Monday 2 January 2012

PERJANJIAN BANGKOK 1909

Pengenalan
Pada hari ini, 10 Mac 1909 genaplah 100 tahun PerjanjianBangkok dimeteraikan antara Siam dan Britain yang membahagikan Negeri-negeri Melayu Utara (Kelantan,Terengganu, Kedah, Perlis, Patani, Yala, Narathiwat dan Setul) antara dua kuasa tersebut. Kelantan, Terengganu,Kedah dan Perlis menjadi naungan British manakala Patani,Narathiwat, Yala dan Setul (ringkasnya Patani) kekal menjadi sebahagian daripada wilayah Siam walaupun majoriti penduduknya terdiri daripada bangsa Melayu dan beragama Islam. Dalam membicara tentang Perjanjian 1909 tidak ramai yang membahas tentang ‘ketinggalan’ Patani,Narathiwat, Yala dan Setul di dalam Perjanjian itu. Kegagalan Perjanjian 1909 untuk memisahkan Patani daripada jajahan Siam telah memberi kesan buruk kepada kestabilan serantau. Justeru kegagalan itu, Patani kini sedang bergolak dengan keganasan.. Sempena ulangtahun ke-100 tahun perjanjian Bangkok (1909), elok kiranya peristiwa ini diulangkaji demi mencari perdamaian di wilayah yang sedang bergolak itu.

Patani Dan Negeri-Negeri Melayu Utara
Patani, asalnya, adalah sebuah kerajaan Melayu yang merdeka dan berdaulat. Majoriti penduduknya terdiri daripada orang Melayu dan beragama Islam (Ibrahim Syukri1958). Ia telah mencapai kemuncak keagungannya pada abad ke-16 pada masa pemerintahan Raja-Raja Perempuan. Pada akhir abad ke-18 Patani mengalami zaman kemerosotannya. Perang saudara telah melemahkan kekuatan Patani. Kesempatan itu telah diambil oleh Siam untuk menakluk Patani pada 1785. Setelah Patani tewas, Kedah pula menjadi mangsa dasar agresif Siam Pada 1821, Kedah diceroboh dan ditakluk. Britain, yang sepatutnya melindungi Kedah daripada pencerobohan Siam berasaskan Perjanjian 1786 dan 1800, telah mengkhianati Kedah. Britain telah membiarkan tentera Siam menakluk dan menganas di Siam. Sungguhpun Raja dan orang-orang Melayu di Kedah berusaha mempertahankan tanah airnya, tetapi tanpa bantuan luar, Kedah tewas. Sultan dan rakyatnya terpaksa berundur ke Pulau Pinang, bekas jajahannya, sebagai pelarian. Atas pertimbangan politik dan komersial, Britain mengiktiraf penaklukan Siam ke atas Kedah. Sebagai balasannya, kerajaan Siam bersetuju untuk memperakui Pulau Pinang dan Seberang Perai sebagai milik British. Kerajaan British pula berjanji akan membantu Siam dalam menghadapi tentangan orang Melayu.
Orang Melayu Patani dan Kedah menolak Perjanjian 1826 dan mengangkat senjata untuk membebaskan tanah air mereka daripada penjajahan Siam. Tidak tahan dengan kebangkitan orang Melayu Patani, pada awal 1840an, atas desakan British, Siam bersetuju untuk berdamai dengan orang Melayu Patani dan Kedah. Pemerintahan Raja Melayu telah dipulihkan di Patani dan Kedah tetapi menjadi negeri naungan Siam. Raja-Raja Melayu Patani dikhendaki mengirim Bunga Mas dan Perak setiap tiga tahun sekali ke Bangkok sebagai tanda taat setia dan persahabatan. Sejak itu hingga akhir abad ke 19, Negeri-Negeri Melayu kembali stabil.

Zaman Imperialisme Baru
Akhir abad ke-19 merupakan zaman imperialisme baru. Kuasa-kuasa Eropah berlumba dan bersaingan untuk menguasai sebanyak mungkin tanah jajahan di benua Afrika dan Asia. Di Tanah besar Asia Tenggara, satu persaingan yang hebat antara British dengan Perancis telah berlaku. British menakluk Hulu Burma pada 1886 manakala Perancis meluaskan penjajahannya di Annan dan Tongking. Persaingan ini mencapai kemuncaknya pada 1893. Pada masa itu kepentingan British tertumpu di dua kawasan, iaitu, pertama di timur laut Burma dan Selatan China, dan kedua di Negeri-Negeri Melayu Utara sehingga Genting Kra. Dikedua-dua kawasan itu, British mempunyai kepentingan perdagangan dan strategik. Bagaimanapun akibat perluasan Empayarnya yang luas dan berselerak, British enggan memperluaskan empayarnya kerana ada banyak masalah berkaitan dengan peluasan itu. Manakala Perancis masih lagi terlibat dalam peluasan tanah jajahan dan hanya menunggu kesempatan untuk menakluknya, terutamanya sekali di Tanah Besar Asia Tenggara, terutamanya jajahan Siam. Sekiranya Siam dijajah oleh Perancis, kepentingan British di Burma dan Negeri-Negeri Melayu Utara akan terjejas. Untuk mengelak British dan Perancis mempunyai sempadan yang sama, Kerajaan British telah mengadakan rundingan dengan Perancis pada 1895 bagi memelihara kemerdekaan Kerajaan Siam. Dalam pengisytiharan pada 15 Januari 1896 mereka bersetuju untuk memelihara kemerdekaan kerajaan Siam di Lembah Sungai Chao Phya. Berhubungan dengan wilayah-wilayah di luar Lembah Menam, mereka bersetuju membahagi antara mereka. Kawasan Timur Laut Siam,menjadi kawasan pengaruh Perancis manakala kawasan Negeri-Negeri Melayu Utara menjadi kawasan pengaruh British. Setelah pengumuman pengisytiharan itu, Kerajaan British telah mengadakan rundingan sulit dengan Siam bagi mengelak kuasa-kuasa Eropah lain, khususnya Jerman dan Russia, daripada bertapak di Negeri-Negeri Melyu Utara. Kerajaan Siam memberi jaminan bahawa ia tidak akan membenarkan mana-mana kuasa Eropah bertapak di situ tanpa persetujuan British. Kerajaan British pula berjanji akan menolong Siam menentang sebarang cubaan asing untuk bertapak di Negeri-Negeri Melayu Utara. Jaminan itu terkandung dalam Perjanjian Rahsia pada April 1897. Dengan jaminan itu, Siam mula mengukuh cengkamannya ke atas Negeri-Negeri Melayu Utara. Melalui dasar Thesaphiban, Siam memulakan reformasi pentadbiran di Negeri-Negeri Melayu Utara. Di bawah dasar ini, sistem pemerintahan beraja Melayu akan diganti dengan sistem Gabenur. Negeri-Negeri Melayu Patani, seperti Patani, Saiburi dan Jalor, menjadi sasaran utama sistem Thesaphiban. Raja-Raja Melayu Patani berusaha untuk mempertahan pemerintahan beraja Melayu. Mereka telah merayu kepada pihak berkuasa British di Singapura supaya menghalang kerajaan Siam daripada campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri mereka. Mereka juga bersedia untuk mengangkat senjata menentang Siam dengan sokongan kuasa-kuasa Eropah lain. Keadaan ini membimbangkan Frank Swettenham, Gabenur Negeri-Negeri Selat. Sekiranya kekacauan berlaku di Patani,sudah pasti ia akan memberi peluang kepada kuasa-kuasa Eropah lain, khususnya Jerman, untuk campurtangan di Negeri-Negeri Melayu Utara. Bagi Frank Swettenham,Negeri-Negeri Melayu Utara bukan tanah jajahan Siam tetapi hanya negeri naungan Siam. Beliau mendesak Kerajaan British mengambil alih Negeri-Negeri Melayu Utara. Selain untuk mengelak kuasa-kuasa Eropah lain bertapak di situ, iajuga bertujuan untuk menyelamat orang-orang Melayu daripada keganasan Siam. Kerajaan British menolak desakan itu kerana terikat dengan Perjanjian Rahsia 1897. Sekiranya British berbuat demikian sudah tentu Perancis pula akan membalas dengan merebut kawasan Timur Siam. Sementara itu, British mengalakkan kerajaan Siam melantik Penasihat-Penasihat Am di Negeri Melayu Utara untuk memantapkan pentadbiran. Penasihat-penasihat itu mestilah warganegara British. Belum pun Penasihat-Penasihat Am dilantik, Kerajaan Siam telah menahan Tengku Abdul Kadir, Raja Patani dan Tengku Mutalib, Raja Saiburi, pada 1902 yang dianggap oleh Siam sebagai pengerak gerakan menentang Siam. Pada 5 Oktober 1902, Kerajaan British, tanpa memperduli rayuan dan rintihan Raja-Raja Melayu, mengiktiraf Negeri-Negeri Melayu Utara sebagai jajahan Siam yang sah. Kerajaan Siam bersetuju untuk melantik Penasihat-Penasihat Am di Negeri Melayu Utara kecuali di Patani yang telah dihapus pemerintahan Melayu.
Berbanding dengan Negeri-Negeri Melayu utara lain, seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, Patani kurang bernasib baik. Patani diperintah secara langsung oleh Siam melalui seorang Gabenur. Gabenur dan kakitangannya adalah beragama  Buddhis dan berbangsa Siam. Mereka bukan sahaja tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu tetapi jahil tentang kebudayaan, agama dan adapt resamorang Melayu. Keadaan ini telah menimbulkan salah faham dan kekeliruan. Keadaan bertambah buruk apabial pegawai-pegawai Siam ini mentadbir Patani sebagai seorang penjajah, rasuah dan salah guna kuasa. Keadaan ini berbeza sekali dengan Negeri-Negeri Melayu yang beraja danmempunyai Penasihat-Penasihat Am Warga British. Kebajikan dan kepentingan orang Melayu dijaga. Seorang Konsul British di Songkhla menganggap orang Melayu Patani telah diperintah oleh sebuah rejim yang zalim. Beliau memberi ingatan kepada Kerajaan British sekiranya kekejaman itu berlarutan kemungkinan orang Melayu Patani akan memberontak dan meletakkan wilayah tersebut dalam keadaan yang tidak stabil. Beliau menasihat Kerajaan British campurtangan dan menyelamatkan orang Melayu Patani. Beliau ingatkan bahawa orang Melayu Patani telah merayu kepada Kerajaan Turki Uthmaniah supaya membantu mereka melepaskan diri daripada cengkaman Siam. Kerajaan Turki Uthmaniah dilaporkan telah memohon sekutunya Jerman supaya menyiasat rayuan orang Melayu Patani.
Keadaan ini membimbangkan Kerajaan British. Ini kerana Jerman adalah musuh ketatnya. Sekiranya Jerman campurtangan dan bertapak di Patani kepentingan British pasti akan terjejas. Wakil British di Bangkok, Paget, telah mengadakan perbincangan dengan Penasihat Hal Ehwal Luar Siam, Edward H. Strobel, tentang hal tersebut. Strobel sedar bahawa Kerajaan Siam tidak mampu untuk menghadapi ancaman Jerman kecuali mendapat sokongandaripada Britain dan Perancis. Bagi menangani masalah itu,Strobel Mencadangkan supaya kerajaan British  mengambil alih negeri-negeri Melayu yang Kerajaan Siam tidak dapat mengawalnya. Sebagai balasannya beliau berharap Kerajaan British bersetuju untuk memansukhkan hak keistimewaannya di Siam di bawah Perjanjian Bowring(1855) dan Perjanjian Rahsia (1897). Setiausaha Luar British Sir Edward Grey bersetuju dengan cadangan Strobel kerana ia bersesuaian dengan hasrat British untuk memperluaskan pengaruh British hingga ke Segenting Kra. Wakil British di Bangkok telah diarah berbincang dengan Strobel tentang hal itu. Dalam perbincangan itu, W.D. Beckett mencadangkan Kerajaan Siam menyerah kesemua negeri-negeri Melayu, termasuk Patani kepada British. Strobel menegaskan bahawa Siam hanya bersedia untuk menyerah negeri yang ia tidak mempunyai kuasa kawalan. Kerajaan Siam tidak mungkin akan menyerahkan Patani kerana ia adalah ‘Permata’ yang paling berharga. Hasil perbincangan itu telah disampai kepada Raja Chulalornkorn. Baginda bersetuju untuk melepaskan semua negeri-negeri Melayu kecuali Patani dengan syarat Kerajaan British bersetuju untuk membatalkan Perjanjian Bowring dan Perjanjian Rahsia serta memberi pinjaman kewangan dengan bunga yang rendah.
Keengganan Chulalongkorn untuk melepaskan Patani mengecewakan Paget. Ini kerana Patani merupakan wilayah bermasalah bagi Siam. Beliau tidak yakin bahawa Kerajaan Siam Mempunyai kemampuan untuk menangani kebangkitan orang Melayu Patani. Bagaimanapun Paget menyedari bahawa sekiranya Kerajaan British menekan kerajaan Siam supaya melepaskan Patani kemungkinan Kerajaan Siam akan membatalkan rundingan penyerahan Negeri-negeri Melayu. Demi untuk menyelamatkan Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis, Patani terpaksa dikorbankan. Paget berharap Kerajaan British dapat mempengaruhi Siam supaya berlaku adil terhadap orang Melayu Patani bagi memastikan kekacauan tidak akan berlaku yang boleh menjejaskan kestabilan di kawasan itu.
Pada 10 Mac 1909, Kerajaan British dan Siam telah memeterai sebuah perjanjian di Bangkok. Di bawah artikel 1 perjanjian itu, Siam bersetuju untuk menyerahkan hak kedaulatan, pertahanan, pentadbiran dan segala hak miliknya ke atas negeri-negeri Melayu, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, termasuk pulau-pulau berdekatan, kepada British. Menyedari bahawa Patani akan menjadi ‘duri dalam daging’ bagi Siam, Kerajaan British meminta jaminan daripada Kerajaan Siam bahawa Patani tidak akan diserah atau dipajak kepada kuasa-kuasa asing ataupun membenar mana-mana kuasa asing membuka pengkalan di sekitarnya yang boleh menjelaskan kepentingan British.

Reaksi
Dengan termeterainya perjanjian ini, Patani secara rasmi telah dipisahkan daripada negeri-negeri Melayu Semenanjung dan diserap secara paksaan menjadi wilayah Siam. Orang Melayu Patani ternyata kecewa dengan Perjanjian Bangkok yang memisahkan Patani daripada Negeri-Negeri Melayu lain. Mereka menolak percantuman paksaan Patani dengan Siam atas dasar bahawa Patani adalah negeri Melayu, beragama Islam dan kebudayaan Melayu yang amat berbeza sama sekali dengan Siam yang berketurunan Siam, beragama Buddha dan berkebudyaan Siam. Dengan itu tidak hairanlah, kekacauan dan pemberontakan terhadap penggabungan Patani dengan Siam berlaku pada awal 1910 hingga 1923. Apabila Perang Dunia I berlaku pada tahun 1914, orang Melayu Patani menaruh harapan bahawa Jerman, dan sekutunya Turki Uthmaniah, akan menyerang Siam kerana ia memihak kepada Britain dalam peperangan itu. Kiranya keadaan itu berlaku, orang Melayu Patani akan bangkit memberontak. Namun selepas 1918 perang tamat, hal yang sebaliknya pula berlaku iaitu Jerman dan Turki Uthmaniah tewas di tangan Pakatan Bersekutu yang diketuai oleh Britain. Sungguhpun begitu, sukarelawan Turki menyeludup masuk ke Patani bagi membantu orang Melayu Patani memberontak. Kemasukan sukarelawan itu telah dapat dikesan oleh pihak British dan Siam. Oleh kerana itu apabila orang Melayu Patani memberontak pada 1923 dengan mudah sahaja pemberontakan itu dapat dipatahkan oleh Siam. Nasib orang Melayu Patani telah mendapat simpati akhbar Penang Gazette. Dalam lidah pengarangnya, akhbar itu mendesak supaya Liga Bangsa-Bangsa campurtangan dan orang Melayu Patani diberi peluang untuk menentukan masa depan mereka berasaskan prinsip hak menentu nasib. Desakan Akhbar  Penang Gazette tidak ditimbang oleh Liga Bangsa-Bangsa yang turut dianggotai oleh Britain. Lagi pun Siam adalah sekutu rapat Britain. Nasib orang Melayu Patani semakin tertekan. Pada masa pemerintahan kuku besi Field Marshal Pibul Songgram,seorang nasionalis kiri, orang Melayu Patani menjadi mangsa dasar Rathaniyom. Di bawah dasar itu, orang Melayu, telah dipaksa menukar nama Melayunya kepada nama Siam,menghapuskan bahasa Melayu dan kebudayaan Melayu daripada mata pelajaran di Sekolah. Keadaan menjadi bertambah buruk lagi apabila Perang Dunia Kedua berlaku. Dalam peperangan itu Siam memihak kepada Jepun. Pibul Songgram memusuhi orang Melayu Patani kerana memihak kepada Britain. Ramai pemuda Melayu Patani yang menyertai Pasukan Force 136 (Melayu) yang dipimpim oleh Tengku Mahmud Mahyideen bin Tengku Abdul Kadir untuk menentang Jepun dan sekutunya Siam. Mana-mana pemuda Melayu yang disyaki memihak kepada British telah ditangkap dan dihukum. Ada juga yang dicolek dan dibunuh tanpa perikemanusiaan.
Pada 1943 Patani kembali bercantum dengan dengan negeri-negeri Melayu Utara apabila Negeri-negeri itu telah dipulangkan kembali oleh Jepun kepada Siam sebagai membalas jasa Siam kerana bekerjasama dengan Jepun.
Harapan Semasa perang sedang memuncak beberapa cadangan telah dikemukakan tentang masa depan Patani dan negeri-negeri Melayu Semenanjung. Tengku Mahmud Mahyidin mencadangkan supaya Perjanjian Bangkok 1909 dikaji semula dan Patani dicantum dengan negeri-negeri Melayu lain. Pada pandangannya masa depan keselamatan Melayu Patani adalah dengan Tanah Melayu.
Cadangan itu dikemukakan kerana pada masa itu British sedang menggubal dasar baru untuk Tanah Melayu. Berita tersebar bahawa negeri-negeri Melayu akan disatukan. Dengan itu harapan Patani untuk dikeluar daripada Siam dan diserap dalam gagasan baru itu amat mengalakkan. Apabila perang tamat pada Ogos 1945 dan tentera British Menguasai Siam, pemimpin Melayu Patani telah mengemukakan rayuan kepada kerajaan British melalui Lord Mountbatten supaya menimbangkan agar Patani dicantumkan dengan negeri-negeri Melayu Semenanjung di atas perisytiharan San Francisco. Antara lain mereka merayu, Kerajaan Pihak Berikat yang maha adil ini boleh menolongkan bagaimana cita-cita dan hajat kami supaya boleh melepaskan kami daripada tangan Siam. Dan jikalau sekiranya Kerajaan pihak Berika terlambat memberi keamanan kepada Negeri Patani dan jajahannya nescaya akan mendapat kepanasan atau mudarat kepada sekalian rakyat-rakyat melayu sekalian kelak. Harapan mereka berkecai. Apabila Perjanjian Damai ditandatangan antara Britain dengan Siam pada 1 Januari 1946, tuntutan orang Melayu Patani telah digugurkan. Ekoran itu, sekali lagi pada 15 Januari 1946 pemimpin Melayu Patani mengemukakan rayuan kepada kerajaan British agar dibebaskan Patani daripada belenggu penjajahan Siam.

…kami harapkan manakala telah selesai peperangan dunia tentulah Kerajaan Berikat terutama Kerajaan British yang maha adil supaya mengambil suatulangkah yang amat berat pada menghuraikanmasalah-masalah tunttan kami yang suci itu supaya terlepaskan daripada genggaman Kerajaan Siam yang amat zalim itu dengan seberapa segeranya.
Akan tetapi dukacitanya kami semua ternanti-nanti didalam masa dua tiga bulan hendak mendengar apa-apa natijahnya yang di bawa ke dalam perundingan di antara Kerajaan Siam dengan Kerajaan British yang telah ditandatangani perselesaian peperangan di antara Kerajaan Siam dengan Kerajaan Britishpada I Januari 1946 itu didapati tiada apa-apa pun yang bersangkut paut atau riaknya daripada Kerajaan
Berikat Mengambil berat di atas kemerdekaan kami dan negeri kami iaitu ‘Negeri-Negeri Melayu di dalam jajahan Siam’ dari itu kami sangat menaruh bimbang benar di atas pendirian kami bangsa Melayu kelak tertinggal di bawah kekuasaan Siam itu juga. Bagaimanapun kedua-dua rayuan itu telah ditolak oleh kerajaan British atas nasihat Pejabat Luar British atas alasan bahawa perayu itu bukan rakyat British dan dari segi itu British tidak mempunyai hak untuk menimbangnya. Tambahan pula Kerajaan British tidak mahu berbalah dengan Siam keranba bimbang ia akan menjejaskan bekalan beras Siam kepada tanah jajahannya.
Tuan Guru Haji Sulung pula mengemukakan rayuan kepada Kerajaan Thamrong pada 1947 supaya memberikan hak autonomi kepada Patani. Rayuan itu bukan sahaja telah ditolak, tetapi Tuan Guru Haji Sulung turut ditahan atas tuduhan menderhaka kepada Kerajaan Siam. Pengikut-pengikut Tuan Guru Haji Sulung juga telah ditangkap dan sebahagian daripada pengikutnya yang telah ditahan dan dibunuh dengan kejam atas alasan menggangu-gugat keamanan negara.
Kezaliman dan keganasan semakin menjadi-jadi terutama sekali semasa Siam berada di bawah pemerintahan tentera.Tidak tahan dengan keadaan itu, orang Melayu Patani telah menubuhkan gerakan pembebasan bagi membebaskan Patani dengan cara perang gerila. Pada 1960 Barisan Revolusi Nasional telah ditubuhkan oleh Haji Karim bin Hassan, disusuli kemudiannya oleh penubuhan Barisan Nasional Pembebasan Patani dan Patani United Liberation Organisation. Sejak 1960an hingga kini Patani berada dalam keadaan yang tidak stabil.Keadaan ini mungkin tidak akan terjadi kiranya pada 1909 Kerajaan Siam melepaskan semua Negeri-Negeri Melayu Utara, termasuk Patani, kepada British. Kerajaan Siam sedar dan tahu bahawa orang Melayu Patani tidak rela berada di bawah pemerintahan Siam yang bukan sahaja berlainan bangsa dan agama, tetapi juga bahasa dan kebudayaan. Kerana keangkuhan, Kerajaan Siam enggan melepaskan Patani walaupun tindakan itu membawa padah kepadanya. Untuk mengelak keganasan di Patani dari menjadi malapetaka besar bagi rantau ini, kerajaan Siam tidak mempunyai pilihan lain kecuali menyerahkan masalah Patani kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyelesaikannya dengan mengadakan pungutan suara atas prinsip hak menentu nasib.

1 comment: