Monday, 2 January 2012

PERANG DINGIN DI TIMUR TENGAH


1.0 PENGENALAN
Konflik Arab-Israel bukanlah perkara baru yang wujud dalam arena pergolakan politik di Asia Barat dan ianya berkekalan sehingga ke hari ini. Secara asas logiknya, sudah tentu persoalan yang sering ditanya ialah kapasiti negara Israel yang kecil tetapi sukar dikalahkan oleh negara-negara Arab yang mendapat sokongan dari Soviet. Hal ini kerana Amerika Syarikat berdiri teguh di belakang Israel yang menjadi pengkalan atau ‘base’ di kawasan Asia Barat. Maka jelaslah disini bahawa negara Arab dan Israel menjadi ‘medan’ untuk Amerika serta Soviet melampiaskan nafsu kolonialisme dan imperialisme mereka biarpun dengan cara pertumpahan darah. Istilah ‘Cold War’ atau ‘Perang Dingin’ sebenarnya diperkenalkan oleh Bernard Baruch sekitar tahun 1947 yang merujuk kepada hubungan dingin diantara hubungan Soviet dengan blok Barat terutamanya Amerika.[1]
Amerika dan Soviet sebenarnya mempunyai pelbagai tujuan dan matlamat di atas konflik yang berlaku misalnya persaingan ideologi, kepentingan ekonomi, kedudukan strategik kawasan Asia Barat, keselamatan Israel dan persaingan pengukuhan kekuasaan. Sejak tahun 1920-an lagi, sudah wujud rusuhan kecil penduduk Palestin terhadap penempatan Yahudi namun empat siri peperangan terbesar dapat dilihat pada Perang Kemerdekaan (1948), Perang Suez (1956), Perang Enam Hari (1967) dan Peran Yom Kippur (1973). Dalam setiap siri peperangan ini jelas campur tangan pihak Barat dalam pembekalan ketenteraan, kelengkapan peperangan seperti senjata dan kemahiran petempuran. Israel mendapat sokongan kuat daripada Amerika, Britain, Perancis manakala Mesir, Jordan, Syiria dan negara-negara lain yang menentang Israel akan disokong oleh Soviet.
2.0 PEMBENTUKAN ORDE BARU PASCA PERANG DUNIA II
Semasa Perang Dunia II berlaku diantara tahun 1939 hingga 1945, Amerika dan Soviet berganding bahu untuk menentang tentera Nazi di Jerman. Kesan daripada peperangan ini menyaksikan kuasa Perancis dan Britain mulai lemah kerana kemusnahan perang dan kestabilan politik tidak seimbang. Dua kuasa besar dunia muncul selepas Perang Dunia II ini iaitu Amerika dan Soviet yang berlumba-lumba untuk meluaskan kekuasaan mereka.[2] Maka tercetuslah perang dingin diantara keduanya dek kerana perbezaan perjuangan dan ideologi yakni blok fahaman kapitalisme menentang blok komunisme. Perang dingin ini tidak bersifat lokal sebaliknya melibatkan fenomena global misalnya Eropah Timur, krisis Balkan, Jepun, Korea, kawasan Asia Barat dan juga Perang Vietnam menyaksikan penglibatan Amerika dengan jelas.[3] Krisis di Asia Barat mulai tercetus apabila Soviet mula memasuki Turki dan kemudiannya menguasai Iran di bawah Pakatan Anglo-Soviet yang ditandatangani pada 12 Julai 1941.[4] Tindakan ini menyebakan rasa tidak senang Amerika dan Britain dan akhirnya Israel diiktiraf sebagai sebuah negara berdaulat pada tahun 1948 bertujuan untuk mengekang pengaruh Soviet.[5] Justeru jelaslah bahawa selepas Perang Dunia II berakhir, dua oder baru dunia muncul dan bersaing dalam melebarkan pengaruh dan kekuasaan dalam senario Perang Dingin.[6]
3.0 FAKTOR-FAKTOR CAMPURTANGAN AMERIKA-SOVIET
3.1  PERBEZAAN IDEOLOGI
Ideologi komunisme mula bertapak di Rusia seawal abad ke 20 apabila golongan Bolshevik telah menggelarkan diri mereka sebagai Union of Soviet Socialist Republic.[7] Fahaman komunisme ini bertunjangkan teori Karl Marx yang menekankan triad dialektikal meterialism yakni golongan pemodal dan kewujudan perbezaan kelas akan merosakkan masyarakat.[8] Lenin berpendapat bahawa golongan pemodal harus dihapuskan serta perbezaan kelas misalnya golongan gereja yang menggunakan agama sebagai alasan hanya membebankan rakyat.[9] Fahaman ini sangat berbeza dengan ideologi kapitalisme Amerika yang mengutamakan golongan pemodal dan tidak menolak konsep keagamaan. Apabila Amerika melihat Nikita Kruschev ghairah meluaskan ideologi komunis dengan menyokong mana-mana negara yang menentang kapitalisme, keadaan ini amat membimbangkan kerana Amerika tidak mahu kedudukan ekonomi mereka terjejas untuk menjalankan perindustrian di luar negaranya.[10] Di Asia Barat misalnya, Soviet menunjukkan minat terhadap Laut Hitam yang terletak di antara Selat Bosphorus dan Dardanelles di bawah jagaan Turki.[11] Maka Presiden Truman telah memberi amaran kepada Soviet supaya tidak memaksa Turki untuk bekerjasama dalam usaha untuk menguasai Laut Hitam.[12]  Walaupun Soviet tidak mampu untuk melebarkan pengaruh komunis sehingga tertubuhnya sebuah negara sosialis seperti China di bawah Mao Tse Tung, namun Soviet menyokong setiap negara yang menentang blok Barat terutamanya Amerika dan Britain.
Kemasukan pengaruh komunis di Timur Tengah telah membimbangkan Amerika misalnya di Syria. Terdapat dua parti yang kuat memberontak untuk menjatuhkan pemerintahan Adib al-Shishakli pada tahun 1930-an iaitu Parti Ba’th dan Parti Komunis.[13] Seorang pemimpin komunis berbangsa Syria keturunan Kurdi, Khalid Baqdash merupakan seorang pemidato yang handal dan bijak untuk mempengaruhi masyarakat.[14] Beliau mendapat pelajaran di Moscow dan pernah dipenjarakan di Perancis pada tahun 1931. Selepas pembebasannya, beliau giat mempengaruhi dan menyebarkan dakyah komunisme di Syria. Untuk menyekat peluasan pengaruh ini, Amerika mengambil langkah drastik dengan menaja Pakatan Baghdad pada Januari 1955.[15] Pakatan ini disertai oleh Iraq, Turki, Pakistan dan Iran. Krisis diantara Nasser dan Nuri al-Sa’id menyebabkan permasalahan kepada keutuhan pakatan ini kerana kedua-duanya mahu menunjukkan kekuatan masing-masing. Apabila Turki dan Iraq menyertai pakatan ini pada 24 Februari 1955, Radio Kaherah menuduh Iraq sebagai sekutu Yahudi.[16] Empat hari kemudiannya, tentera Israel menyerang Mesir yang berpengkalan di Gaza.[17] Tindakan ini menyebabkan Mesir mendapat banyak sokongan negara-negara Arab misalnya Syria, Arab Saudi dan Jordan. Konflik Arab-Israel membolehkan Soviet campurtangan dan menyokong Syria dan Mesir. Dalam situasi ini, Amerika cuba untuk menjaga hubungan baik dengan negara-negara Arab dan juga Israel seperti memberikan bantuan kewangan untuk pembangunan ekonomi negara. Jelas di sini penglibatan Amerika-Soviet dalam konflik Arab-Israel dari segi persaingan ideologi untuk menyekat pengaruh masing-masing.
Asas pemahamannya, pertentangan fahaman ideologi di antara teori kapitalis dan komunis boleh dianggap salah satu faktor penting konflik Arab-Israel berlaku kerana Israel dijadikan Amerika sebagai benteng untuk menyekat pengaruh ideologi Soviet daripada melebar di kawasan Asia Barat.
3.2  KEPENTINGAN EKONOMI
Kekayaan hasil galian negara-negara Arab ini memang tidak boleh dinafikan selain prospek perdagangan yang menguntungkan. Perebutan utama negara-negara Barat di kawasan Timur Tengah ini disebabkan oleh faktor keperluan minyak.[18] Soviet misalnya di antara tahun 1947 hingga 1949 telah memiliki hampir 5 kawasan konsesi minyak di Iran. Oleh hal yang demikian, sekutu kuat Amerika iaitu Britain merasa terdesak kerana negaranya tidak mempunyai sumber minyak.[19] Oleh hal yang demikian, syarikat melombong milik Britain iaitu British Petroleum dan syarikat Amerika Basra Petroleum Company giat mencari gali minyak di beberapa kawasan misalnya Iraq, Kuwait, Jordan, Arab Saudi dan sebagainya.[20]
Selain daripada keperluan minyak, kawasan negara Timur Tengah menjadi rebutan Amerika dan Soviet disebabkan faktor imbangan dagangan. Negara-negara Arab yang akan menjalankan perdagangan maka sudah tentu perlu ada tempat simpanan keuntungan, maka Britain sekitar 1960-an menjadi Bank Simpanan untuk negara seperti Kuwait, Jordan, Libya, Arab Saudi dan Iraq. Oleh hal yang demikian, mata wang pound sterling menjadi kukuh serta prospek perkembangan ekonominya menjadi lebih cepat.[21] Just
eru, Soviet memerlukan lebih banyak sokongan daripada negara-negara Arab untuk menjalankan kegiatan perdagangan sekaligus menolak kepentingan Amerika dan sekutunya.
Terusan Suez merupakan laluan penting untuk menghubungkan Eropah dan Asia tanpa perlu mengelilingi benua Afrika.[22] Terusan ini diuruskan oleh Universal Company of the Suez Maritime Canal di bawah seliaan Perancis dan Mesir. Pada tahun 1875, Benjamin Disraeli iaitu Perdana Menteri Britain telah membeli saham pengurusan terusan Suez ini. Pada peringkat awal, hubungan Mesir dengan Amerika-Britain amat baik.[23] Buktinya pada tahun 1954, Nasser menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat dari segi bantuan kewangan tanpa syarat sebanyak $40 juta. Britain dan Amerika juga berjanji akan membiayai projek pembinaan Empangan Aswan.[24] Namun pada tahun 1955, hubungan baik ini mulai renggang kerana Nasser menjalinkan hubungan diplomatik dan menunjukkan sokongan terhadap Perdana Menteri India, Jawaharlal Nehru dan Presiden Tito dari Yugoslavia selepas Persidangan Bandung bulan April 1955.[25] Pada tahun 1956 pula, Nasser mula menunjukkan minatnya terhadap blok Soviet dengan mengiktiraf komunis China dan Soviet berjanji akan membantu dalam aspek kewangan untuk pembinaan Empangan Aswan. Kejadian bertambah buruk apabila Nasser menghasut Jordan untuk menyingkirkan pegawai tentera Britain iaitu Jeneral Glubb Pasya.[26] Ketegangan ini akhirnya menyebabkan Britain dengan kerjasama Amerika menarik balik tawaran pinjaman yang dijanjikan untuk pembinaan Empangan Aswan sebanyak $200 juta. Sebagai tidak balas, pada Julai 1956, Nasser melakukan nasionalisasi terusan Suez.[27] Tindakan ini menyebabkan Britain telah mengheret Perancis dan Israel untuk turut serta menyerang Mesir.[28] Jelas bagaimana Israel dijadikan alat atau pengkalan Britain serta Amerika untuk menyerang negara-negara Arab. Konflik Arab-Israel sebenarnya menguntungkan pihak Amerika dan Britain terutamanya setelah tercetusnya Perang Enam Hari pada tahun 1967.[29] Perang ini adalah satu episod konflik Britain-Amerika untuk menguasai kawasan Timur Tengah. Krisis Suez telah menjadikan kredibiliti Nasser meningkat di negara-negara Arab kerana berjaya membuatkan Britain serta sekutunya mengundur diri. Pada ketika ini, Nasser mendapat sokongan kuat daripada Soviet yang memberikan kelengkapan perang serta teknik ketenteraan yang baik. Justeru, Britain-Amerika telah bertindak balas dengan menggunakan Israel sebagai ‘umpan’ untuk memulakan perang. Pada 5 Jun 1967, tentera Israel berjaya memusnahkan hampir 70% ketenteraan udara Mesir dan 66% ketenteraan darat Syria dan Jordan.[30] Dalam masa enam hari sahaja Israel berjaya menguasai Tanah Tinggi Golan, Sharm al-Sheikh, Baitul Maqdis serta Semenanjung Sinai.[31]  Israel dengan bantuan Amerika berjaya mengalahkan United Arab Republic yang diketuai Nasser dengan sangat teruk dan menakluk beberapa wilayah  Semenanjung Sinai yang kaya dengan sumber minyak. Hasil daripada rampasan ini dikongsi bersama pihak Amerika, Israel dan sekutunya misalnya dua buah syarikat cari gali minyak giat menjalankan perlombongan iaitu Compagnie Orietale de Petroles (COPE) dan General Petroleum Company (GPC). Pemprosesan minyak di Sinai mampu menyumbang pengeluaran hampir 160 000 tong sehari. Britain-Amerika mendapat keuntungan dari segi pelaburan dan konsesi minyak manakala Israel mendapat keuntungan dari segi penaklukan wilayah dan sumber air bersih daripada Tanah Tinggi Golan
Konflik antara Amerika Syarikat dan Soviet ini turut berlaku di negara-negara Arab yang lain seperti Turki. Konflik Amerika-Soviet ini berpunca daripada tindakan Turki sendiri iaitu mereka ingin meluaskan kuasa dan mendapatkan semula Kepulauan Cyprus sebagai wilayahnya pada tahun 1970-an.[32] Keadaan ini telah menimbulkan ketegangan hubungan Turki-Amerika kerana Kepulauan Cyprus merupakan sebuah kepulauan domestik yang mempunyai kepentingan untuk Amerika Syarikat. Dalam pada masa yang sama, Soviet melihat ketegangan Turki-Amerika ini adalah sebuah peluang keemasan untuk mereka meluaskan pengaruh di Turki. Tindakan Soviet untuk meluaskan ideologi komunisme ini ditentang habis-habisan oleh Britain kerana Turki merupakan sekutu rapat mereka di Asia Barat.[33] Britain telah mengadakan pakatan secara sulit dengan Amerika untuk menyingkirkan pengaruh Soviet daripada Turki.[34] Keadaan yang berlaku ini menyebabkan wujudnya pertelingkahan antara Soviet dan juga Amerika. Pertelingkahan antara Amerika dan juga Soviet ini telah mendatangkan kesan untuk jangkamasa panjang penglibatan Amerika-Soviet dalam konflik dunia Arab sehingga melibatkan mereka dalam konflik Arab-Israel.
Jelas disini bahawa konflik Arab-Israel sebenarnya adalah Perang Dingin diantara Amerika dan Soviet dalam usaha melebarkan pengaruh serta mendapatkan kepentingan masing-masing di negara-negara Arab.
3.3  KESELAMATAN ISRAEL
Selepas Israel menakluk beberapa wilayah Arab, dalam persidangan Kesset pada 12 Jun 1967, Perdana Menteri Israel iaitu Levi Eshkol menyatakan bahawa Israel tidak akan menyerahkan kembali wilayah Arab yang ditaklukinya.[35] Hal ini menimbulkan kemarahan antabangsa kerana tindakan Israel mencabul hak kedaulatan sesebuah negara dan melanggar undang-undang antarabangsa. Soviet mengecam tindakan Israel dan menuntut supaya Israel menyerahkan kembali wilayah Arab. Oleh hal yang demikian, pada 12 Julai 1967, Yugoslavia membentangkan draf rundingan damai Arab-Israel di PBB dan mendapat sokongan daripada Soviet.[36] Dalam draf ini Israel dituntut untuk mengeluarkan seluruh tenteranya daripada wilayah Arab yang ditaklukinya.[37] Namun Amerika dan Britain menolak draf tersebut kerana ketidakadilan untuk Israel dan Britain sendiri mencipta draf rundingan baru.[38] Draf rundingan ini dikenali sebagai Resolusi 242, Britain telah meletakkan beberapa syarat seperti layanan kepada pelarian Palestin, gencatan senjata serta pengunduran tentera mengikut kehendak Israel.[39] Usaha ini bertujuan untuk menjaga kepentingan Amerika-Britain dengan negara-negara Arab serta Israel.
Draf bentangan ini tidak mendapat sokongan banyak pihak kerana ia lebih mengutamakan kelebihan Israel misalnya isu penguasaan Baitul Maqdis.[40] Walaubagaimanapun, pada 22 November 1967, draf rundingan ini dipersetujui maka penaklukan Israel di kawasan Aran secara tidak lansung ‘dihalalkan’ oleh negara-negara kuasa besar ini. Rundingan ini sebenarnya tidak mampu memadam dendam yang berakar di dalam hati penduduk Palestin dan negara-negara Arab, sebab itulah Palestine Liberation Organization (PLO) menentang draf tersebut bersungguh-sungguh.[41] Akhirnya kemarahan ini dijelmakan di dalam Perang Yom Kippur pada bulan Ramadhan tahun 1973.[42] Perang ini dilancarkan oleh Mesir dan Syria terhadap Israel bertujuan untuk merampas kembali wilayah meraka yang ditakluki.[43] Anwar Sadat merupakan seorang yang berkredibiliti dan mendapat sokongan padu daripada Soviet. Dalam peperangan ini, pada awalnya Israel kalah teruk dan Tanah Tinggi Golan serta kawasab Timur sepanjang terusan Suez merentasi tembok Bar Lev yang dikatakan kubu terkuat Israel berjaya diruntuhkan hanya menggunakan air.[44] Dalam masa dua hari peperangan, Israel kehilangan 49 kapal perang, jet pejuang, hampir 500 kereta kebal musnah serta lebih kurang 3 000 askar terbunuh. Kelemahan Israel pada ketika ini menyebabkan Amerika menghantar bantuan ketenteraan dengan cepat. Maka Israel berjaya mengalahkan Mesir dan Syria dan secara rasminya pada 25 Oktober 1973, peperangan ini berakhir di bawah Resolusi MKPBB 338: 1973.[45]
Keputusan Resolusi 242 dan Resolusi 338 ini jelas menunjukkan permainan Amerika Syarikat dan Britain dalam negara-negara Arab. PBB dilihat tidak mampu menyelesaikan masalah yang berlaku sebaliknya lebih mengeruhkan lagi ketegangan yang berlaku di Asia Barat. Kesemua rundingan damai tajaan Barat tidak adil dan condong kepada kelebihan Israel. Tindakan ini menyebabkan negara-negara Arab mula berpaling daripada Amerika namun mereka disogok oleh segala jenis bantuan, perjanjian kewangan dan keselamatan serantau. Soviet melihat keadaan yang berlaku ini adalah polemik baru yang ditimbulkan oleh Amerika dalam usaha mereka untuk meluaskan pengaruh di Asia Barat. Kesan daripada peristiwa yang berlaku ini menyebabkan konflik antara Soviet dan Amerika terus berlanjutan dalam hubungan politik antara negara-negara Arab dan Israel.
Manifestasi peperangan ini jelas dilihat apabila wujud campurtangan Amerika dan Soviet walaupun bukan berperang secara terus, namun sokongan yang diberikan membuktikan Perang Dingin di antara kedua-dua pihak. Walaupun Anwar Sadat menghalau penasihat Soviet kerana kegagalan untuk mendapatkan senjata yang lebih sofistikated, namun harus diingat sehingga Mei 1971, lebih daripada separuh peralatan ketenteraan Mesir berpunca daripada Soviet.[46] Matlamat dan tujuan yang berbeza seperti Amerika yang mahu memelihara keselamatan Israel manakala Soviet pula mahu menjaga kedaulatan negara-negara Arab.

4.0 KRONOLOGI EMPAT KONFLIK ARAB-ISRAEL
          Konflik dan petempuran kecil di antara negara Arab dengan Israel sangat banyak misalnya rusuhan Jaffa 1921, rusuhan Palestin 1929, Operasi Spiring of Youth 1973, Operasi Litani 1978 dan banyak lagi akibat daripada perasaan tidak puas hati serta dendam yang tidak pernah padam terhadap penubuhan negara haram Israel. Namun empat konflik terbesar ialah Perang Kemerdekaan 1948, Perang Suez 1956, Perang Enam Hari 1967 dan Perang Yom Kippur 1973. Di dalam keempat-empat siri konflik ini, penglibatan Amerika-Britain-Perancis jelas dilihat dalam era Perang Dingin menentang Soviet di Timur Tengah.[47]
          Perang Kemerdekaan pada tahun 1948 berlaku kerana tindakan David Ben Gurion iaitu presiden Israel telah mengistiharkan kemerdekaanya pada 14 Mei 1948 sehari sebelum berakhirnya mandat British di Palestin.[48] Tidakan ini menyebabkan negara-negara Arab berang dan bertindak menyerang Israel pada akhir bulan tersebut. Serangan ini melibatkan Mesir, Syria, Jordan, Lubnan dan beberapa negara Arab lain.[49] Namun mereka mengalami kekalahan kerana Israel mendapat bantuan penuh daripada Amerika dan Britain.[50] Kerjasama serta bantuan yang diberi oleh Amerika dan Britain menyebabkan negara-negara Arab cenderung untuk menjalinkan hubungan baik dengan Soviet yang pada ketika itu ‘dingin’ dengan blok Barat.  Oleh sebab itulah, banyak kelengkapan dan senjata peperangan dibeli daripada Soviet bukannya Amerika.[51]
          Krisis Suez yang berlaku pada tahun 1956 lebih jelas menunjukkan Israel dijadikan ‘base’ atau pengkalan Amerika-Britain di Timur Tengah.[52] Apabila Presiden Mesir iaitu Gemal Abdul Nasser menyatakan hasrat untuk memiliknegarakan konsesi penyelenggaraan Terusan Suez, Britain telah menggunakan Israel sebagai alat untuk permulaan perang dan mengheret Perancis dalam kancah peperangan ini.[53] Perdana Menteri Britain iaitu Sir Anthony Eden menghantar tenteranya dalam skala yang besar namun tindakan ini mendapat tentangan daripada Soviet dan presiden Amerika, Eisenhower mengutuk sikap Israel.[54] Tindakan Amerika ini bertujuan untuk menjaga kepentingannya di Mesir dan negara Arab lain kerana tidak mahu memburukkan lagi keadaan kerana bimbang pengaruh Soviet makin meluas. Walaubagaimanapun, peperangan ini menyebabkan Selat Tiran diistiharkan sebagai kawasan antarabangsa dan Semenanjung Sinai ditawan oleh Israel.[55]
          Seterusnya ialah Perang Enam Hari yang berlaku bermula daripada 5 Jun sehingga 11 Jun 1967. Peperangan ini disertai oleh Mesir, Jordan dan Syria serta mendapat sokongan daripada beberapa negara-negara Arab yang lain.[56] Mesir di bawah pemerintahan Nasser mendapat sokongan padu daripada Soviet misalnya dari segi kelengkapan perang namun Israel mengambil langkah bijak apabila menyerang Mesir pada waktu Subuh dalam keadaan tentera-tentera Mesir yang tidak bersedia. Negara-negara Arab telah mengalami kekalahan teruk dan imej Nasser yang dianggap sebagai ‘hero’ terjejas.[57] Mesir kehilangan Semenanjung Sinai, Baitul Maqdis dan Bukit Tinggi Golan. Terdapat tiga keuntungan Amerika-Britain-Israel dalam peperangan ini iaitu telaga minyak di Semenanjung Sinai, perluasan wilayah Israel dan penyelesaian krisis bekalan air bersih.[58]
          Lanjutan daripada Perang Enam Hari, di bawah Resolusi 242 anjuran Britain dan sekutunya menyebabkan negara-negara Arab tidak berpuas hati. Justeru, Perang Yom Kippur menjadi bukti apabila Mesir mahu mendapatkan kembali Semenanjung Sinai dan Syria mahukan Bukit Tinggi Golan.[59] Anwar Sadat menuntut agar Israel mengundurkan kembali tenteranya dan Israel hampir-hampir kalah namun dengan bantuan segera dari Amerika, Mesir dan Syria berjaya dikalahkan.[60] Keempat-empat siri konflik ini membuktikan penglibatan Amerika dan Soviet di dalam kancah penguasaan mereka di Timur Tengah dengan menjadikan negara Arab-Israel sebagai titik tengah.
5.0  KESIMPULAN
          Lanjutan daripada Perang Dunia II menyaksikan konflik dua kuasa besar dunia Amerika dan Soviet dalam arena antarabangsa. Di Timur Tengah khususnya, Soviet mahu melebarkan sayap kekuasaanya namun mendapat tentangan sengit daripada Amerika. Istilah Perang Dingin wujud kerana ia tidak berlaku secara lansung, negara Arab-Israel ini dijadikan ‘kambing hitam’ daripada Amerika dan Soviet untuk membuktikan kekuatan serta menjaga kepentingan masing-masing. Jelasnya, konflik Arab-Israel ini sebenarnya adalah arena Perang Dingin di antara Soviet dengan Amerika di Timur Tengah.

6.0   KESIMPULAN



Alexender L. George. 1983.  Managing U.S-Soviet Rivalry: Problems of Crisis Prevention. Colorado: Westview Press Inc.


Anthony Wood. 1986. The Russian Revolution, Second Edition. London: Longman Group Limited.


Eur. 2002.  The Middle East and North Africa: Regional Survey of The World. London: Routledge Publishing.


Gabriel Ben-Dor. 1983.  State and Conflict in The Middle East: Emergence of The Postcolonial State. New York: Praeger  Publisher.


George F. Kennan. 1956.  Soviet-American Relations, 1917-1920: Russia Leaves the War. New Jersey: Princeton University Press.


Gregory Treverton. 1983. Crisis Management and The Super-Powers in the Middle East. London: Gower Publishing Company Limited.


James A. Bill and Robert Springborg. 1994. Politics in the Middle East, Fouth Edition. New York: Harper Collins College Publisher.


James A. Bill and Carl Leiden. 1979. Politics in The Middle East. Canada: Little, Brown & Company Limited.


John Fforde. 1992. The Bank of England and Public Policy, 1941-1948. United Kingdom: Cambridge University Press.


Kaveh Farrokh. 2011. Iran at War, 1500-1988. India: Osprey Publishing.


Mike Bowker. 2007. Russia, America and the Islamic World. Hampshire: Ashgate Publishing Limited.


Nikshoy C. Chatterji. 1987. A History of Modern Middle East. New Delhi: Sterling Publisher Private Limited.


Paul Y. Hammond. 1972. Political Dynamics in the Middle East. New York: American Elsevier Publishing Company.


Steven L. Spiegel. 1982. The Middle East and the Western Alliance. London: George Allen & Unwin Publisher.


Tarun Chandra Bose. 1931. The Superpowers and the Middle East. New Delhi: Asia Publishing House.


Walter Lafeber. 1972. America, Russia, and the Cold War, 1945-1971.  New York: John Wiley and Sons Inc.



[1]  George F. Kennan, Soviet-American Relations, 1917-1920: Russia Leaves the War, (New Jersey: Princeton
    University Press, 1956) hlm. 52.
[2]  George F. Kennan, Soviet-American Relations, 1917-1920: Russia Leaves the War, hlm. 14.
[3]  Tarun Chandra Bose, The Superpowers and the Middle East, (New Delhi: Asia Publishing House, 1931) hlm. 2.
[4]  Kaveh Farrokh, Iran at War, 1500-1988, (India: Osprey Publishing, 2011) Chapter 28.
[5]  Tarun Chandra Bose, The Superpowers and the Middle East, hlm. 7.
[6]  Ibid. hlm. 8-9.
[7]  Anthony Wood, The Russian Revolution, Second Edition, (London: Longman Group Limited, 1986) hlm. 12.
[8]  Ibid. hlm. 7.
[9]  Ibid. hlm. 9.
[10]  Mike Bowker, Russia, America and the Islamic World, (Hampshire: Ashgate Publishing Limited, 2007) hlm. 124.
[11]  Tarun Chandra Bose, The Superpowers and the Middle East, hlm. 2.
[12]  Ibid. hlm. 4.
[13]  James A. Bill and Robert Springborg, Politics in the Middle East, Fouth Edition, ( New York: Harper Collins College Publisher, 1994) hlm. 260.
[14]  Paul Y. Hammond, Political Dynamics in the Middle East, (New York: American Elsevier Publishing Company,
     1972) hlm.  230.
[15]  Ibid. hlm. 71.
[16]  Ibid. hlm. 86.
[17]  James A. Bill and Carl Leiden, Politics in The Middle East, ( Canada: Little, Brown & Company Limited, 1979)
     hlm. 265.
[18]  Steven L. Spiegel, The Middle East and the Western Alliance, (London: George Allen & Unwin Publisher, 1982)
     hlm. 83.
[19]  Ibid. hlm. 90.
[20]  Nikshoy C. Chatterji, A History of Modern Middle East, (New Delhi: Sterling Publisher Private Limited, 1987)
     hlm. 503.
[21]  John Fforde, The Bank of England and Public Policy, 1941-1948, ( UK: Cambridge University Press, 1992)
     hlm. 117.
[22]  James A. Bill and Carl Leiden, Politics in The Middle East,  hlm. 220.
[23]  Ibid. hlm 263.
[24]  Paul Y. Hammond, Political Dynamics in the Middle East, hlm. 505.
[25]  James A. Bill and Crl Leiden, Politics in The Middle East, hlm. 299.
[26] James A. Bill and Carl Leiden, Politics in The Middle East, hlm. 239.
[27]  Nikshoy C. Chatterji, A History of Modern Middle East, hlm. 107.
[28]  Ibid. hlm. 113.
[29]  Tarun Chandra Bose, The Superpowers and the Middle East, hlm. 91.
[30]  Mike Bowker, Russia, America and the Islamic World, hlm. 126.
[31]  Tarun Chandra Bose, The Superpowers and the Middle East, hlm. 98.
[32]  Paul Y. Hammond, Political Dynamics in the Middle East, hlm. 547.
[33]  Walter Lafeber, America, Russia, and the Cold War, 1945-1971, ( New York: John Wiley and Sons Inc, 1972)
     hlm. 193.
[34]  Ibid. hlm. 198.
[35]  James A. Bill and Robert Springborg, Politics in the Middle East, Fouth Edition, hlm. 313.
[36]  Ibid. hlm. 343.
[37]  Alexender L. George, Managing U.S-Soviet Rivalry: Problems of Crisis Prevention, (Colorado: Westview Press Inc,
     1983) hlm. 139.
[38]  Nikshoy C. Chatterji, A History of Modern Middle East, hlm. 391. Lihat juga artikel George W. Breslauer, Soviet
     Policy in The Middle East, 1967-1972: Unalterable Antagonism or Collaborative Competition.
[39]  Nikshoy C. Chatterji, A History of Modern Middle East, hlm. 392.
[40]  Ibid. hlm. 392.
[41]  Eur, The Middle East and North Africa: Regional Survey of The World, (London: Routledge Publishing, 2002)
     hlm. 4.
[42]  Gabriel Ben-Dor, State and Conflict in The Middle East: Emergence of The Postcolonial State, (New York: Praeger
     Publisher, 1983) hlm. 149.
[43]  Ibid. hlm. 150.
[44]  Gregory Treverton, Crisis Management and The Super-Powers in the Middle East, (London: Gower Publishing Company Limited, 1983) hlm. 74.
[45]  Gregory Treverton, Crisis Management and The Super-Powers in the Middle East, hlm. 75.
[46]  Paul Y. Hammond, Political Dynamics in the Middle East, hlm. 196-202.
[47]  Tarun Chandra Bose, The Superpowers and the Middle East, hlm. 2.
[48]  James A. Bill and Carl Leiden, Politics in The Middle East, hlm. 318.
[49]  Ibid. 323.
[50] Paul Y. Hammond, Political Dynamics in the Middle East, hlm. 116.
[51]  Ibid. hlm. 53.
[52]  Steven L. Spiegel, The Middle East and the Western Alliance, hlm. 152.
[53]  Ibid. hlm. 9.
[54]  Nikshoy C. Chatterji, A History of Modern Middle East, hlm. 108.
[55]  Ibid. hlm. 121.
[56]  Ibid. hlm. 235.
[57]  Ibid. hlm. 265.
[58]  Tarun Chandra Bose, The Superpowers and the Middle East, hlm. 136.
[59]  Ibid. hlm. 137.
[60]  Ibid. hlm. 143.

No comments:

Post a Comment