjaya membawa perubahan besar, namun harus diingat ia merupakan rentetan awal penentangan rakyat terhadap kuasa Tsar.
            Justeru itu, revolusi 1917 merupakan lanjutan daripada revolusi 1905 kerana rakyat masih menuntut hak mereka diberikan sepenuhnya dan tidak ada lagi campurtangan Tsar dalam aspek pentadbiran kerajaan.[26] Amat menyayat hati apabila revolusi 1917 telah menyebabkan keseluruhan keluarga Tsar dibunuh oleh golongan radikal revolusioner.[27] Selepas revolusi 1917 berlaku, Rusia mengamalkan sistem berpelembagaan penuh dan hak rakyat mula terjamin kerana tiada lagi campurtangan Tsar  dalam pentadbiran kerajaan.





BIBLIOGRAFI
Adam B. Ulam, The Bolsheviks  London : The Macmillan Company, 1965.
Anthony Wood,  The Russian Revolution  New York: Longman, 1979.
Athur E. Adams, The Russian Revolution and Bolshevik Victory  Massachussetts: D.C Heath and Company, 1972.
Christopher Read, Religion, Revolution and The Russian Intelligentsia 1900-1912  London : The Macmillan Ltd, 1979.
D. M. Kenzie and Michael W. Curran, A History of Russia, the Soviet Union and Beyond  USA : Wadsworth Publishing 1984.
Dimitri Von Mohrenschildt, The Russian Revolution of 1917 London: Oxford University Press, 1971.
Donald W. Treadgold, Twentieth Century Russia  Chicago : Rand Mc Nally & Company, 1972.
E. H. Carr, The October Revolution, Before and After  New York: Vintage Books, 1971.
Edvard Radzinsky, The Last Tsar  London : Cox & Wyman Ltd. 1974.
M. K. Dziewanowski, Russia in the Twentietj Century  New Jersey: Prentice Hall, 1997.
Shmuel Galai, The Liberation Movement in Russia 1900-1905  Cambridge : The University Press, 1973.
Wright Miller, Who Are The Russians: A History of The Russian People  London : Faber and Faber Limited, 1973.



[1]  Donald W. Treadgold, Twentieth Century Russia ( Chicago : Rand Mc Nally & Company, 1972 ) Hlm. 73.
[2]   Ibid, Hlm. 74.
[3]  M. K. Dziewanowski, Russia in the Twentietj Century ( New Jersey: Prentice Hall, 1997 ) Hlm.  9.
[4]  E. H. Carr, The October Revolution, Before and After ( New York: Vintage Books, 1971) Hlm.44.
[5] Christopher Read, Religion, Revolution and The Russian Intelligentsia 1900-1912 ( London : The Macmillan Ltd, 1979 ) Hlm. 13.
[6]   Ibid, Hlm. 141.
[7]  D. M. Kenzie and Michael W. Curran, A History of Russia, the Soviet Union and Beyond ( USA : Wadsworth Publishing ) Hlm. 318.
[8]   Shmuel Galai, The Liberation Movement in Russia 1900-1905 ( Cambridge : The University Press, 1973 ) Hlm. 198.
[9]  Anthony Wood,  The Russian Revolution ( New York: Longman, 1979)  Hlm. 9.
[10]  D. M. Kenzie and Michael W. Curran, A History of Russia, the Soviet Union and Beyond ( USA : Wadsworth Publishing ) Hlm. 352.
[11]  Wright Miller, Who Are The Russians: A History of The Russian People ( London : Faber and Faber Limited, 1973 ) Hlm.  110.
[12]  E. H. Carr, The October Revolution, Before and After ( New York: Vintage Books, 1971) Hlm. 58.
[13]  Shmuel Galai, The Liberation Movement in Russia 1900-1905 ( Cambridge : The University Press, 1973 ) Hlm. 203.
[14]  Adam B. Ulam, The Bolsheviks ( London : The Macmillan Company, 1965 ) Hlm. 96.
[15]  E. H. Carr, The October Revolution, Before and After ( New York: Vintage Books, 1971) Hlm 39.
[16]  M. K. Dziewanowski, Russia in the Twentietj Century ( New Jersey: Prentice Hall, 1997 ) Hlm.  50.
[17]  Ibid, Hlm 53.
[18] D. M. Kenzie and Michael W. Curran, A History of Russia, the Soviet Union and Beyond ( USA : Wadsworth Publishing ) Hlm. 363.
[19]  D. W. Treadgold, Twentieth Century in Russia ( London : Westview Press, 1987 ) Hlm. 53.
[20]   Ibid, Hlm. 54.
[21]   Ibid, Hlm. 58.
[22]  Anthony Wood,  The Russian Revolution ( New York: Longman, 1979)  Hlm. 20.
[23]   M. K. Dziewanowski, Russia in the Twentietj Century ( New Jersey: Prentice Hall, 1997 ) Hlm.  58.
[24]  D. M. Kenzie and Michael W. Curran, A History of Russia, the Soviet Union and Beyond ( USA : Wadsworth Publishing ) Hlm. 364.
[25]  Dimitri Von Mohrenschildt, The Russian Revolution of 1917 (London: Oxford University Press, 1971) Hlm. 25.
[26]  Athur E. Adams, The Russian Revolution and Bolshevik Victory ( Massachussetts: D.C Heath and Company, 1972) Hlm. 71.
[27]  Edvard Radzinsky, The Last Tsar ( London : Cox & Wyman Ltd. ) Hlm. 100.


BIBLIOGRAFI
Adam B. Ulam, The Bolsheviks  London : The Macmillan Company, 1965.
Anthony Wood,  The Russian Revolution  New York: Longman, 1979.
Athur E. Adams, The Russian Revolution and Bolshevik Victory  Massachussetts: D.C Heath and Company, 1972.
Christopher Read, Religion, Revolution and The Russian Intelligentsia 1900-1912  London : The Macmillan Ltd, 1979.
D. M. Kenzie and Michael W. Curran, A History of Russia, the Soviet Union and Beyond  USA : Wadsworth Publishing 1984.
Dimitri Von Mohrenschildt, The Russian Revolution of 1917 London: Oxford University Press, 1971.
Donald W. Treadgold, Twentieth Century Russia  Chicago : Rand Mc Nally & Company, 1972.
E. H. Carr, The October Revolution, Before and After  New York: Vintage Books, 1971.
Edvard Radzinsky, The Last Tsar  London : Cox & Wyman Ltd. 1974.
M. K. Dziewanowski, Russia in the Twentietj Century  New Jersey: Prentice Hall, 1997.
Shmuel Galai, The Liberation Movement in Russia 1900-1905  Cambridge : The University Press, 1973.
Wright Miller, Who Are The Russians: A History of The Russian People  London : Faber and Faber Limited, 1973.

No comments:

Post a Comment