Monday, 2 January 2012

PENDUDUKAN BRITISH DI TANAH MELAYU

PENGENALAN
            Era kolonial yang berlaku di Tanah Melayu meninggalkan pelbagai kesan yang mendalam dari segi ekonomi, politik dan sosial masyarakat pribumi. Menurut Cheah Boon Kheng, kolonialisme bermaksud satu keadaan buruk bagi jajahan atau ‘eksploitasi jajahan’ oleh negara imperialis.[1] Secara rasminya kedatangan British di Tanah Melayu bermula sejak tahun 1786 setelah Francis Light menduduki Pulau Pinang dan perluasan wilayah sehingga ke Seberang Perai berlaku dengan termeterainya perjanjian pada tahun 1800.[2] Perlu kita ketahui kedatangan utama pihak British ke Tanah Melayu mempunyai tujuan yang amat jelas iaitu kekayaan dan kekuasaan, berbeza dengan ekspedisi Sepanyol ke Filipina yang banyak menumpukan kepada aspek keagamaan. Oleh sebab itulah pihak British tidak campur tangan dalam urusan agama dan adat tempatan di Tanah Melayu yang diserahkan kepada tanggungjawab Raja. Untuk merealisasikan hasrat untuk mencari hasil kekayaan, mereka telah memperkenalkan pertanian ekspot dan memonopoli sektor perlombongan untuk mendapatkan bekalan serta keuntungan hasil dagangan.[3]
            Penduduk di Malaysia mengamalkan pertanian tradisional yakni untuk keperluan keluarga sahaja dan lebihan hasil akan ditukarkan dengan barangan lain (sistem barter). Namun selepas kedatangan British, mereka memperkenalkan penanaman getah dan memperluaskan pelaburan dalam sektor penanaman lain seperti lada hitam, gambir, buah pala, tebu dan sebagainya. Memang benar orang-orang Cina merupakan perintis kepada tanaman berikut tetapi aspek modal yang besar dan teknologi itensif daripada pihak Eropah menyebabkan orang-orang Cina tidak mampu bersaing.[4] Oleh sebab itu pemodal daripada Eropah ini boleh dikatakan mengeksploitasi sumber alam secara maksimum berdasarkan kelebihan-kelebihan yang mereka miliki. Dalam aspek perlombongan bijih timah pula, ia bukanlah perkara baru di Tanah Melayu.  Menurut catatan rekod pedagang Belanda sebelum abad ke-17, di Melaka telah wujud perdagangan bijih timah dengan China, India dan Jawa dan dianggarkan pengeluaran  hasil hampir 2 ribu tan.[5] Sebelum kedatangan Inggeris, konsesi perusahaan lombong diberikan kepada orang Cina namun selepas orang-orang Inggeris mula menceburi sektor perlombongan, persaingan dari segi teknologi dan modal menyebabkan orang-orang Cina ketinggalan jauh dan akhirnya pihak Inggeris yang memonopolinya.[6]
 Walaubagaimanapun, kedatangan pihak Inggeris memang benar hanya sekadar mengaut  keuntungan di Malaysia dan manfaat yang seharusnya diperolehi kaum pribumi dinafikan misalnya keuntungan pertanian, penguasaan tanah, hasil perlombongan, kemudahan pendidikan dan infrastruktur perbandaran. Inilah manfaat yang sepatutnya dinikmati penduduk pribumi tetai dinafikan oleh pihak pentabir kolonial.



HASIL PERLOMBONGAN
            Perusahaan perlombongan bijih timah di Tanah Melayu pada pertengahan kurun ke-19 dijalankan oleh pelombong-pelombong dari China namun selepas berlakunya Revolusi Perindustrian di Eropah, permintaan bijih timah semakin meningkat dalam industri pengetinan, kenderaan, wayar, keretapi dan sebagainya. Faktor inilah yang mendorong pihak Inggeris campur tangan dalam perusahaan perlombongan bijih timah yang mendatangkan hasil yang lumayan. Pemodal daripada Eropah mula melabur di Tanah Melayu secara besar-besaran seawal dekad pertama abad ke-20 misalnya Straits Trading Company, Syarikat Messrs, Osborne dan Chapel di Tnjung Rambutan dan Syarikat Malayan Tin Dredging di Batu Gajah, Perak. Kesemua syarikat ini memperkenalkan teknologi perlombongan moden misalnya pam kelikir, monitor dan kapal korek seperti yang digunakan di New Zealand dan Australia.[7]
Dari segi pengeluaran, usaha-usaha pentadbiran Inggeris yang menyediakan suasana yang menyenangkan dan perkhidmatan yang baik menyebabkan hasil perlombongan sangat menakjubkan. Dalam tahun 1874, dari 36 000 ribu tan pengeluaran bijih timah dunia, sumbangan Tanah Melayu hanya dianggarkan sebanyak 4 200 tan sahaja. Manakala dalam tahun 1895, Tanah Melayu menyumbangkan 45 529 tan bijih timah yakni melebihi 50 peratus daripada jumlah pengeluaran bijih timah dunia sebanyak 90 207 tan.[8]  Pertambahan jumlah pengeluaran ini menguntungkan kerajaan penjajah dari segi pendapatan cukai ekspot, di Selangor dan Perak misalnya berjumlah $389 381 dari jumlah hasil $536 759.[9] Berdasarkan Laporan Jabatan Perlombongan Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1901, didapati bahawa jumlah logam timah yang dieksport adalah sebanyak 364 000 tan dan jumlah eksport timah yang masih dalam bentuk biji galian adalah sebanyak 412 000 tan dengan jumlah eksport keseluruhannya sebanyak 785,000 tan. Dengan jumlah ini, Syarikat Trading Company berjaya mengatasi eksport pelebur-pelebur Cina tempatan yang menjadi pesaing British pada masa itu. Tambahan pula, syarikat British ini memperoleh pendapatan melalui aliran masuk wang ke dalam NMB                                                     hasil daripada pembayaran import bijih timah daripada pasaran utama Tanah Melayu iaitu Amerika Syarikat.[10] Misalnya, sejak akhir abad ke-19, Amerika Syarikat menjadi pengguna terbesar  bijih timah di Semenanjung Malaysia dan sehingga tahun 1925, Amerika Syarikat telah  menggunakan 76 000   yakni  50.6 peratus daripada 150 000  tan yang digunakan pada tahun itu.[11]
Peningkatan permintaan bijih timah menyebabkan kerajaan British membawa masuk ramai pelombong-pelombong dari China kerana kepakaran, kerajinan dan kos bayaran yang rendah. Tidak cukup dengan keuntungan dari cukai ekspot bijih timah, kerajaan penjajah ini juga mengenakan cukai ke atas aktiviti orang Cina misalnya cukai arak, perjudian, kegiatan pelacuran, kedai pajak, candu dan sebagainya. Bukan sahaja hasil keuntungan bijih timah dikaut pihak British malah kepada pekerja yang memberi mereka keuntungan juga yakni orang-orang Cina dibebankan dengan kepelbagaian cukai. Tidak ubah sikap penjajah British ini bagai ‘manusia kerakusan wang’ yang sanggup berbuat apa sahaja demi mendapatkan keuntungan.
Penguasaan pihak British di Borneo bermula selepas perjanjian tahun 1877 di antara kompeni Overbeck dan Bent dengan Sultan Abdul Mu’min dengan Pangeran Temenggung. Pada tahun 1881, Sabah ditadbir oleh William Cowie iaitu pengarah urusan Syarikat Borneo Utara British (SBUB). Menurut Thomas Stamford Raffles, Wakil Gabenor Jeneral Negeri-Negeri Melayu, pulau Borneo bukan sahaja salah sebuah negeri paling subur di dunia malah memiliki banyak emas dan berlian.[12] Di Sarawak pula, James Brooke mula mentadbir pada Februari 1841, setelah menerima gelaran ‘Residen Sarawak’ oleh Raja Muda.[13] Sebenarnya sesetengah pendapat mengatakan Brooke bersifat pelindung kepada kaum pribumi Sarawak kerana tidak membenarkan pemodal-pemodal Eropah masuk ke Sarawak adalah tidak benar. Buktinya perlombongan petroleum yang dijalankan di Miri seawal tahun 1910an, Syarikat Petroleum Anglo-Saxon dan Royal Ducth-Shell Group telah mendapat lesen untuk mengusahakan cari gali minyak di kawasan tersebut.[14] Pada tahun 1911, jumlah pengeluaran sebanyak 260 tan dan meningkat secara mendadak sebanyak 26 607 tan pada tahun 1913. Perlombongan emas pula dari tahun 1864 hingga 1921 mencatatkan penghasilan hampir 1 juta aun, dengan nilai anggaran $26 juta.[15]
Walaupun hasil bumi Sabah dan Sarawak kaya dengan arang batu, emas, antimoni, petroleum dan bauksit, kaum pribumi masih hidup dalam keadaan primitif. Segala keuntungan dieksploitasi oleh Syarikat Borneo Utara British dan Brooke dalam usaha mereka untuk mengaut segala keuntungan yang ada di bumi Malaysia.
PENGUASAAN DAN PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG TANAH
            Kedatangan British ke Tanah Melayu menyaksikan tanah-tanah pertanian milik pribumi ini dikuasai dan dieksploitasi hasilnya. Menurut kajian seorang sarjana Jepun di Malaysia, lebih daripada 180 buah syarikat British di Tanah Melayu yang menguasai hampir 800 000 ekar pokok getah yakni hampir 59 peratus ladang getah yang terdapat di Tanah Melayu misalnya Rubber Esatate Agency of London (REAL), Sandylands Buttery & Co, Sime Darby Ltd, Guthrie & Co serta pelbagai lagi.[16] Selepas wujudnya proses pemvulkanan dan kemajuan-kemajuan dalam pemprosesan getah, pemodal-pemodal British berlumba-lumba melabur di Tanah Melayu. Ladang-ladan luas milik orang Eropah, kemudian 1/5 milik pemodal Cina dan orang Melayu hanya sedikit sahaja dan dianggarkan hanya 165 000 ekar milik orang Melayu.[17]
             Di Kelantan misalnya, Syarikat Pembangunan Duff melabur modal dalam perusahaan getah di Hulu Kelantan dan memiliki lebih daripada 2 ribu ekar tanah dengan cukai maksimum $0.25 sen seekar. Dengan adanya modal yang besar, tiga buah estet telah dibuka iaitu Estet Taku seluas 713 ekar, Estet Kenneth seluas 371 ekar dan Estet Kluat meliputi kawasan tebing sungai anggaran 189 ekar. Pada akhir tahun 1908, jumlah keseluruhan estet di Kelantan ialah 3 740 ekar, namun milik orang Melayu hanya 123 ekar yakni 3.5 peratus daripada keseluruhan.[18]
Pada tahun 1913, British telah memperkenalkan Akta Tanah Simpanan Melayu bertujuan untuk melindungi tanah-tanah kaum pribumi ini daripada dimiliki oleh orang lain, hanya Residen mempunyai kuasa untuk memberikan konsesi tanah perusahaan kepada mana-mana pemodal.[19] Dalam hal ini, di setiap kawasan Tanah Simpanan, kegiatan pertanian ekspot tidak dibenarkan.[20] Undang-undang ini diperkukuhkan lagi dengan pelaksanaan Enakmen Tanah Padi pada tahun 1917, iaitu larangan penanaman getah di kawasan-kawasan penananman padi. Secara teorinya memang British berusaha melindungi tanah-tanah orang Melayu daripada dipindah milik kepada orang-orang Cina, India mahupun kaum lain, namun secara praktikalnya ia bertujuan untuk mengekalkan keseimbangan ekonomi. Orang-orang Melayu perlu membekalkan makanan kepada pekerja-pekerja British di sektor perlombongan dan perladangan sekaligus mengukuhkan rantaian sistem pengeluaran yang lebih progresif.[21] Tidak cukup dengan sekatan tersebut, British memperkenalkan lagi Rancangan Peraturan Getah Antarabangsa pada tahun 1934 dengan memberi kuoto kecil sahaja kepada orang-orang Melayu yang masih mahu menjalankan penanaman getah.[22] Namun hal yang sebaliknya berlaku kepada pemodal-pemodal Eropah, British memperkenalkan pelbagai skim pelaburan dan cukai yang rendah untuk menarik minat mereka melabur dalam pertanian ekspot bagi merancakkan kegiatan perusahaan perindustrian namun orang-orang Melayu dihalang untuk menceburkan diri dalam pertanian ekspot sekaligus merencatkan pertumbuhan ekonomi dan mencacatkan peredaran sosial mereka.
Di Sarawak pula, beberapa akta diperkenalkan untuk melindungi tanah milik pribumi misalnya Land Order pada tahun 1931 dan Land Settlement Order pada tahun 1933. Undang-undang ini melarang penduduk pribumi memajak atau menjual mana-mana tanah bertujuan untuk mengekalkan pemilikannya hak pribumi namun Rajah yakni Keluarga Brooke mempunyai kuasa mutlak menentukan status tanah tersebut bertujuan komersian ataupun tidak. Jika benar Keluarga Brooke mahu melindungi tanah-tanah milik pribumi, orang-orang Cina Foochow, Hakka dan Kantonis tidak akan diberi konsesi tanah dan modal permulaan untuk penanaman lada.[23] Diantara tahun 1935 hingga 1939, Sarawak merupakan pengeluar lada kedua terbesar di dunia dengan  hitungan purata pengeluaran 2 700 tan setahun.[24]
Tiga kawasan utama perusahaan lada di kawasan Kuching-Serian di Bahagian Pertama milik orang Hakka, dan di Bahagian Ketiga iaitu Sarikei-Binatang milik orang-orang Foochow dan Kantonis. Penglibatan orang-orang Iban dan Dayak Darat hanya 26 peratus daripada nilai keseluruhan sehingga tahun 1959.[25] Dalam hal perlombongan emas pula, hasil pengeluarannya seawal tahun 1840an lagi, namun semuanya dimiliki oleh orang-orang Cina misalnya di Bau-Bidi, Tai Ton dan Tai Parit. Menurut laporan akhir tahun 1959, jumlah emas yang dihasilkan sebanyak 1 235 000 aun namun kaum pribumi hanyalah sekadar pekerja sahaja. Lombong-lombong ini milik Syarikat Borneo, Syarikat Perlombongan Emas Say Seng, Syarikat Perlombongan Kwei Fah, Ng Kui Hiung dan banyak lagi. Maka jelas pelaksanaan undang-undang ini hanya di atas kertas tetapi kebenaran berlaku disebaliknya kerana penduduk pribumi masih tertinggal jauh dalam arus pembangunan sosioekonomi semasa.
Di Sabah pula, pengenalan kepada Proklamasi III Perlindungan Hak Pribumi pada tahun 1889 menyatakan bahawa hak milik tanah pribumi diletakkan di bawah kuasa Pegawai Daerah dan jual beli tanah dengan pelabur-pelabur Eropah perlu mendapat persetujuan Ketua Pribumi. Ini adalah perkara yang termaktub di dalam undang-undang namun selepas desakan daripada pemodal-pemodal Eropah, British mengambil alih pentadbiran Sabah daripada Syarikat British Utara Borneo (SBUB) pada 26 Jun 1946. Hal ini jelas menunjukkan undang-undang untuk melindungi hak pribumi hanya sekadar di atas kertas kerana hasil bumi Sabah terus-menerus dieksploitasi oleh pemodal Eropah maka akhirnya kaum pribumi ini masih mengamalkan sistem kehidupan tradisional mereka.
DASAR PEMBANGUNAN DAN PENDIDIKAN
Pengenalan dasar Pecah dan Perintah (Divide and Rule) yang diamalkan oleh British di Tanah Melayu benar-benar menyebabkan kaum pribumi terpisah jauh dari arus pembangunan ekonomi. Pada asalnya, tujuan British memperkenalkan dasar ini adalah untuk memudahkan pentadbiran mereka agar pertelingkahan kaum dapat dielakkan maka pengasingan dilakukan. Sekitar tahun 1920an misalnya menyaksikan bagaimana pola kependudukan terbentuk dan perpisahan fizikal nyata berlaku apabila wujudnya perbandaran. Orang-orang Cina tertumpu di Pulau Pinang, Telok Anson, Kelang, Muar, Ipoh, Kucing dan banyak lagi semuanya di kawasan-kawasan bandar manakala orang India terus di ladang-ladang hanya segelintir kecil di kawasan bandar manakalan orang Melayu majoriti besarnya di kawasan luar bandar.
Umum kita ketahui bagaimana prasarana di kawasan-kawasan bandar yang lebih baik misalnya pendidikan. Pada tahun 1872, A. M. Skinner iaitu Inspektor Sekolah-sekolah Negeri Selat telah mewujudkan sekolah Melayu sebanyak 16 buah dengan jumlah pelajar 427 orang.[26] Konsep pengajarannya hanya berteraskan tiga aspek iaitu membaca, mengira dan menulis (3M). Matlamatnya bukan mahu melahirkan pelajar-pelajar Melayu yang cemerlang tetapi sekadar lebih baik dari ibu bapa mereka, sama juga halnya dengan penubuhan Maktab Melayu Kuala Kangsar pada 2 Januari 1905 kepada golongan elit dari kalangan orang Melayu.[27] Tujuannya adalah untuk ‘menginggeriskan’ mereka dan membolehkan pentadbiran berjalan lebih mudah misalnya Tunku Abdul Rahman sendiri kehidupannya bagai orang British, hanya Melayu di hadapan orang-orang Melayu. Di kawasan bandar pula, orang-orang Cina lebih banyak mendapat pendidikan yang baik misalnya dengan penubuhan Penang Free School, Chatolic Free School, Victoria Institution, St. John’s Institution dan banyak lagi. Sekolah-sekolah ini melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi pendidikan dan pengajarannya, namun yuran yang mahal menyebabkan orang-orang Melayu tidak ramai mampu menuntut di sana.[28]
Maka jelas pengenalan dasar oleh pihak kolonial ini menyebabkan kaum pribumi dinafikan haknya dari segi pembangunan ekonomi dan pelajaran. Orang-orang Cina di bandar lebih sofistikated dan berpelajaran, berbanding kehidupan orang-orang Melayu tertinggal jauh dalam segala aspek di Tanah Melayu.[29]
KESIMPULAN
Memang benar secara teorinya penduduk pribumi tidak ditindas dengan kejam seperti kerajaan Sepanyol di Filipina dan Belanda di Indonesia, tetapi secara pengamalan melalui dasar-dasar dan sikap yang diamalkan oleh kerajaan kolonial menyababkan hak-hak yang sepatutnya diperolehi kepada penduduk pribumi dinafikan misalnya dalam aspek kemajuan pertanian, penguasaan perlombongan dan aspek pendidikan. Maka jelaslah tujuan asal kedatangan British ke Tanah Melayu hanya untuk mengeksploitasi hasil bumi dan segala tindak tanduk mereka menjelaskan apa sahaja yang dilakukan supaya kedudukan ekonomi mereka di Malaysia terjejas.








BIBLIOGRAFI
Awang Had Salleh. 1979. Malay Secular Education and Teacher Training in British Malaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Barbara Watson Andaya and Leonard  Y. Andaya. 1983. Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur : Mac Milan Publisher Sdn. Bhd.

Cheah Boon Kheng dan Abu Talib Ahmad. 1990. Kolonialisme di Malaysia dam di Negara-negara Lian. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Chelliah, D.D. 1947. A Short History of The Educational Policy of the Straits Settlement, 1800-1925, Kuala Lumpur: Government Press. 1947.

Institut Tadbiran Awam Negara. 1982. Negara Kita: Sejarah, Pentadbiran dan Dasar-dasar Pembangunan, Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia.
Irhim, Graham. 1965. Nineteenth Century Borneo. A Study in Diplomatic Rivalry. Sinagpore: Donald Mooore.
Mahathir Mohamad. 1970. The Malay Dilemma. Kuala Lumpur: Times Books International.

Mohd. Isa Othman. 2002. Sejarah Malaysia 1800-1963. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors  Sdn. Bhd. 

Nik Hasslinda Nik Hussain. 2011. Pentadbiran Kolonial dan Isu Pemilikan Tanah di Kelantan, 1881-1941. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

Ramlah Adam. 1987. Dato’ Onn Jaafar: Peranan dalam Politik dan Pentadbiran di Persekutuan Tanah Melayu, 1895-1962, University of Michingan: Gateway Publication House.

Rupert Emerson. 1987. Malaysia: A Study in Direct and Indirect Rule.  terjemahan; Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Yip Yat Hoong. 1969. The Development of the Mining Industry of Malaya, Kuala Lumpur: University of Malaya Press.



[1]  Cheah Boon Kheng, Imperialisme dan Kolonialisme: Beberapa pandangan dalam, Cheah Boon Kheng dan Abu Talib Ahmad (peny.) Kolonialisme di Malaysia dan Negara-negara Lain, (Petaling Jaya: Fajar Bakti, 1990) m.s 15.
[2]  Julia De Bierre, Penang: Through Gilded Doors, (Areca Books: Pulau Pinang). ms. 13.
[3]  Ramlah Adam, Dato’ Onn Jaafar: Peranan dalam Politik dan Pentadbiran di Persekutuan Tanah Melayu, 1895-1962, ( University of Michingan: Gateway Publication House, 1987 ) m.s 35.
[4]  Nicholas J. White, British Business in Post Colonial Malaysia’s 1957-1970,  Neo-Colonialism or Disengagement, (terjemahan, London:  Routledge Curzon, 2004) m.s 6.
[5]  Institut Tadbiran Awam Negara, Negara Kita: Sejarah, Pentadbiran dan Dasar-dasar Pembangunan, (Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia, 1982) m.s 17.
[6]  Rupert Emerson, Malaysia: A Study in Direct and Indirect Rule, ( terjemahan; Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka) m.s 42.
[7]  Mohd. Isa Othman, Sejarah Malaysia 1800-1963, (Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors  Sdn. Bhd.  2002) m.s 193.
[8]  Barbara Watson Andaya and Leonard  Y. Andaya, Sejarah Malaysia, ( terjemahan, Kuala Lumpur : Mac Milan Publisher Sdn. Bhd. 1983) m.s  245.
[9]  Institut Tadbiran Awam Negara, Negara Kita: Sejarah, Pentadbiran dan Dasar-dasar Pembangunan, (Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia, 1982) m.s 18.
[10]  Ibid. m.s 23.
[11]  Yip Yat Hoong, The Development of the Mining Industry of Malaya, (Kuala Lumpur: University of Malaya Press, 1969). m.s 113.
[12]  Raffles kepada Minto, 10 Jun 1811. Sophia Raffles, Memoir of the Life and Public Services of Sir Stamford Raffles. (Perpustakaan Pejabat India MSS Eur.E.) m.s 59.
[13]   Graham Irwin, Nineteenth Century Borneo A Study in Diplomatic Rivalry, (Singapore: Donald Moore, 1986) m.s 96.
[14]  James C. Jackson, Sarawak: A Georaphical Survey of a Developing State, (terjemahan, Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1976). m.s 171.
[15]  Ibid. m.s 165.
[16]  Nicholas J. White, British Business in Post Colonial Malaysia’s 1957-1970,  Neo-Colonialism or Disengagement, m.s 5.
[17]  Perangkaan yang dikeluarkan dari Buku Tahunan Tanah Melayu, 1935 (Singapura, 1935). Bagi perusahaan getah, lihat juga penerbitan yang dikeluarkan Jabatan Pertanian Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Nationality of Ownership and Nature of Constitution of Rubber Estate in Malaya oleh D.H Grist( Kuala Lumpur, 1931).
[18]  Nik Hasslinda Nik Hussain, Pentadbiran Kolonial dan Isu Pemilikan Tanah di Kelantan, 1881-1941, (Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia, 2011) m.s  69.
[19]  Ramlah Adam, Dato’ Onn Jaa’far Pengasas Kemerdekaan, ( Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992) m.s 215.
[20]  Rupert Emeson, Malaysia: A Study in Direct and Indirect Rule, m.s 61.
[21]  Ibid. m.s 64.
[22]  Ibid. m.s 47.
[23]  H. Longhurst, The Borneo Story, (London: Newman Neame, 1956) m.s 65.
[24]  G. Dalton, Pepper Growing in Upper Sarawak (Journal Muzium Sarawak, Jilid 1 Bilangan 2, 1912) m.s 55.
[25]  Banci Pertanian Sarawak, 1960, Kucing, n.d. (minesgraph) m.s 23.
[26]  Awang Had Salleh, Malay Secular Education and Teacher Training in British Malaya ( Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979) m.s 3-4.
[27]  Ibid. m.s 10.
[28]  D.D Chelliah, A Short History of The Educational Policy of the Straits Settlement, 1800-1925, ( Kuala Lumpur: Government Press. 1947) m.s 42.
[29]  Mahathir Mohamad, The Malay Dilemma, ( Kuala Lumpur: Times Books Internatioanal, 1970) m.s 22.

1 comment:

  1. terima kasih. banyak pengisian dan boleh dijadikan rujukan

    ReplyDelete