Monday, 2 January 2012

TEORI KEDATANGAN ISLAM DI NUSANTARA

1.0  Pengenalan
          Dalam kajian sejarah, teori memainkan peranan penting dalam menentukan kesimpulan terhadap sesuatu persoalan yang timbul. Sikap sejarawan sendiri yang mempunyai sangkaan terutama apabila berjumpa satu artifak yang signifikan akan mewujudkan kepelbagaian teori serta perdebatan untuk menentukan kesahihannya. Tiada teori yang tepat untuk membuktikan tarikh kedatangan Islam serta kawasan yang pertama menerima Islam di Nusantara.[1] Terdapat tiga teori kemasukan Islam di Nusantara iaitu melalui Arab (Parsi), India, China dan Champa . Teori-teori ini diketengahkan oleh beberapa sejarawan seperti Pijnappel, Snouck Hugronje, B. Harrison, Syed Muhamad Naquib al-Attas dan ramai lagi.
         Kebanyakan sejarawan berpendapat Islam mula bertapak di Nusantara sekitar abad ke-7 atau ke-8 M, dan disebarkan oleh para mubaligh ketika aktiviti perdagangan dijalankan.[2] Islam tidak datang begitu sahaja kerana pengaruh persekitaran akan dibawa bersama oleh mubaligh ini misalnya dari China, akan membawa konsep seni dan budaya daripada China. Teori kedatangan Islam di Nusantara tidak boleh ditentukan oleh unsur dalaman sahaja kerana unsur luaran turut memainkan peranan penting dalam menentukan ketepatan teori awal kedatangan Islam di Nusantara.
          Aspek dalaman merujuk kepada amalan yang diamalkan paling dominan dipengaruhi oleh unsur dari China, India atau Arab manakala unsur luaran seperti seni pertukangan, tulisan, jumpaan artifak, tapak areologi dan sebagainya.
2.0  TEORI KEDATANGAN ISLAM DARI ARAB / PARSI
         Antara sejarawan awal yang mengetengahkan teori ini ialah John Crawford, Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Prof. Dr. HAMKA merupakan antara sejarawan yang kuat mengetengahkan teori ini. Perbahasan berhubung teori ini juga sangat komplikasi dan luas perwacanaannya. Menurut John Crowford, dengan lahirnya zaman Dinasti Umaiyah dan Abbasiah, lebih jelas terbukti orang-orang Arab-Islam sudah bertapak di Nusantara.[3]
2.1  UNSUR DALAMAN
          Unsur dalaman teori kedatangan Islam di Nusantara bolehlah di lihat dari segi amalan masyarakat. Konsep amalan masyarakat di Nusantara berteraskan Islam ialah kewujudan pegangan Syiah atau Sunnah yang diamalkan menyamai dengan amalan di Tanah Arab.[4]
         Pada zaman Khalifah Umar bin Abd al-Aziz (717-720M), pemerintah Srivijaya yang dikenali sebagai Raja Srindavarman telah memeluk agama Islam. Srivijaya telah dinamakan sebagai “Sribuza Islam”.[5] Semasa pemerintahan Abd. Malik Marwan (685- 705M), dikatakan terdapat golongan Syiah Alawiyyin di pulau-pulau Sulu, Sulawesi dan Kalimantan.[6] Kedatangan mereka ke rantau ini dikatakan berpunca daripada aktiviti perdagangan dan melarikan diri kerana gagal dalam pemberontakan di Parsi.[7]
Sebutan dan tatacara bacaan al-Quran di Nusantara juga lebih hampir dengan sebutan dan tatacara bacaan al-Quran di Timur Tengah khususnya rantau Arab, tidak mirip pada bacaan ala penganut Islam di India mahupun China.[8] Tatacara bacaan al-Quran jika dari India menggunakan rentak bacaan Urdu bukannya Baiyati.[9]
         Berpegang kepada teori ini, ahli sejarah berpendapat kedatangan Islam dari Arab misalnya Parsi sudah bermula sejak abad ke-8 dan ke-9 M.[10]
2.2  UNSUR LUARAN
         Teori kedatangan Islam dari segi luaran merujuk kepada aktiviti perdagangan, pengislaman raja,  dan seni pertukangan.
إِنَّ اْلأَبْرَارَ يَشْرَبُونَ مِن كَأْسً كَانَ مِزَاجُهَا كَافُورًا ﴿ سورة الإنسان : 5 ﴾
Sesungguhnya orang-orang yang berbuat baik meminum dari gelas (minuman tersebut) bercampur dengan kapur (nama tumbuh-tumbuhan yang harum baunya)”
Menurut HAMKA, kāfūrā (كافورا ) dalam ayat di atas ini merujuk pada kapur barus. Kapur barus ini hanya tumbuh di Nusantara khususnya di Beruas. Perbendaharaan kata Arab Quraisy ini menunjukkan wujud hubungan langsung antara kedua-dua peradaban ini hatta membawa asimilasi kāfūrā (كافورا ) dalam dunia Arab. Dengan erti kata lain, hubungan perdagangan Nusantara dan tanah Arab sudah wujud sebelum Rasulullah s.a.w. mempergiat penyebaran agama Islam.
         Teori kedatangan Islam dari Arab menurut HAMKA juga jelas dilihat melalui pengislaman raja. Merujuk kepada Hikayat Merong Mahawangsa, Maharaja Debar Raja II iaitu raja Kedah telah diislamkan pada 1136M oleh Syeikh Abdullah bin Syeikh al-Qaumiri, seorang ulama berbangsa Arab yang datang dari Yaman. Setelah memeluk Islam, Maharaja Debar bergelar Sultan Muzaffar Syah.[11]
          Secara umum pada makam, batu nisan dan prasasti bentuk masjid yang terawal mirip kepada pengaruh dari Arab. Buktinya ialah batu nisan Malik al-Salih terdapat tulisan Khat Kafi pengaruh daripada Parsi yang bertarikh 1297M.[12] Hal ini membuktikan, unsur luaran seperti seni pertukangan daripada Arab membolehkan ahli sejarah menganalisis dengan lebih terperinci teori kedatangan Islam ke Nusantara.
3.0  TEORI KEDATANGAN ISLAM DARI CHINA DAN CHAMPA
         Terdapat beberapa ahli sejarah yang berhujah teori kedatangan Islam di Nusantara adalah melalui China. Menurut Emanuel Godinho De Evedia, Islam datang ke Nusantara dari China melalui Canton dan Hainan pada kurun ke-9 Masihi.
3.1  UNSUR DALAMAN
         Sukar untuk mengkaji teori kedatangan Islam ke Nusantara menerusi unsur dalaman dari China. Hal ini kerana, amalan masyarakat di Nusantara pada awalnya berunsurkan Hindu-Buddha kemudiannya Islam yang mempunyai pengaruh daripada Arab. Menerusi beberapa kajian ahli sejarah, teori kedatangan Islam boleh dilihat melalui temuan batu nisan, seni pertukangan dan catatan sejarah China.[13] Kebanyakan ahli sejarah merujuk kepada unsur luaran untuk menganalisis teori kedatangan Islam di Nusantara dari China.
3.2  UNSUR LUARAN
         Unsur luaran teori kedatangan Islam dari China dikaji berdasarkan temuan batu nisan dan catatan sejarah China. Menurut S.Q Fatimi, batu nisan Fatimah binti Maimon bertarikh 1082M yang ditemui di Leran, Jawa Timur mempunyai persamaan dengan batu-batu nisan di Phan-rang, Champa Selatan 1039M dan 1035M.[14]  Batu Bersurat Terengganu yang ditemui di Kuala Berang menunjukkan bukti kedatangan Islam pada tahun 1303M. Sejarah Dinasti Shung( 960- 1279 T.M) membuat catatan tentang  kemasukan Islam di persisir pantai timur sejak tahun 977M.[15] Batu Bersurat ini menyamai batu nisan di Champa Selatan. Penemuan ini mengukuhkan hujah S.Q. Fatimi mengenai teori kedatangan Islam melalui China mulai tahun 878M.[16]
         Sewaktu pemerintahan Hsi Tsung (878-879M), berlaku pemberontakan di Canton diantara penduduk tempatan dengan luar terutamanya orang Arab dan mengorbankan 100 00 nyawa orang luar.[17] Hal ini menyebabkan ramai pedagang Islam melarikan diri ke Kedah dan Palembang.[18]
          Marco Polo mencatatkan bahawa beliau pernah singgah di Perlak pada kurun ke-13M dalam perlayarannya ke China dan menyatakan kewujudan kebudayaan Islam di Perlak. Catatan ini disokong Josselin De Jong bertitik-tolak pada jumpaan batu nisan di wilayah jiran Perlak iaitu Pasai. Pada fizikal sumber artifak tersebut terukir nama Sultan Malik al-Salih, iaitu nama Sultan Pasai. Pada batu nisan tersebut juga terdapat tarikh meninggal Malik al-Salih iaitu pada 1297M.
4.0  TEORI KEDATANGAN ISLAM DARI INDIA
         Teori kedatangan Islam di Nusantara melalui India diketengahkan beberapa ahli sejarah seperti Snouck Hurgronje, Thomas Arnold dan sebagainya. Kedatangan Islam dikatakan berasal daripada Gujerat, Malabar, dan Bengal.[19]
4.1  UNSUR DALAMAN
         Pegangan mazhab merupakan unsur dalaman yang wujud untuk mengkaji teori kedatangan Islam dari India. Menurut G.P Moquette, Islam di Nusantara disebarkan melalui Gujerat berdasarkan penemuan batu nisan di Pasai bertarikh 1428M.[20] Teori ini disanggah oleh Thomas Arnold yang menyatakan bahawa pada ketika itu, anutan mazhab penduduk di Gujerat adalah Hanafi sedangkan anutan penduduk di Nusantara adalah Syafie.[21] Hujah Thomas disokong oleh B. Harrison berdasarkan hujah  Bengal lebih dahulu menerima Islam berbanding Gujerat iaitu sejak awak abad ke-13M.[22]
4.2  UNSUR LUARAN
         Teori kedatangan Islam melalui Gujerat dipegang kukuh oleh G.P Moquette berdasarkan kajian terhadap temuan batu nisan Maulana Malik Ibrahim di Gerisik bertarikh 1419M. Batu nisan ini mempunyai persamaan dengan batu nisan Umar ibn Ahmad yang ditemui di Gujerat berdasarkan seni pembuatannya. Justeru, beliau membuat hipotesis bahawa kedua-duanya berasal dari Gujerat. Kajian ini disokong kuat oleh R.A. Kern, W.F. Stutterheim dan J. Gonda bahawa Islam di Nusantara berasal dari Gujerat. Namun teori ini mempunyai kelemahan kerana berdirinya kerajaan Pasai pada 1042M, Gujerat masih belum menerima Islam.[23]
          Tom Pires didalam bukunya Suma Oriental menyatakan bahawa Sultan Malik al-Salih yang menjadi raja pertama di Pasai berketurunan Benggali.[24] Oleh kerana Pasai merupakan negeri pertama menerima Islam, S.Q. Fatimi berhujah bahawa teori kedatangan Islam adalah dari Bengala. Walaubagaimanapun, hujah ini tidak dapat diterima sebagai fakta sejarah kerana tiada bukti kukuh salasilah Sultan Malik berketurunan Benggali.[25] Kesilapan terbesar pendukung teori ini adalah apabila mereka menganggap Islam berada di Nusantara sekitar abad ke-13M, sedangkan lebih banyak teori-teori tepat menunjukkan Islam berada di Nusantara sekitar abad ke-7M atau ke-8M.

5.0  KESIMPULAN
         Walaupun tiada teori yang tepat mengenai kedatangan Islam di Nusantara, jelas kelihatan hujah kedatangan Islam daripada Arab/Parsi lebih kukuh. Jika Islam disebarkan melalui China sekalipun, menurut al-Attas, pedagang yang datang dari Canton sendiri terdiri daripada orang-orang Arab. Mengenai teori dari India, kebanyakan sarjana menolak kerana tiada bukti kukuh yang meyakinkan. Rumusannya teori kedatangan Islam tidak boleh ditentukan oleh faktor dalaman sahaja, kerana unsur luaran amat penting untuk memastikan ketepatan teori kedatangan Islam di Nusantara kerana sumber kajian adalah sangat terhad.







6.0  BILIOGRAFI

A.Habib Alwi. 1995. Sejarah Masuknya Islam di Timur Jauh. Jakarta: Lantera Basritama.

Abdullah Ishak. 1992. Islam di Nusantara, Kuala Lumpur:  Maskha Sdn. Bhd.

Abdullah Ishak. 1992. Islam di India, Nusantara dan China, Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.

Abdul Rahman Abdullah. 1981. Sejarah dan Pemikiran Islam, Pena Sdn. Bhd.

Abdul Rahman Abdullah. 1990. Pemikiran Umat Islam di Nusantara, Sejarah dan Perkembangannya hingga Abad ke-19, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Rauh Yaakob. 1994. Lembaran Sejarah dan Tamadun Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dasuki Ahmad. 1974. Ikhtisar Perkembangan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hall, D.G.E. 1987. Sejarah Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ibrahim T.Y. Ma. 1979. Perkembangan Islam di Tiongkok, Jakarta: Bulan Bintang Enterprise.

 Ismail Hamid. 1986. Perkembangan Islam di Asia dan Alam Melayu, Heinemann Sdn. Bhd.

Mahayudin Haji Yahaya. 1993. Sejarah Islam. Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Hooker, M.B. 1991.  Undang-Undang Islam di Asia Tenggara, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sayid Alwi. 1957. Sejarah Perkembangan Islam di Timur Jauh, Dhiya Shahab al-Maktab al-Daini.

Sejarah Masuknya Islam ke Indonesia. 1963. Panitia Sejarah Indonesia.
Slametmuljana. 1981. Kuntala, Srivijaya dan Suwarnabhumi, Jakarta: Yayasan Idayu.

S.M.N al-Attas. 1969. Preliminary Statement on a General Theory of the Islamization of the Malay-Indonesian Archipelago, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


S.M.N. al-Attas. 1972. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. UKM. Bangi.

S.Q. Fatimi. 1963. Islam Comes to Malaysia, Singapore: MSRI.
Thomas, Arnold. 1968. The Preaching of Islam. Lahore: Sh. Muhamad Ashraf.
Zainal Abidin Ahmad. 1979. Sejarah Islam dan Umatnya jilid V, Jakarta:Bulan Bintang.



[1] Ismail Hamid, 1986, Perkembangan Islam di Asia dan Alam Melayu, Heinemann Sdn. Bhd. Hlm.53.
[2] Sejarah Masuknya Islam ke Indonesia, 1963, Panitia Sejarah Indonesia.
[3] Abdullah Ishak, 1992, Islam di Nusantara, Maskha Sdn. Bhd: Kuala Lumpur.  Hlm. 56.
[4] Mahayudin Haji Yahaya, 1993, Sejarah Islam. Fajar Bakti Sdn. Bhd. Hlm. 557.
[5]Zainal Abidin Ahmad, 1979, Sejarah Islam dan Umatnya jilid V, Bulan Bintang: Jakarta. Hlm. 136.
[6] Sayid Alwi, 1957, Sejarah Perkembangan Islam di Timur Jauh, Dhiya Shahab al-Maktab al-Daini. Hlm. 51.
[7] S.Q. Fatimi, 1963, Islam Comes to Malaysia, MSRI: Singapore. Hlm. 53.
[8] M.B. Hooker, 1991, Undang-Undang Islam di Asia Tenggara, DBP: Kuala Lumpur. Hlm,2.
[9] Dasuki Ahmad, 1974, Ikhtisar Perkembangan Islam. DBP: Kuala Lumpur.
[10] Abdul Rauh Yaakob, 1994, Lembaran Sejarah dan Tamadun Islam, DBP: Kuala Lumpur. Hlm. 73.
[11] Abdullah Ishak, 1992, Islam di India, Nusantara dan China, Nurin Enterprise: Kuala Lumpur. Hlm. 104.
[12] Abdullah Ishak, 1992, Islam di Nusantara( khususnya di Tanah Melayu), Maskha. Sdn. Bhd.. Hlm. 136.
[13] D.G.E Hall, 1964, A History of South East Asia. Macmillan: London. Hlm 19s.
[14]A.Habib Alwi, 1995,  Sejarah Masuknya Islam di Timur Jauh. Lantera Basritama: Jakarta. Hlm 43.
[15] Ismail Hamid, 1986, Perkembangan Islam di Asia dan Alam Melayu, Heinemann. Sdn. Bhd. Hlm. 55.
[16] S.Q. Fatimi, 1963, Islam Comes to Malaysia, MSRI: Singapore. Hlm. 37.
[17] Ibrahim T.Y. Ma, 1979, Perkembangan Islam di Tiongkok, Bulan Bintang Enterprise: Jakarta. Hlm. 50.
[18] S.M.N. al-Attas, 1969, Preliminary Statement on a General Theory of the Islamization of the Malay-Indonesian Archipelago, Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur. Hlm. 11.
[19] Abd. Rahman Abdullah, 1981, Sejarah dan Pemikiran Islam, Pena Sdn. Bhd. Hlm. 239.
[20] Slametmuljana, 1981, Kuntala, Srivijaya dan Suwarnabhumi, Yayasan Idayu: Jakarta. Hlm. 267.
[21] Abdullah Ishak, 1992, Islam di India, Nusantara dan China, Nurin Ent. Hlm. 105.
[22] Thomas Arnold, 1968, The Preaching of Islam, Lahore. Hlm. 318.
[23] S.M.N. al-Attas, 1972, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. UPM. Hlm.18.
[24] S.Q. Fatimi, 1963, Islam Comes to Malasysia. Hlm. 25.
[25] Sejarah Masuknya Islam ke Indonesia, 1963, Panitia Seminar Sejarah Indonesia.

BILIOGRAFI

A.Habib Alwi. 1995. Sejarah Masuknya Islam di Timur Jauh. Jakarta: Lantera Basritama.

Abdullah Ishak. 1992. Islam di Nusantara, Kuala Lumpur:  Maskha Sdn. Bhd.

Abdullah Ishak. 1992. Islam di India, Nusantara dan China, Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.

Abdul Rahman Abdullah. 1981. Sejarah dan Pemikiran Islam, Pena Sdn. Bhd.

Abdul Rahman Abdullah. 1990. Pemikiran Umat Islam di Nusantara, Sejarah dan Perkembangannya hingga Abad ke-19, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Rauh Yaakob. 1994. Lembaran Sejarah dan Tamadun Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dasuki Ahmad. 1974. Ikhtisar Perkembangan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hall, D.G.E. 1987. Sejarah Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ibrahim T.Y. Ma. 1979. Perkembangan Islam di Tiongkok, Jakarta: Bulan Bintang Enterprise.

 Ismail Hamid. 1986. Perkembangan Islam di Asia dan Alam Melayu, Heinemann Sdn. Bhd.

Mahayudin Haji Yahaya. 1993. Sejarah Islam. Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Hooker, M.B. 1991.  Undang-Undang Islam di Asia Tenggara, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sayid Alwi. 1957. Sejarah Perkembangan Islam di Timur Jauh, Dhiya Shahab al-Maktab al-Daini.

Sejarah Masuknya Islam ke Indonesia. 1963. Panitia Sejarah Indonesia.
Slametmuljana. 1981. Kuntala, Srivijaya dan Suwarnabhumi, Jakarta: Yayasan Idayu.

S.M.N al-Attas. 1969. Preliminary Statement on a General Theory of the Islamization of the Malay-Indonesian Archipelago, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


S.M.N. al-Attas. 1972. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. UKM. Bangi.

S.Q. Fatimi. 1963. Islam Comes to Malaysia, Singapore: MSRI.
Thomas, Arnold. 1968. The Preaching of Islam. Lahore: Sh. Muhamad Ashraf.
Zainal Abidin Ahmad. 1979. Sejarah Islam dan Umatnya jilid V, Jakarta:Bulan Bintang.


No comments:

Post a Comment