Monday 2 January 2012

RESTORASI MEIJI DI JEPUN


1.0  PENGENALAN
Pemerintahan Meiji yang berlangsung selama 44 tahun bermula dari 1868 hingga 1912 merupakan satu era yang penting dalam sejarah Jepun. Ia juga dikenali sebagai era pemulihan Meiji di mana bermulanya pemodenan baru yang dilakukan setelah Jepun mengamalkan dasar tutup pintu selama hampir 200 tahun semasa pemerintahan Shogun Tokugawa.[1] Modernisasi pada zaman keagungan Meiji ditinjau dalam aspek pencerahan pemikiran dan anjakan paradigma kesedaran masyarakat akibat daripada kongkongan penyebaran ilmu bersifat global serta lumpuhnya sekatan kebebasan berbentuk diskriminatif. Akibat daripada desakan kuat daripada pihak Barat, kedatangan Komander Matthew Perry di Uraga pada tahun 1853 perintis awal untuk Jepun membuka ‘tirai besi’ yang telah lama dipagarinya.[2] Pada tahun 1862, seorang warga British iaitu Richardson telah dibunuh oleh ketua suku Satsuma dari Yedo kerana tidak menghormati adat memberi hormat.[3] Rentetan daripada kejadian ini, kerajaan British telah menuntut pampasan dan serta membalas dendam dengan menyerang Kogoshima, ibu kota Satsuma.[4]
Pada tahun 1863 pula, sebuah kapal Amerika Syarikat telah ditembak oleh suku Choshu kerana lalu di Selat Shimonoseki. Maka British, Perancis, Belanda dan Amerika campurtangan dalam hal ehwal politik Jepun serta mengenakan pampasan yang berat. Akhirnya pada tahun 1866, Sir Harry Parkers bersedia menarik kembali tuntutan pampasan dengan syarat Jepun menghapuskan dasar pemencilan yakni pelaksanaan hubungan perdangan terbuka.[5] Shogun terpaksa bersetuju dengan permintaan tersebut walaupun mendapat pelbagai tentangan sengit daripada rakyat misalnya dari Yedo. Kemudian pada musim luruh tanggal 1867, suku Satsuma, Choshu, Tosa, Hizen serta suku-suku dari Barat menuntut agar Shogun meletak jawatan dan mengembalikan kekuasaan Maharaja yang telah sekian lama dirampas.[6] Maka bermula pada 23 Oktober 1868, dikatakan pemulihan atau pemodenan Jepun telah bermula dengan pemerintahan Meiji.[7] Pemerintahan Meiji bertujuan untuk mengembalikan maharaja kepada kedudukannya yang sebenar sebagai ketua masyarakat Jepun yang tertinggi . Walaubagaimanapun, kepimpinan kerajaan baru telah didominasi oleh samurai muda dari suku kaum Satsuna dan Choshu atau Oligarki Satsuma-Cho yang bertugas sebagai penasihat Meiji.[8] Oleh hal yang demikian, elok kiranya kita menilai apakah bentuk manifestasi pembaharuan Meiji dan kesannya kepada masyarakat awam.
2.0  PEMBAHARUAN MEIJI
2.1  PENGHAPUSAN SISTEM FEUDAL
Feudalisme boleh didefinisikan sebagai pentadbiran kerajaan tempatan bukannya berpusat. Oligarki Meiji khususnya Kido, Okubo, Okurua dan Itagaki Taisuke telah menyedari tentang kepentingan pemusatan kerajaan.[9] Mereka telah mempengaruhi golongan Dainyo dari suku kaum Choshu, Satsuma, Toza dan Hizen supaya menyerahkan tanah mereka secara sukarela kepada Maharaja.[10] Pada 3 Mac 1869, satu memorandum bersama yang meletakan tanah-tanah mereka di bawah penguasaan Maharaja telah diserahkan. Pada Julai 1869, daimyo-daimyo lain diperintahkan oleh kerajaan Meiji supaya menyerahkan kuasa tanah mereka kepada kerajaan.[11] Pada 29 Ogos 1871, Maharaja telah mengumumkan penghapusan semua tanah feudal dan semua tanah menjadi hak milik diraja.[12] Pada bulan berikutnya, semua tentera feudal telah dibubarkan.[13] Seluruh Jepun dibahagikan kepada 45 daerah atau ken yang ditadbir oleh pegawai kerajaan pusat. Dengan ini maka berakhirlah daimyo-daimyo sebagai pembesar feudal. Mereka ini kemudiannya diberi pembayaran dalam bentuk bon-bon kerajaan atau bayaran beras sebanyak 100 koku atas persaraan mereka.[14] Golongan samurai yang tidak mendapat jawatan dalam jabatan-jabatan kerajaan telah mengalihkan tumpuan mereka terhadap perniagaan di mana wang persaraaan yang diterima itu telah dijadikan modal untuk mereka berniaga.[15]
2.2  PEMBENTUKAN PERLEMBAGAAN 1889
Penubuhan Kerajaan Berpelembagaan merupakan rentetan awal daripada Ikrar Piagam 1868 iaitu adat-adat kuno akan dihapuskan, semua tindakan yang diambil hendaklah dibuat secara adil berasaskan petunjuk Tuhan dan mencari ilmu di seluruh pelusuk dunia untuk mengukuhkan pengasasan empayar. Pada tahun 1874, perpaduan diantara Satcho dan Ito telah berpecah belah kerana perasaan tidak puat hati terhadap pentadbiran politik.[16] Pelbagai kecelaruan dan kebobrokan kepimpinan timbul maka akhirnya Parti Jiyuto di bawah Itagaki mencadangkan penubuhan Kerajaan Berwakil untuk menyelesaikan permasalahan yang wujud.[17] Pada tahun 1881, Count Okuma daripada golongan birokrat tampil menyokong pembentukan tersebut.[18] Beberapa parti politik telah muncul untuk mempercepatkan pembentukan Diet. Pada tahun 1881, parti politik yang pertama iaitu Parti Liberal ( Jiyuto ) telah ditubuhkan oleh Itagaki Aisuka. Setahun kemudian, Parti Progresif ( Kaishinto ) pula ditubuhkan oleh Okuma Shigenobu yang berasal dari Hizen.[19] Kebanyakan ahli parti Liberal terdiri daripada pemilik-pemilik tanah manakala ahli-ahli Parti Progresif pula kebanyakannya terdiri daripada golongan pedagang. Kedua-dua parti ini merupakan parti politik yang sangat poluar dan dapat mempengaruhi politik negeri Jepun.[20] Parti Imperialis ( Rikken Teisei ) telah ditubuhkan pada 1882 bagi menentang kedua-dua parti di atas. Parti ini mendapat sokongan dari kerajaan. Pertentangan antara parti ini telah membawa kepada suasana yang genting dan membimbangkan di mana Itagaki Taisuke telah mati dibunuh. Ini telah menyebabkan Maharaja bertindak mengharamkan parti-parti itu. Akibatnya pada Oktober 1884, Parti Liberal dibubarkan dan ini diikuti oleh parti-parti yang lain. 
            Ito Hirobumi yang merupakan samurai dari suku kaum Choshhu memainkan peranan penting dalam membentuk perlembagaan yang moden.[21]  Count Ito telah dihantar ke Prussia untuk mengkaji corak perlembagaanya pada tahun 1883, maka Ito telah mengambil masa selama 5 tahun untuk mengkaji secara kritis bentuk perlembagaan yang sesuai di Jepun di bawah Jabatan Diraja yakni Privy Council. Setelah semuanya selesai, tahun 1889 Maharaja telah mengumumkan pembentukan perlembagaan secara rasmi. Perkara pertama yang disentuh di dalam perlembagaan tersebut adalah mengenai kedudukan Maharaja yang suci dan kekal disifatkan sebagai ketua empayar. Walaubagaimanapun, semua dasar yang dibuat oleh Maharaja tertakluk kepada persetujuan dewan perwakilan iaitu Imperian Diet atau Shugiin.[22]
Pelbagai pembaharuan yang dilakukan di bawah kerajaan berpelembagaan misalnya penubuhan tiga kementerian di bawah pimpinan Yamagita pada 24 Disember 1889, Matsukata pada 6 Mei 1891 dan akhir sekali Ito 8 Ogos 1892. Oleh kerana pelbagai pergelutan dan kekacuan hasil daripada tentangan pembentangan belanjawan, Diet telah dibubarkan dua kali pada tahun 1891 dan 1893.[23]
2.3  KEPENTINGAN DAN KESEDARAN PENDIDIKAN
Kementerian Pelajaran telah ditubuhkan pada awal 1871 dan langkah-langkah telah diambil untuk mewujudkan sistem pendidikan yang seragam di negara tersebut. Pada  tahun 1872, satu undang-undang telah diadakan di mana semua kanak-kanak yang berusia 6 tahun diwajipkan menerima pendidikan selama 4 tahun.[24] Menjelang tahun 1880, terdapat hampir 28 000 buah sekolah rendah dengan lebih daripada 2 juta pelajar. Pada tahun 1886 pula, Mori Arinori iaitu Menteri Pelajaran telah mengubal sistem pelajaran yang ada di mana sekolah rendah adalah selama 8 tahun sementara sekolah menengah pula selama 4 tahun.[25]
Maharaja Meiji mengalakkan sistem pelajaran moden. Namun, mereka tidak secara bulat-bulat menerima sistem pendidikan barat. Matlamat dalam pendidikan adalah untuk melahirkan masyarakat yang cintakan negara, menghargai nilai-nilai tradisi dan patuh kepada ketua. Oleh itu, penduduk Jepun berjaya menerapkan kepentingan pendidikan kepada anak-anak sekaligus mempercepatkan proses kemajuan negaranya. Kita dapat lihat dalam sistem pelajaran pada masa itu sangat mementingkan subjek pengajaran sains dan kejuruteraan. Buku-buku yang bermutu dalam bidang-bidang tersebut telah diterjemahkan ke bahasa Jepun. Di samping itu, ramai tenaga pengajar dan golongan profesional dan ahli akademik luar telah diambil dari Britain dan Amerika Syarikat.[26] Antara Professor yang terkenal ialah E. S. Morse dari Harvard pada 1877 dan Ernest Fenoliosa dari Boston pada 1878. Kerajaan Jepun telah menghantar ramai pelajar ke Eropah untuk mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan. Dalam tahun 1871 sahaja , terdapat kira-kira 54 orang pelajar telah dihantar ke Britain untuk mempelajari aspek ketenteraan laut dan perkapalan perdagangan, ke Jerman pula untuk mempelajari aspek tentera darat dan ilmu perubatan dan tujuan Amerika pula mempelajari perkara-perkara mengenai perdagangan dan ekonomi.[27]
            Pusat-pusat pengajian tinggi di dalam negeri telah ditubuhkan ekoran daripada kesedaran bahawa Jepun tidak boleh bergantung hanya kepada pusat pengajian barat. Oleh itu, pada tahun 1877, universiti yang pertama dan terkenal iaitu Universiti Diraja Tokyo telah ditubuhkan.[28] Menjelang 1910, beberapa buah universiti diraja lain telah ditubuhkan di Sapporo, Sendai, Kyoto dan Fukuoka. Selain sistem pelajaran negera, sekolah-sekolah, maktab-maktab dan unievrsiti-universiti swasta juga telah ditubuhkan. Dua univeristi persendirian yang terkemuka iaitu Universiti Keio telah diasaskan oleh Fukuzawa Yukichi pada tahun 1858 dan Universiti Waseda diasaskan oleh Okoma dalam tahun 1882.[29]
2.4  PERKEMBANGAN EKONOMI
Proses memodenkan ekonomi ditumpukan kepada usaha membangunkan sektor pertanian yang merupakan pekerjaan paling penting bagi majoriti penduduk Jepun. Sektor pertanian telah menghasilkan 80% daripada jumlah hasil pendapatan dalam negeri melalui sistem percukaian dalam tahun 1870 an dan 1880 an.[30] Pada hakikatnya sektor pertanian ini bertujuan memikul beban sektor industri Jepun kerana pada 1873, perubahan dalam sistem cukai tanah telah dilaksanakan di mana sebelum itu cukai tanah dipungut dalam bentuk beras dan jumlah yang dikutip oleh tuan-tuan feudal adalah berbeza. Oleh itu, di bawah sistem baru ini, cara pembayaran cukai dalam bentuk wang tunai dan kadar pencukaiannya adalah berdasarkan nilai tanah.[31] Purata kaum tani hanya membayar 3% dari nilai tanah mereka sebagai cukai. Selain itu, langkah baru untuk meningkatkan daya pengeluaran petani-petani telah diambil di mana penuntut-penuntut dari bidang pertanian yang melanjutkan pelajaran mereka ke luar negeri telah diambil untuk berkhidmat dengan kerajaan. Jenis-jenis benih baru yang diimport, baja kimia yang intensif telah digunakan. Sistem pengairan dan saluran telah diperbaiki dan banyak kawasan-kawasan pertanian baru telah dibuka di beberapa kawasan seperti Hokkaido. Di samping itu, tanaman dagangan atau komersil seperti teh dan sutera juga digalakkan. Para peneroka baru terutamanya samurai telah diberi banyak insentif untuk menceburi bidang pertanian.[32]
Bagi mengekalkan negara Jepun sebagai sebuah Negara yang berpengaruh dan berkuasa, pada tahun 1869 pemerintah Meiji telah menetapkan keputusan pembinaan kapal-kapal moden. Pengumunan ini telah dikeluarkan oleh Perdana Menteri Jepun melalui arahan yang bernombor 968 .Pada tahun 1870, pengumunan ini dijalankan sekali lagi untuk meningkatkan pertumbuhan syarikat-syarikat perkapalan Jepun.[33] Kedua-dua pengistiharkan ini menunjukkan secara jelas pemerintah Meiji mengutamakan dan menggalakkan perdagangan luarnya. Pedagang-pedagang Barat seperti Amerika Syarikat, British, Perancis, German dan lain-lain berlumba-lumba ingin mendapatkan konsesi perdagangan yang terbuka luas di Jepun. Dasar terbuka ini telah menyebabkan pelabuhan-pelabuhan utama seperti Tokyo, Osaka, Kyoto, Yokohama dan Nigata menjadi tumpuan pertukaran perdagangan antarabangsa. Pemimpin Meiji juga turut membina kapal perang bagi mengawal dan menjamin kedaulatannya daripada sebarang ancaman daripada luar. Pembinaan kapal-kapal perang ini ternyata telah membantu kejayaan Jepun di dalam menewaskan China pada 1894-1895 dan Rusia 1904-1905. Kemengan ini telah meninggikan lagi imej Jepun di kalangan negara-negara barat.[34]
            Semua langkah pemodenan memerlukan suatu sistem kewangan yang kukuh dan licin. Demi memudahkan urusan perdagangan dan perusahaan, kerajaan Meiji telah mengumpul semula berbagai-bagai wang kertas dan wang syiling yang berbeza dan beraneka bentuk yang dikeluarkan oleh KeshogunanTokugawa. Sistem mata wang yen yang standard telah dikeluarkan pada 1871.[35] Pada tahun 1872, kerajaan telah mengarahkan supaya bank-bank ditubuhkan. Dalam tahun tersebut, Bank Mitsui-Ono ditubuhkan. Kemudian pada tahun 1873, First National Bank yang dianggap sebagai cabaran kepada pihak Mitsui ditubuhkan. Perkembangan bank-bank terus berlaku dalam tahun 1880an.[36] Pada tahun 1882, Bank Pusat yang ditubuhkan. Ini diikuti oleh Bank Yokohama Specific yang menjadi bank asing utama pada 1887. Pada tahun 1896, kerajaan telah menubuhkan Bank Hypothec sebagai badan pusat bank-bank pertanian dan perindustrian di 47 wilayah di Jepun. Ini telah diikuti oleh penubuhan Bank Perindustrian Jepun dalam tahun 1900 untuk membiayai projek-projek perindustrian secara besar-besaran. Menjelang 1882, terdapat 143 buah bank kerajaan dan separa kerajaan telah ditubuhkan. 
2.5  PENGUKUHAN SISTEM KETENTERAAN
Pemodenan dalam angkatan ketenteraan diberi perhatian yang serius oleh Jepun dari kesedaran tentang keunggulan kuasa-kuasa barat terutamanya dari segi organisasi tentera dan senjata. Oleh sebab itu, untuk menandingi kuasa barat, negara Jepun harus mempunyai senjata dan tentera yang moden. Modenisasi angkatan tentera bermula dalam tahun 1870an.[37] Dalam tahun 1872, Yamagata Aritomo dari Choshu telah mengemukakan suatu usul yang menyokong kuat tindakan kerajaan Meiji melakukan polisi kerahan tentera dan polisi memodenkan angkatan tentera darat dan laut Jepun. Pada bulan Disember 1872, Jepun telah mengadakan undang-undang kerahan tentera kepada pemuda-pemuda yang berusia 20 tahun. Tentera Kebangsaan Jepun telah dibentuk pada tahun 1873 di mana anggotanya diambil dari segenap lapisan masyarakat. Pada tahun 1878, Yamagata Aritomo telah menyusun semula pentadbiran angkatan tentera ala Jerman. Pada tahun yang sama, semangat ketenteraan telah ditiup didalam sanubari rakyatnya bertujuan menanam semangat patriotisme, taat setia dan mengikut perintah.[38] Angkatan Tentera Laut Jepun juga telah mengalami perkembangan dan modenisasi yang pesat. Kementerian Angkatan Laut telah ditubuhkan pada 1872. Menjelang tahun 1873, Jepun mempunyai 17 buah kapal perang yang setanding dengan kapal perang Amerika Syarikat. Kemudian dalam tempoh setahun sahaja iaitu pada tahun 1875, 2 buah kapal api telah dibina. Pada tahun 1876 pula, 3 buah kapal besar dibeli dari Britain. Menjelang tahun 1874 pula, kerajaan Meiji mempunyai 28 buah kapal moden dengan jumlah isipadu 57000 tan serta 24 buah anak-anak kapal perang dan torpedo. Proses modenisasi angkatan tentera telah menelan perbelanjaan yang besar dan membebankan. Hampir 1/3 belanjawan negara adalah untuk perbelanjaan ketenteraan. Dari sini, dapat kita lihat betapa kerajaan Meiji mementingkan kewujudan suatu angkatan tentera yang moden dan berkuasa. 
Menjelang 1880an, Jepun telah berupaya mempertahankan diri dari ancaman asing. Di samping itu, Jepun juga bersiap-sedia untuk melancarkan satu kempen ketenteraan di Asia Timur.


3.0  KESAN PEMODENAN MEIJI KE ATAS MASYARAKAT
3.1  TARAF WANITA
Umum kita ketahui, semasa zaman Jahiliah di kawasan Asia Barat yang merendahkan martabat wanita, sama juga halnya berlaku di negara China dan Jepun. Namun selepas pembaharuan-pembaharuan yang dilakukan oleh Meiji, peranan wanita mula diangkat dan keperluan mereka mula dijunjung. Sejak tahun 1871, wanita dibenarkan untuk mendengar syarahan-syarahan di Universiti Diraja Tokyo, wujud penubuhan kolej-kolej Kristian khas untuk wanita dan universiti persendirian iaitu Universiti Perempuan Jepun pada tahun 1901.[39] Pada zaman pemerintahan Meiji, telah ramai wanita-wanita yang bekerja dalam bidang perguruan, perubatan, kewartawanan dan segelintir kecil dalam prospek pertanian. Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan terdapat segelintir wanita yang dijadikan pelacur-pelacur berlesen di hotel dan rumah tumpangan. Segelintir ibu bapa yang hidup di bawah paras kemiskinan, menjual anak-anak perempuan untuk dijadikan alat hiburan golongan atasan iaitu Geisha. Konklusinya, walaupun pemerintahan Meiji cuba meningkatkan martabat golongan wanita namun terdapat juga sesetengan pihak yang mengeksploitasi kelemahan mereka untuk dijadikan alat pemuas nafsu serakah manusia.
3.2  PERUBAHAN SUSUNAN KELAS SOSIAL MASYARAKAT
Selepas sistem feudal dihapuskan, wujud pula kelas-kelas sosial dalam masyarakat Jepun yang menimbulkan pelbagai permasalahan dalam kelicinan pentadbiran kerajaan misalnya golongan tuan tanah dan pekerja. Golongan bangsawan dan segelintir orang biasa yang kaya memiliki banyak kawasan tanah yang luas kerana hasil sewaan dan pemilikan sendiri.[40] Kemiskinan menyebabkan ramai petani menjual atau memberi sewa tanah dengan janji pinjaman wang, implikasi buruk akibat  tidak mampu membayar pinjaman tanah mereka akan dijadikan hak milik. Maka lebih ramai petani yang kehilangan tanah dan hidup susah.
Di kawasan-kawasan perusahaan juga timbul perbezaan kelas di antara buruh dengan tuan kilang. Golongan buruh ditindas dengan pemberian gaji yang rendah, tempoh masa bekerja yang panjang dan suasana persekitaran tempat tinggal yang teruk. Pada akhir tahun 1920, sebanyak 90 buah persatuan-persatuan buruh yang menentang diskriminasi ke atas mereka. Seperti di barat juga, mogok atau pemberontakan golongan buruh akan menjejaskan pentadbiran negara, oleh hal yang demikian Jepun sangat menitikberatkan soal kebajikan agar struktur sosial tidak memberi impak yang besar kepada rakyat.
3.3  IDEOLOGI DAN KEAGAMAAN
Peranan ideologi di zaman pemerintahan Meiji telah disasarkan sebagai alat untuk meningkatkan semangat nasionalisma. Ideologi baru yang diperkenalkan dinamakan Kokutai secara rasmi. Ideologi ini berhubung kait dengan kerohanian masyarakat Jepun dan sebahagiannya memberikan kesetiaan dan ketaatan yang sepenuhnya kepada Maharaja yang dianggap suci.[41] Dalam konsep keagamaan telah diperkenalkan kefahaman Shinto Negara, Shinto Istana Diraja dan Shinto Tempat Suci yang menyerap ajaran-ajaran Kung Fu Tze.[42] Agama Buddha telah diasingkan daripada agama Shinto dengan membakar kitab-kitab suci Buddha, tempat beribadat dimusnahkan serta harta-harta institusi dirampas. Di zaman Meiji juga, agama Kristian dibenarkan dan berkembang pesat di Nagasaki, Yokohama dan Hakodate pada awal tahun 1870an.[43] Mubaligh-mubaligh Kristian di Jepun telah membuka sekolah dan pada akhir tahun 1920an, hampir 130 gereja wujud di seluruh kepulauan Jepun.[44]
3.4  PENGARUH BARAT DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN
Pengaruh kuat daripada Barat bukan sahaja merasuk orang-orang Jepun dalam bidang pentadbiran mahupun perundangan, namun amalan harian mereka juga jelas menunjukkan perubahan ketara. Kasut-kasut mula dipakai menggantikan geta dan terompah, Kimono digantikan dengan coat, seluar panjang dan skirt, sudu dan garfu digunakan ketikan makan dan juga topi ketika bekerja. Hal yang sama juga berlaku di setiap negara yang menerima kemasukan pengaruh Barat misalnya Turki, kebudayaan Islam dan kehidupan sosial jelas sama sekali berubah kerana orang-orang Barat datang bukannya ‘tangan kosong’ sebaliknya penyebaran pemahaman serta idealisme moden.
3.5  SEMANGAT IMPERIALISME DAN KOLONIALISME
Kuasa Jepun di Asia Timur telah mencapai satu peringkat baharu dalam tempoh 1917 hingga 1918. Hal ini dapar dibuktikan apabila Jepun menakluk Formosa dan Korea, kemudiannya Manchuria pada tahun 1905 hingga 1914 dan berperang dengan China pada tahun 1914.[45] Maharaja Meiji sedar bahawa Jepun akan dibelenggu dengan tekanan dan keterbatasan untuk membangunkan ekonominya kerana campur tangan negara-negara barat. Menyedari masalah ini, Nishi Amane, mengingatkan kepada bangsa Jepun supaya mengambil langkah segera untuk menghalang negara mereka agar tidak menjadi mangsa kapitalisme barat. Maka tiga bentuk pemodenan digembeleng bersama iaitu Fukoku-kyohei (menjadikan Jepun negara yang kaya dan kuat), Shokusan-Kogyo ( mengembangkan industri dan perniagaan) dan Bumnmei-Kaika (bangsa Jepun yang bertamadun dan bersemangat inkuiri).[46] Realiti politik selepas Perang Dunia 1 menitikberatkan keamanan sejagat maka Jepun telah mengambil langkah realistik dengan mengamalkan pendekatan Perjanjian Versailles, Sistem Washington dan asas Liga Bangsa-Bangsa. Diplomasi Shidera mula diperkenalkan yang menggunakan konsep Taise-Juno iaitu pragmatis dan akomodasionis yakni negara Jepun cuba untuk menyesuaikan diri dengan senario politik antabangsa agar tidak berlaku permasalahan kepada negara mereka.[47]

4.0  KESIMPULAN
Pemerintahan Meiji menyaksikan pelbagai pembaharuan yang dibuat dalam aspek sosial, ekonomi dan politik negara. Era feudalisme yang menyekat pembangunan dan kebebasan pemikiran rakyat Jepun akhirnya terbebas dengan pelbagai kejayaan yang diperoleh selepas era pemulihan Meiji. Hingga ke hari ini, kejayaan dan keagungan bangsa Jepun bolehlah dikatakan Maharaja Meiji yang menjadi perintis untuk meningkatkan nama Jepun di mata dunia. Walaupun terdapat pelbagai kesan buruk kerana perubahan-perubahan dasar, namun kesan positifnya lebih banyak untuk rakyat negaranya sendiri.




BIBLIOGRAFI
Carol Gluck. 1985. Japan’s Modern Myths: Ideology in The Late Meiji Period. New Jersey: Princeton University Press.

Chie Nakane. 1990. Tokugawa Japan:The Social and Economic Antecedents of Modern Japan. Japan: University of Tokyo Press.

Conrad Schirokauer. 1978.  A Brief History of Japanese Civilization. London: Harcourt Brace College Publisher.

George M. Wilson. 1992. Patriots and Redeemers in Japan: Motive in the Meiji Restoration. Chicago: University of Chicago Press.

Harold M. Vinacke. 1959. A History of The Far East In Modern Times.  New York: Appleton Century Crofts Inc.

H. Paul Varley. 1974. Japanese Culture: A Short Story. Rutland: Charles E. Tuttle Company Inc.

Janet Hunter. 1989. The Emergence of Modern Japan an Introductory History Since 1853. Singapore: Longman Singapore Publisher Ltd.

John Benson dan Takao Matsumura. 2001. Japan: From Isolation to Occupation 1868-1945. Kuala Lumpur: Pearson Education.

Marius B. Jansen. 1971. Sakamoto Ryoma and The Meiji Restoration. California: Stanford University Press.

Mark Ravina. 2004. The Last Samurai: The Life and Battles of Saigo Takamori. Canada: John Wiley & Sons Inc.

Meiji Japan Through: Contemporary Sources, Volume 1, Basic Documents, 1854-1889. 1990. The Centre For East Asian Cultural Studies Tokyo.

Murukami Shigeyoshi. 1963. Kindai Minshu Shukyoshi no kenkyu, Edisi Ke-2. Tokyo.

Peter Duus. 1976. The Rise of Modern Japan. London: Houghton Mifflin Company.

Richard Storry. 1868. Themes and Theories in Modern Japanese History. London: The Athlone Press.

Robert A. Wilson. 1978. Genesis of The Meiji Government  in Japan, 1868-1871. Westport: Greenwood Press.

Sterling Seagrave. 1999. The Yamato Dynasty: The Secret History of Japan’s Imperial Family. London: Bantam Press.

W. G. Beasley. 1975. Modern Japan: Aspect of History, Literature and Society. London: George Allen & Unwin Ltd.



[1]  Mark Ravina, The Last Samurai: The Life and Battles of Saigo Takamori, (Canada: John Wiley & Sons Inc. 2004) hlm. 63.
[2]  Conrad Schirokauer, A Brief History of Japanese Civilization, (London: Harcourt Brace College Publisher, 1978) hlm. 180.
[3]  George M. Wilson, Patriots and Redeemers in Japan: Motive in the Meiji Restoration, (Chicago: University of Chicago Press, 1992) hlm. 51.
[4]  Murukami Shigeyoshi, Kindai Minshu Shukyoshi no kenkyu, Edisi Ke-2. (Tokyo: 1963) hlm. 91.
[5]  George M. Wilson, Patriots and Redeemers in Japan: Motive in the Meiji Restoration,  hlm. 50.
[6]  Chie Nakane, Tokugawa Japan:The Social and Economic Antecedents of Modern Japan, (Japan: University of Tokyo Press, 1990) hlm. 102.
[7]  Marius B. Jansen, Sakamoto Ryoma and The Meiji Restoration, (California: Stanford University Press, 1971) hlm. 93.
[8]  Ibid. hlm. 95.
[9]  H. Paul Varley, Japanese Culture: A Short Story, (Rutland: Charles E. Tuttle Company Inc, 1974) hlm. 170.
[10]  John Benson dan Takao Matsumura, Japan: From Isolation to Occupation 1868-1945, (Kuala Lumpur: Pearson Education, 2001) hlm. 7.
[11]  Ibid. hlm. 9.
[12]  W. G. Beasley, Modern Japan: Aspect of History, Literature and Society, (London: George Allen & Unwin Ltd, 1975) hlm. 15.
[13]  Ibid. hlm. 17.
[14]  Harold M. Vinacke, A History of The Far East In Modern Times, ( New York: Appleton Century Crofts Inc, 1959) hlm. 139.
[15]  Ibid. hlm. 140.
[16]  Conrad Schirokauer, A Brief History of Japanese Civilization, hlm. 184.
[17]  Harold M. Vinacke, A History of The Far East In Modern Times, hlm. 149.
[18]  Conrad Schirokauer, A Brief History of Japanese Civilization, hlm. 190.
[19]  Ibid. hlm. 199.
[20]  H. Paul Varley, Japanese Culture: A Short Story, hlm. 170.
[21]  Ibid. hlm. 222.
[22]  Robert A. Wilson, Genesis of The Meiji Government  in Japan, 1868-1871, (Westport: Greenwood Press, 1978) hlm. 91.
[23]  Meiji Japan Through: Contemporary Sources, Volume 1, Basic Documents, 1854-1889, (The Centre For East Asian Cultural Studies Tokyo, 1990) hlm. 93.
[24] Richard Storry, Themes and Theories in Modern Japanese History, (London: The Athlone Press, 1868) hlm. 103.
[25]  Conrad Schirokauer, A Brief History of Japanese Civilization, hlm. 208.
[26]  Ibid. hlm. 210.
[27]  Harold M. Vinacke, A History of The Far East In Modern Times, hlm. 404.
[28]  Ibid. hlm. 407.
[29]  Ibid. hlm. 408.
[30]  H. Paul Varley, Japanese Culture: A Short Story, hlm. 195.
[31]  Conrad Schirokauer, A Brief History of Japanese Civilization, hlm. 210.
[32]  Peter Duus, The Rise of Modern Japan, (London: Houghton Mifflin Company, 1976) hlm. 150.
[33]  Sterling Seagrave, The Yamato Dynasty: The Secret History of Japan’s Imperial Family, (London: Bantam Press, 1999) hlm. 32.
[34]  Janet Hunter, The Emergence of Modern Japan an Introductory History Since 1853, (Singapore: Longman Singapore Publisher Ltd, 1989) hlm. 250.
[35]  Conrad Schirokauer, A Brief History of Japanese Civilization, hlm. 211.
[36]  Ibid. hlm. 273.
[37]  Ibid. hlm. 214.
[38]  Harold M. Vinacke, A History of The Far East In Modern Times, hlm. 467.
[39]  Ibid. hlm. 406.
[40]  Conrad Schirokauer, A Brief History of Japanese Civilization, hlm. 283.
[41]  Carol Gluck, Japan’s Modern Myths: Ideology in The Late Meiji Period, (New Jersey: Princeton University Press, 1985) m.s 17.
[42]  Ibid. 21.
[43] Conrad Schirokauer, A Brief History of Japanese Civilization, hlm. 210.
[44]  H. Paul Varley, Japanese Culture: A Short Story, hlm. 146.
[45]  Harold M. Vinacke, A History of The Far East In Modern Times, hlm. 467.
[46]  Conrad Schirokauer, A Brief History of Japanese Civilization, hlm. 219.
[47]  Harold M. Vinacke, A History of The Far East In Modern Times, hlm. 803.

No comments:

Post a Comment