Pengenalan
Sejarah merupakan satu cabang ilmu kemanusiaan yang tidak asing lagi pada masa ini. Walaupun kepentingan dan masa depan subjek ini sering dipertikaikan, namun , terdapat pelbagai usaha untuk menjadikan sejarah sebagai suatu bidang ilmu yang setanding dengan bidang-bidang ilmu yang lain. Perkataan sejarah diterbitkan daripada pelbagai istilah khusus seperti “syajaratun” yakni dalam bahasa Arab, dan “history” pula dalam bahasa Inggeris. Menurut J.B. Bury, sejarah ialah sains, tidak kurang dan tidak lebih.[1] Pada pandangan R.G. Collingwood pula sejarah ialah pemikiran manakala E.H. Carr menyatakan bahawa sejarah itu merupakan suatu proses interaksi yang berterusan antara sejarawan dengan fakta-faktanya.[2] Melihat pengertian sejarah daripada sudut pandangan sejarawan menjadikan bidang ini merupakan satu bidang penyelidikan yang pada diri seseorang itu atau ahli sejarah itu perlu tahu sebelum layak atau mampu untuk mengemukakan fakta-fakta tentang sesuatu yang diperkatakan. Sejarah menuntut pengkajinya mencari kebenaran tentang sesuatu peristiwa melalui kajian yang sistematik serta penghujahan yang kukuh, logik dan objektif. Ahli sejarah perlu arif dan bijak dalam menentukan penggunaan sumber untuk dijadikan asas dalam penulisannya. Sehubungan dengan itu, ahli sejarah perlu mengetahui dan memahami apa itu proses kritikan sumber. Apakah yang diertikan dengan sumber dan kritikan itu ?. Benarkah kritikan sumber menentukan nilai hasil penulisan sejarah ?. Dengan wujudnya persoalan-persoalan ini, bidang sejarah menjadi satu subjek yang menuntut pemikiran ahli sejarah, bukan lagi setakat mengesahkan sesuatu fakta secara bulat-bulat tanpa penyelidikan terlebih dahulu.
KRITIKAN SUMBER
Makna sumber
Ahli-ahli sejarah amat mementingkan penggunaan sumber yang sahih dalam penghasilan sesebuah penulisan sejarah. Sumber yang benar dan tepat tentang sesuatu hasil kajian sejarah dapat membuktikan kesahihan sesuatu peristiwa atau kejadian yang telah berlaku pada suatu ketika dahulu. Menurut Muhd. Yusof Ibrahim, “sumber ialah suatu yang boleh menjadi punca kepada lahirnya sesuatu pemikiran atau penulisan”.[3] Selain itu, terdapat beberapa definisi atau tafsiran lain yang merujuk kepada maksud sumber, antaranya seperti di dalam kamus Oxford English Dictionary, sumber atau “source” bererti “sesebuah karya, dan lain-lain, yang menyediakan maklumat atau bukti (khusus yang bersifat tulen atau asli) berkenaan sesuatu fakta, kejadian, atau siri hal-hal tersebut”.[4] Sumber juga boleh diertikan seperti bahan-bahan tinggalan sejarah yang berupa seperti dokumen, artifak, jurnal, buku catatan peribadi dan lain-lain yang tersimpan di arkib, perpustakaan, pejabat khas, muzium dan sebagainya. Bahan-bahan ini secara langsung atau tidak langsung menjadi rujukan untuk tujuan penyelidikan bagi ahli-ahli sejarah mahupun pengkaji-pengkaji dalam mana-mana disiplin ilmu. Sumber terbahagi kepada 2 jenis, yakni sumber primer dan sumber sekunder. Sumber primer diklasifikasikan sebagai bahan-bahan asli atau tulen seperti dokumen, surat (rasmi atau tidak rasmi), laporan, buku harian dan sebagainya yang belum ditafsir atau diperlengkapkan lagi.[5] Bahan-bahan yang dikategorikan sebagai sumber primer kerana keadaannya yang asli dan mengandungi maklumat asal sama ada benar atau tidak benar untuk tujuan penyelidikan. Seterusnya ialah sumber sekunder atau kedua yakni bahan-bahan penulisan tentang sesuatu peristiwa atau biografi tentang tokoh-tokoh tertentu yang diterbitkan oleh seseorang penulis atau sesebuah organisasi berdasarkan kajian terhadap sumber primer.[6] Penggunaan sumber sekunder adalah penting bagi seseorang penulis sejarah kerana ia berfungsi sebagai penyokong atau pengukuh bagi sesuatu hujah dan bukti yang dikemukakan. Sumber-sumber kedua adalah seperti buku, majalah, surat khabar, disertasi atau tesis.
Penafsiran Sumber
Sumber terdapat dalam pelbagai bentuk yakni berupa seperti dokumen, surat, catatan harian seseorang, koin , artifak, peninggalan peribadi dan sebagainya. Namun, sumber sering kali disalahertikan dan menimbulkan keraguan sesetengah pihak dan pengkaji kerana ia mempunyai pertalian atau “cohesion” dengan bukti. Hal ini kerana terdapat anggapan bahawa “bukti” membawa maksud yang serupa dengan istilah sumber. Kendatipun, anggapan itu ternyata tidak benar sama sekali kerana menurut ahli-ahli sejarah, istilah sumber dalam konteks sejarah membawa makna “bahan-bahan yang menyediakan bukti berkenaan sesuatu yang dikaji itu”. Di samping itu, bukti pula bermaksud “keterangan atau fakta-fakta yang dapat mengesahkan atau menyangkal sesuatu hal yang khusus”.[7] Fakta merupakan tulang belakang bagi sesebuah penulisan sejarah, tanpanya, penulisan itu hanyalah sebuah cerita rekaan semata-mata atau mungkin boleh menjadi sebuah penulisan falsafah atau sastera. Fakta sejarah ialah sesuatu hakikat yang kukuh, stabil dan tidak boleh dipersoalkan lagi kewibawaan mahupun kebenarannya[8]. Sungguh pun begitu, sesuatu fakta itu masih belum boleh disahkan lagi pada peringkat fakta itu dianggap masih mudah dan terbukti sepenuhnya akan kebenarannya.[9] Sekiranya terdapat unsur subjektiviti seperti pengadilan moral, motif penulis dan sebagainya, fakta tersebut akan berubah daripada asalnya. Fakta boleh menjadi sesuatu yang subjektif kerana ia terhasil daripada proses pemikiran ahli-ahli sejarah.[10] Proses ini dilakukan selepas seseorang pengkaji itu telah meneliti, mentafsir dan membandingkan sumber-sumber yang digunapakai itu. Oleh itu, Ranke menyarankan agar fakta tersebut tidak di’warnai’ dengan nilai-nilai subjektif agar fakta tidak dipengaruhi oleh kepentingan peribadi, agama, bangsa dan sebagainya. Walaupun begitu, kepentingan sesuatu sumber itu adalah berdasarkan ahli sejarah yang mengkaji sesuatu peristiwa atau tajuk penulisannya.
Kritikan Luaran
Istilah kritikan pada masa ini bukanlah satu pendirian negatif semata-mata tetapi menjadi satu ujian untuk mengesahkan atau menyangkal kebenaran pensejarahan atau sumber-sumber tertentu. Ia turut dianggap sebagai satu usaha untuk memastikan ketulenan sesuatu sumber asli itu.[11] Perkembangan dalam kaedah penyelidikan sejarah ini telah diperluaskan lagi oleh tokoh pensejarahan moden iaitu Leopold Von Ranke pada abad ke-19. Kaedah ini disifatkan sebagai “sejarah kritikal” oleh R.G Collingwood kerana ia telah menjadikan bidang sejarah setanding dengan pelbagai disiplin ilmu moden yang lain seperti bidang sains khususnya. Kritikan luar lebih bersifat fizikal ke atas sesuatu sumber atau pengkaryaan. Perkara ini merangkumi ujian kimia, ujian bahasa, ujian tulisan tangan dan ujian bahan-bahan yang digunakan terdapat dalam dokumen itu. Bagi ujian kimia, dokumen itu akan diuji keadaan kertas, penggunaan dakwat pena dan cap kerana bahan-bahan ini akan berubah keadaan fizikal mengikut perederan masa, justeru, pemalsuan dokumen boleh berlaku. Misalnya kes Buku Harian Hitler yang didakwa dipalsukan yang telah menimbulkan pertelingkahan sesetengah ahli sejarah yang akui akan kebenarannya, padahal hakikatnya memang benar buku itu adalah palsu setelah ujian makmal dijalankan ke atas penggunaan benang “polyester” yang digunakan untuk penjilidan yang tidak pernah digunakan pada zaman pemerintahan Hitler. Manakala ujian bahasa penting untuk memastikan ketulenan sesuatu dokumen itu kerana gaya bahasa sentiasa berubah mengikut peredaran zaman dari segi tatabahasa, ejaan, ejaan, tanda baca dan sebagainya.[12] Ujian-ujian ini tidaklah dilaksanakan oleh ahli sejarah semata-mata kerana mereka tidak mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tersebut. Ahli-ahli sejarah berperanan mentafsir kebenaran sesuatu sumber atau dokumen itu berdasarkan hasil ujian-ujian tersebut.
Kritikan Dalaman
Kesulitan untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan benar daripada sumber-sumber adalah satu perkara yang tipikal dalam sejarah. Hal ini kerana fakta-fakta yang wujud dalam sesuatu sumber adalah nyata dan bisu, oleh itu, ahli sejarah perlu meneroka dengan lebih dalam lagi sumber-sumber tersebut untuk mendapatkan kebenaran yang hakiki tentang sesuatu kejadian. Justeru, lahirlah satu proses dalam penyelidikan sejarah iaitu proses kritikan dalaman yang bertujuan untuk memastikan kerasionalan dan kemunasabahan yang terdapat dalam isi kandungan sesuatu sumber itu.[13] Selain itu, proses ini bertujuan untuk menjamin bahawa setiap fakta yang diambil daripada sumber-sumber boleh dipertanggungjawabkan dan disahkan oleh ahli sejarah.[14] Menurut Profesor Kitson Clark, “tidak ada dokumen, dan tidak ada penyataan, rasmi atau bukan rasmi, yang tidak boleh disangsi”. Kesangsian yang terbit dalam pemikiran ahli sejarah adalah penting terhadap kajiannya ke atas sesuatu sumber kerana terdapat fakta-fakta yang tersembunyi disebalik sumber yang nyata itu. Dalam penelitian sesuatu sumber, maksud-maksud yang tersirat itu perlu dipersoalkan. Ahli sejarah perlu bijak mengenalpasti tujuan atau latar belakang di sebalik surat atau dokumen atau pengkaryaan. Hal ini penting kerana setiap ahli sejarah mempunyai pandangan dan tafsiran yang berbeza tentang suatu kejadian tertentu. Akibatnya terdapat bukti-bukti yang bercanggah antara satu sejarawan dengan yang lain.[15] Hal ini demikian kerana penentu dalam sejarah bukanlah fakta-fakta yang yang wujud pada sumber itu, penafsiran ahli-ahli sejarah yang mengkaji sumber itu yang mengawal fakta tersebut. Sungguh pun begitu, ahli sejarah tidak boleh secara sewenang-wenangnya memanipulasikan fakta jika tidak dapat mentafsir bukti dalam sumber itu, perkara terbaik ialah mengakui kejahilannya. Hasil kajian ahli sejarah perlu bersandarkan kepada “apa yang didapatinya betul” dan bukan “apa yang difikirkannya betul” berdasarkan sumber yang ada.[16]
Contoh-contoh
Karya oleh Kamaruzzaman Shariff ini menceritakan tentang kewibawaan Sejarah Melayu sebagai satu sumber sejarah yang wajar dan berguna. Penulis berpendapat bahawa pandangan dan kritikan membuta tuli yang dibuat oleh sejarawan Barat terhadap kewibawaan Sejarah Melayu adalah tidak berasas. Misalnya,
R.J. Wilkinson dan R.O. Winstedt yang mengkritik Sejarah Melayu sebagai karya mitos semata-mata kerana terdapat banyak unsur lagenda dan perlambangan dalam karya tersebut.[17] Bagi penulis, sejarawan Barat perlu mengetahui dan memahami konsep pensejarahan Melayu klasik sebelum menilainya dari sudut kerasionalan mereka. Penggunaan unsur-unsur perlambangan atau metafora dalam pengkaryaan sebenarnya bertujuan untuk pengarang menyampaikan luahan perasaan, kritikan dan pandangan terhadap sesuatu perkara yang didapatinya tidak boleh disampaikan secara terang-terangan. Hal ini perlu dipertimbangkan kewajarannya kerana pengarang merupakan seorang pegawai istana yang ditugaskan untuk menulis cerita-cerita tentang raja dan kisah-kisah berkaitannya. Misalnya, dalam kisah ‘Singapura di-langgar Todak’ yang mana pengarang cuba menyampaikan kritikan mengenai ketidakadilan Sultan secara tersirat.[18] Perkara-perkara seperti nama pengarang asal tidak dapat dipastikan dan tidak terdapat tarikh-tarikh penting dalam penulisannya menjadi permasalahan bagi ahli sejarah untuk mengesahkan ketulenannya. Menurut Lienham dan Winstedt, versi Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang dengan pengarang asal adalah jauh berbeza[19] walaupun Tun Sri Lanang mempunyai kebijaksanaan dan pengetahuan tentang asal usul kesultanan Melayu Melaka dan peristiwa-peristiwa pada zaman pra-Melaka. Dari sudut lain, Sejarah Melayu layak dijadikan sumber sejarah yang fundamental bagi pengkaji-pengkaji sejarah kerana terdapat beberapa peristiwa yang penting yang merupakan kejadian sejarah sebenar jika dibandingkan dengan beberapa penulisan sejarah asing yang sezaman. Terdapat beberapa insiden yang berlaku dalam Sejarah Melayu ada disebut dalam karya-karya asing lain seperti kronologi Siam yang bertajuk “Pongsawadai of Luang Praset”[20] dan rekod China bertarikh 1537 iaitu “Hai Yu”.[21] Dengan membandingkan sumber-sumber asing ini, sejarawan dapat membezakan mitos daripada yang benar.
Hikayat Merong Mahawangsa
Naskah yang dikaji ini merupakan salinan semula daripada naskah salinan sebuah naskah yang tidak diketahui penulisnya pada tahun 1899. Umumnya, naskah asal karya ini tidak dapat dipastikan, justeru, setiap penulisan hikayat ini adalah berbeza dari segi kandungan, fakta dan susun aturnya menurut sejarawan yang mengkajinya. Tarikh penulisan karya ini dikatakan bermula selepas kedatangan Islam, namun terdapat beberapa pertikaian mengenai tarikh kedatangan Islam yang sebenarnya di negeri Kedah. Kehadiran unsur-unsur dongeng dan khayalan menjadikannya sukar untuk diterima akal akan peristiwa tersebut. Misalnya, kisah pengislaman raja Kedah oleh Sheikh Abdullah yang dikatakan telah mengembara dengan penghulu iblis kerana hendak mengetahui tingkah laku dan perbuatan iblis.[22] Unsur-unsur mitos juga dapat dikenalpasti melalui penceritaan tentang Raja Bersiong bertarung dengan Kampar, “...maka ia jadi-lah sa-ekor babi tunggal terlalu besar panjang-nya. Maka ia bertaring dua siong-nya, segera ia berlari2 datang menyondol2 di-chelah kangkang Raja Bersiong.”[23] Elemen seperti ini diwujudkan oleh penulis untuk menyampaikan luahan hati tentang kezaliman Raja Bersiong yang patut digulingkan pemerintahannya yang berbeza sekali dengan pandangan sarjana Barat. Hikayat Merong Mahawangsa dapat diterima sebagai hasil sastera Melayu yang bercorak sejarah kerana ia menceritakan susur galur kesultanan Melayu, raja-raja, peranan menteri-menteri, pembesar-pembesar dan sebagainya. Misalnya sewaktu Raja Merong Mahawangsa ingin meminangkan putera rajanya dengan seorang anak raja perempuan, “...maka di-alat-kan oleh menteri-nya dua buah perahu serta segala barang2 dagangan mana yang patut-nya serta dua orang menteri jadi utusan-nya...pun belayar-lah sa-orang sa-buah perahu, hala-nya pergi masing2 menuju ka-negeri yang di-kehendaki-nya itu.”[24] Walaupun ia menceritakan kebudayaan dan latar belakang masyarakat zaman Melayu klasik, hikayat ini sepertimana juga Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Siak, Bustan al-Salatin dan sebagainya hanya menumpukan kepada kisah-kisah golongan raja dan bangsawan istana. Nama Langkasuka iaitu nama kerajaan Kedah yang disebut dalam hikayat ini telah dibuktikan kesahihannya melalui sumber-sumber sejarah asing seperti batu-batu bersurat serta catatan oleh pedagang-pedagang dan musafir walaupun terdapat perbezaan dari sebutannya. Misalnya, catatan oleh I-Tsing (692M) ada menyebut tentang negeri yang bernama “Langkasu”. Selain itu, dalam batu bersurat Tanjore (1030M) terdapat nama “Illangasogam” dan “Kadaram”.[25] Justeru, jika diperlihatkan semula sumber-sumber yang digunakan dan dikaji sedalam-dalamnya hikayat ini, sudah pastinya sarjana Barat serta sejarawan moden akan mengakui kesejarahannya.
Kesimpulan
Kritikan sumber bukan sahaja berperanan memastikan kesahihan bukti malah mencari maklumat tambahan yang tersirat pada sumber. Telah ditegaskan bahawa fakta-fakta merupakan entiti-entiti yang wujud secara hakiki dan nyata dalam sumber dan tugas ahli-ahli sejarah ialah memilih dan menjelaskan fakta-fakta tersebut. Justeru, hasil kajian ditentukan oleh ahli-ahli sejarah, bukan daripada sumber-sumber. Hal ini menjelaskan lagi tentang mutu hasil kerja ahli-ahli sejarah kerana setiap ahli sejarah mempunyai sudut pandangan yang berbeza. Menurut Profesor M.M. Postan, “bukti baru muncul serentak dengan kemunculan sudut pandangan yang baru” menperjelaskan lagi kepentingan tugas mentafsirkan sumber oleh ahli-ahli sejarah yang membawa kepada nafas baru dalam kaedah penyelidikan dalam sejarah. Berbeza dengan pandangan Ranke yang menuntut keobjektifan dalam penulisan sejarah iaitu “wie es eigentlich gewesen” yang bermaksud sejarah sepertimana ia berlaku, berpendapat bahawa sejarah sepatutnya berlandaskan bukti, bukan daya imaginasi. Namun begitu, sejarah sepatutnya seperti apa yang diutarakan oleh R.G.Collingwood iaitu sejarah ialah pemikiran iaitu memahami perkara yang berlaku dengan memahami pemikiran si pelaku. Oleh itu, nilai hasil penulisan sejarah amat bergantung kepada proses kritikan sumber. Setiap sumber menceritakan peristiwa yang tidak sepertimana ia termaktub padanya kerana terdapat faktor-faktor lain yang mendorong sesuatu peristiwa itu berlaku yang memerlukan penafsiran ahli-ahli sejarah.
Bibliografi
Arba’iyah Mohd Nor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, 2002.
Muhd Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, 1975.
R. Suntralingam, Pengenalan Sejarah, Merican and Sons Sdn. Bhd. Kuala Lumpur, 1985.
Kamaruzzaman Shariff, Sejarah Melayu AS A HISTORICAL SOURCE, Perpustakaan Universiti Sains Malaysia
Dzulkifli bin Mohd. Salleh, Hikayat Merong Mahawangsa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur, 1972.
Winstedt R.O., “The Malacca Sultanate”, JMBRAS, Vol. 20, 1947.
Morrison, “The Siamese Wars with Malacca During the Reign of Muzaffar Shah (1445-1458 A.D.)”, JMBRAS, Vol. 22, 1949.
Ab. Samad Ahmad, Sejarah Kesusasteraan Melayu 2, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1963.
Shellabear, W.G., Sejarah Melayu, Malayan Publishing House Ltd., Singapura, 1961.
Hooykaas, Dr. C., Perintis Sastera, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1965.
Winstedt, R.O., “A History of Classical Malay Literature” JMBRAS, Vol. XXXI, Part 3, June 1958.
[20] Morrison, “The Siamese Wars with Malacca During the Reign of Muzaffar Shah (1445-1458 A.D.)”, hlm. 61.
alhamdulillah.. dah tahu dah macam mana nak buat esei sejarah nie.. terima kasih ... :)
ReplyDelete