Monday 2 January 2012

IMPERIALISME DAN KOLONIALISME EROPAH


Pengenalan

     Kecenderungan kedatangan kuasa barat ke Asia Tenggara berlaku sekitar akhir abad ke-19 hingga pertengahan abad ke-20. Dengan kata lain, kedatangan kuasa Eropah ini dilakukan bagi tujuan penjajahan dan kuasa-kuasa besar pada ketika itu seperti British, Perancis dan negara Eropah lain sedang bersaing menjadi kuasa utama. Oleh itu, negara-negara ini giat berusaha meluaskan tanah jajahan mereka. Hal ini menyebabkan bermulalah penjajahan British di Myanmar, Perancis di Vietnam dan beberapa siri penjajahan kuasa-kuasa lain di sekitar Asia Tenggara.
      Umumnya, penjajahan atau imperialisme ini bermaksud satu kecenderungan sesebuah masyarakat atau negara untuk menguasai sesebuah masyarakat atau negara yang lain dengan menggunakan apa juga cara dan untuk apa juga tujuan. Faktor utama penjajahan kuasa-kuasa Eropah atau imperialisme ini dijalankan adalah bagi mendapatkan tanah jajahan bagi membuktikan kekuasaan politik mereka kepada negara lain. Negara atau kuasa yang mempunyai kawasan taklukan yang luas pada ketika itu akan dipandang tinggi oleh kawan dan lawannya. Dasar imperialisme ini juga berlaku adalah kerana negara-negara kuasa besar ingin menguasai ekonomi negara jajahan. Penguasaan ekonomi ini amat diperlukan kerana berlakunya revolusi perindustrian terutamanya di Eropah yang memerlukan sumber bahan mentah yang banyak. Selain itu, negara-negara Eropah melakukan dasar imperialisme ini juga kerana mereka mengatakan bahawa mereka bertanggungjawab mentamadunkan rakyat di Asia Tenggara yang dianggap tidak bertamadun. Mereka menggunakan slogan ‘beban orang putih’ sebagai alasan melakukan mentamadunkan negara jajahan melalui penjajahan.
     Myanmar atau pada asalnya disebut Burma sebelum tahun telah diasaskan oleh keturunan Alaungpaya iaitu pengasas Dinati konbaung pada 1752 dan berakhir pada 1885 selepas dijajah oleh British semasa pemerintahan Raja Thibaw. Penjajahan British di Myanmar berlaku pada tahun 1886 adalah ekoran daripada beberapa siri perjanjian dan peperangan seperti Perang Inggeris-Myanmar 1, Perang Inggeris-Myanmar 2 dan akhirnya Perang Inggeris-Myanmar 3. Pelbagai perjanjian telah dimeterai oleh kedua-dua pihak seperti Perjanjian Yandabo, namun perlanggaran syarat-syarat perjanjian ini menyebabkan peperangan dan persengketaan berlaku berterusan. Peperangan yang berlaku ini menyebabkan Arakan dan Tenasserim ditakluki selepas Perang Inggeris-Myanmar 1. Pegu pula jatuh ke tangan Inggeris selepas Perang Inggeris-Myanmar 2 dan Ulu Burma ditakluki selepas Perang Inggeris Myanmar  dan berakhirlah pemerintahan Dinasti konbaung.
     Penjajahan Perancis di Vietnam pula bermula pada tahun 1859 setelah bandar Saigon ditawan pada 18 februari 1859. Penaklukan dan kejatuhan empayar lama Vietnam mengambil masa selama tiga puluh tahun dan melalui beberapa tahap. Sejarah Vietnam sebelum tahun 1902 dipenuhi dengan beberapa siri peperangan sama ada perang dengan negara jiran atau perang saudara. Maharaja Gia Long atau nama sebenarnya Nguyen Anh merupakan pengasas Wangsa Nguyen muncul sebagai pemerintah Vietnam selepas tamatnya perang dengan negara jiran dan perang saudara Vietnam. Pemerintahan di Vietnam silih berganti dan pelbagai usaha mewujudkan keamanan dan perpaduan telah dilakukan. Namun, pada zaman pemerintahan  Raja Tu Duc berlaku pelbagai masalah dalaman dan perpecahan dalam kepimpinan dan keadaan ini menyebabkan Perancis mula mengambil kesempatan. Imperialis Perancis yang semakin hebat pada akhir abad ke-19 itu telah memperalatkan pemerintah Vietnam dengan memaksa beberapa perjanjian dengan Perancis ditandatangani. Gerakan-gerakan imperialis Perancis pula semakin mendesak Vietnam dan keadaan ini sedikit demi sedikit membolehkan Perancis berjaya menguasai pilitik dan menakluk Vietnam setelah beberapa siri perjanjian yang dimeterai antara Perancis dengan pemerintah Vietnam telah dibuat. Dalam bulan mac 1902 Vietnam terpaksa tunduk dan dimasukkan ke dalam empayar jajahan Perancis.
      Dalam membicarakan mengenai penjajahan British dan Perancis antara 1880 hingga 1941, penjajahan ini meninggalkan pelbagai kesan kepada tanah jajahan. Penjajahan British dan Perancis ini meninggalkan banyak kesan kepada negara jajahan samaada dari segi politik, ekonomi dan sosial. Melalui penulisan ini, penulis akan cuba menjawab persoalan berkenaan dengan kesan sosial samaada kesan positif mahupun kesan negatif akibat penjajahan British dan Perancis meliputi negara jajahan British iaitu Myanmar dan negara jajahan Perancis iaitu Vietnam. Dalam hal ini, aspek perbincangan kesan sosial meliputi pembaharuan dasar pemerintahan, bahasa dan pendidikan, taraf hidup, undang-undang, aspek pembentukan masyarakat dan semangat kebangsaan yang terdapat di sesebuah negara jajahan itu. Kedatangan Penjajah telah membawa bersama impak perubahan dari segi sosial. Apa yang berbeza hanyalah cara yang digunakkan oleh kedua-dua penjajah tersebut.
      Di Myanmar, British telah membawa buruh daripada India masuk ke Myanmar terutamanya bagi menjalankan kegiatan ekonomi seperti pertanian padi. Semua sektor ekonomi Burma dipertanggungjawabkan kepada syarikat-syarikat Inggeris yang diuruskan oleh pentadbir-pentadbir India dan China dan migrasi orang India dan China digalakkan oleh orang British. Upah buruh yang murah dari India ini menyebabkan British mengambil mereka untuk berkhidmat juga dengan  kerajaan seperti di jabatan kesihatan, pos dan telegraf. Kemasukan buruh-buruh ini membawa bersama budaya-budaya mereka yang menyebabkan berlakunya asimilasi dan sosialisasi terhadap budaya dan penduduk tempatan. Selain itu, perkahwinan  antara buruh-buruh luar dengan penduduk Myanmar turut membawa perubahan kepada budaya temaptan Myanmar yang mengakibatkan wujudnya masyarakat majmuk di Myanmar. Kemasukan warga asing secara beramai-ramai ini menjurus kepada berlakunya masalah perkauman kerana masyarakat peribumi berasa terhimpit dan dipinggirkan. Perkembangan ini memperlihatkan golongan Chetti mula menguasai tanah-tanah pertanian dan hak masyarakat tempatan mula diabaikan. Kesannya berlakulah pemberontakan dan rusuhan seperti pemberontakan Hsaya San. Manakala di Vietnam pula, Perancis telah menjalankan dasar asimilasi dan asosiasi. Asimilasi bermakna usaha untuk memperanciskan rakyat yang dijajah dari segi bahasa, adat dan idealisme. Namun dasar ini pada kemuncaknya gagal dilaksanakan  dan Perancis menjalankan pula dasar asosiasi di Vietnam. Dasar asosiasi pula bermaksud pemerintahan secara tidak langsung yang mengambil kira perbezaan ras, geografi, dan biologi kaum yang menjajah dan yang dijajah. Dasar ini mengutamakan kerjasama antara penjajah dengan yang dijajah. Melalui dasar ini, berlaku banyak perubahan dalam bidang sains dan pembaharuan ini mengukuhkan lagi pendudukan Perancis di Myanmar.
      Selain itu, kesan penjajahan turut memberi kesan kepada sistem pendidikan seperti pengenalan sisitem pendidikan Inggeris. Penaklukan Burma oleh Inggeris telah membuka peluang kepada rakyat untuk menerima pelajaran dan dengan cara memperlengkapkan kepentingan umum keadaan masyarakat seluruhnya menjadi bertambah baik.  Pengenalan sistem pendidikan ini bertujuan untuk mendidik anak-anak tempatan menjadi “pensubahat” dengan penerapan idealisme dan dakyah penjajah. Di Myanmar, pendidikan Inggeris telah diperkenalkan selepas tahun 1852 oleh British dengan tujuan untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat Myanmar bagi mendidik dan meningkatkan tamadun Burma. Dari segi pelajaran Inggeris memberi pelajaran-pelajaran yang mendorong kepada kebaikan negeri. Ia juga dilaksanakan untuk menyediakan pegawai-pegawai perkhidmatan awam dan pengusaha ekonomi moden dengan kerani yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris di samping kakitangan lain yang menyediakan negara dengan kemahiran yang diperlukan oleh sesebuah negara moden. Sebelum abad ke-20, pendidikan telah dijalankan oleh rahib-rahib di biara yang terletak di bandar-bandar dan kedatangan British telah memperkenalkan sistem pendidikan Inggeris dan mewujudkan satu bahasa untuk seluruh negara bagi memudahkan perkembangan ekonomi dan memudahkan kawalan. Antara ilmu yang mula diperkenalkan seperti ilmu kira-kira, ukur tanah, geografi, sejarah eropah, astronomi dan geometri awalan diperkenalkan. Pendidikan yang bersifat fizikal seperti latihan boxing telah mula dipinggirkan. Dalam tahun 1871, sebanyak 70 buah sekolah menengah telah ditubuhkan  dan maktab perguruan juga diadakan. Pendidikan juga sangat pesat dibangunkan di Burma Hilir sekitar tahun 1886 dengan banyak didirikan sekolah Inggeris dan juga sekolah campuran. Kesannya, sekolah Kyaung (sekolah kampong) semakin dipinggirkan terutama dalam kalangan penduduk bandar. Akhirnya wujud tiga sistem pendidikan iaitu sistem pendidikan yang keinggerisan, sistem biara yang tradisional dan sistem pendidikan campuran keinggerisan dan tradisonal. Kemuncak perkembangan pendidikan di Burma ialah penubuhan Universiti Rangoon pada 1920. Sementara di Vietnam pula, pelajaran telah diabaikan kerana ini bukanlah matlamat utama Perancis menakluki Vietnam. Perancis tidak membuat sebarang perubahan sebelum tahun 1900. Mulai 1900 Sistem pelajaran mula diberi perhatian dan beberapa buah sekolah Perancis dibina di bandar-bandar besar. Pelajaran mula diberi perhatian bertujuan untuk mengeluarkan penuntut yang berkebolehan dalam bidang ekonomi dan juga pentadbiran kolonial. Para pelajar didedahkan kepada bahasa Perancis, ilmu kira-kira, sejarah dan juga ilmu geografi. Pelajaran pada peringkat rendah adalah selama 6 tahun dan pelajar yang terbaik akan dihantar ke Sekolah Menengah Saigon (Hanoi) dan perbelanjaan akan di tanggung oleh kerajaan. Selain itu sekolah mubaligh pula mengeluarkan bakal pegawai peringkat rendah. Dalam tahun 1907, Universiti Hanoi telah dibina tetapi terpaksa ditutup sebab universiti itu dijadikan oleh pihak bumiputera sebagai pusat pergerakan semangat kebangsaan.
      Di samping itu, penjajahan tidak semestinya mendatangkan kesan sosial yang positif terhadap negara yang dijajah. Terdapat juga pelbagai kesan negatif yang berlaku di negara-negara jajahan. Di Myanmar, walaupun kemajuan pesat berlaku namun taraf hidup dilihat semakin merosot. Hal ini berlaku kerana terdapat juga kegiatan merompak dan peningkatan kegiatan jenayah yang mendadak walaupun selepas pengenalan sistem perundangan yang mantap dan kekuatan polis betambah. Pertambahan penduduk yang semakin meningkat begitu juga perkembangan bandar Rangoon pada 1860 terlalu pesat dengan penduduk melebihi 60000 orang menyebabkan kekurangan peluang pekerjaan. Masalah ini menyebabkan berlakunya masalah perumahan dan taraf kesihatan penduduk turut merosot. Berbanding di Vietnam, penjajah Perancis lebih menumpukan kepada usaha memajukan kawasan perbandaran seperti mencantikkan bandar Hanoi dengan memperkenalkan bandar seperti di Perancis contohnya dengan memperkenalkan cafe, villa dan avenue. Perkembangan perbandaran ini telah membahagikan masyarakat Vietnam kepada dua golongan iaitu masyarakat bandar yang “bertamadun” dan berpelajaran Perancis (Quoc Ngu) dan masyarakat desa yang membosankan atau dikenali sebagai nha que. Perkembangan ini juga meminggirkan masyarakat luar bandar dan akan terus menetap di kawasan luar bandar.
     Selain itu, kesan penjajahan juga dapat dilihat dari aspek perundangan yang mana negara penjajah telah memperkenalkan sistem perundangan Barat. Pengenalan undang-undang barat ini telah meminggirkan undang-undang asal yang ada. Di Myanmar, British memperkenalkan  sistem undang-undang jenayah dan juga sivil. Pengenalan undang-undang ini juga membawa kesan negatif  kerana pendakwaan semakin banyak dilakukan. Selain itu, pengenalan sistem perundangan barat ini juga telah menyebabkan lebih ramai penuntut tempatan memberi perhatian kepada undang-undang sedangkan Burma sebenarnya memerlukan lebih ramai doktor dan jurutera. Pelaksanaan undang-undang barat ini sering kali mewujudkan masalah kepada Myanmar dan hanya menguntungkan pihak British. Berlaku salah faham mengenai pelaksanaan undang-undang ini antara pihak inggeris dengan penduduk Burma dan berlaku juga ketidakadilan dalam pelaksanaan undang-undang ini kerana mementingkan warna kulit. Selain itu, terdapat juga campur tangan pihak luar dalam perbicaraan di mahkamah yang menyebabkan sistem kehakiman menjadi kucar-kacir. Berbanding dengan negara Vietnam yang dijajah oleh perancis, dikatakan bahawa Perancis telah menjalankan sistem perundangan yang adil dan saksama terhadap penduduk Vietnam. Namun tindakan ini tidak berjaya juga menghilangkan perasaan benci penduduk kepada Perancis. Perjalanan mahkamah juga dijalankan tanpa merujuk kepada Golongan Mandarin.
     Penjajahan kuasa barat di Asia Tenggara juga telah menaikkan semangat kebangsaan dalam kalangan masyarakat tempatan yang sayangkan negara mereka. Masyarakat temapatan mula berasa tidak senang dengan pembaharuan yang dijalankan oleh pihak luar di tanah air mereka. Umumnya pembaharuan dan perubahan yang diperkenalkan pada mulanya bersifat memihak kepada pembangunan masyarakat tempatan tetapi lama-kelamaan mereka mula sedar bahawa pembaharuan yang dijalankan hanyalah bertujuan menguasai negara jajahan. Di Myanmar, Pergerakan menentang penjajah belum ketara sebelum atau sesudah Perang Inggeris Myanmar 1. Perjuangan menentang kemaraan British berasaskan patriotisme dan kebencian terhadap pihak yang berlainan bangsa, agama, budaya, agama, kepentingan ekonomi dan politiknya.  Pada hakikatnya, semangat kebangsaan Myanmar ini bermula sejak 1930an lagi. Penghapusan sistem feudal, perubahan susunan masyarakat, penguasaan ekonomi dan campurtangan inggeris dalam hal-hal kebudayaan merupakan antara faktor penentangan gerakan kebangsaan Myanmar. Boleh dikatakan bahawa badan yang ulung kali mengutarakan pergerakan itu ialah sebuah badan kebudayaan yang dikenal sebagai Young Men’s Buddisht Association yang tertuboh dalam tahun 1908. Mereka mula menuntut hak atau taraf yang mereka perolehi sebelum penjajahan British dan menuntut hak berkerajaan sendiri. Peristiwa di Burma yang lebih terkenal ialah Pemberontakan Hsaya San yang diketuai oleh seorang bekas rahib Buddha (pongyi). Di Vietnam, Semangat bencikan penjajahan Perancis memang sudah lama membara iaitu sejak tahun 1786 lagi. Semangat kebangsaan ini mula timbul setelah taraf masyarakat bumiputera dianggap lebih rendah daripada orang-orang Perancis. Mereka mula menuntut kebebasan tanah air mereka dan mereka sedar taraf mereka tidaklah lebih rendah daripada bangsa Perancis. Kuasa-kuasa penting mula dipegang oleh bangsa Perancis dan dalam tahun 1913, orang-orang Vietnam menubuhkan Persatuan Mengembalikan Vietnam bagi menuntut hak untuk berkerajaan sendiri. Setelah itu, bermulalah berlakunya pemberontakan kebangsaan Vietnam melalui parti-parti yang ditubuhkan bagi menyuarakan hak mereka.   
     Secara analisisnya, penjajahan atau imperialisme merupakan satu cara atau alternatif kuasa-kuasa besar bagi meluaskan pengaruh dan wilayah taklukannya. Keadaan ini berlaku kerana persaingan sesama kuasa-kuasa besar di samping kepentingan ekonomi yang menjadi salah satu faktor utama mereka menjalankan imperialisme. Kecenderungan kuasa-kuasa besar seperti kuasa barat ini menyebabkan negara-negara yang ingin ditakluki mereka dihuru-harakan terlebih dahulu seperti mengadakan perjanjian-perjanjian sebelum penjajahan dilakukan. Dengan itu, negara yang mengikut telunjuk kuasa-kuasa penjajah ini akan menyebabkan negara mereka ditakluki dan pentadbiran mula dikuasai oleh orang asing manakala rakyat tempatan hanya menjadi orang suruhan di tanah air sendiri. Keadaan ini mengakibatkan kesusahan dan keperitan hidup rakyat tempatan yang terpaksa mengikut telunjuk penjajah yang rakus mengejar kepentingan kuasa dan ekonomi. Hal ini juga memberi kesan kepada negara yang dijajah setelah pelbagai pembaharuan diperkenalkan yang kebanyakannya bertentangan dengan norma masyarakat tempatan. Namun, pergerakan-pergerakan kebangsaan yang mula dijalankan kesan daripada ketidakpuasan hati masyarakat tempatan terhadap penjajah sedikit sebanyak telah menjadi penghalang kepada penjajahan kuasa-kuasa barat diteruskan sehinggalah negeri-negeri jajahan dibebaskan. 
     Kesimpulannya, penjajahan atau imperialisme merupakan satu kaedah kuasa-kuasa besar seperti British dan Perancis meluaskan wilayah taklukannya. Penjajahan yang bermotifkan kekuasaan politik dan penguasaan ekonomi ini menyaksikan kejatuhan kerajaan Myanmar atau Burma dan kerajaan Vietnam yang pada asalnya merupakan sebuah kerajaan yang berdaulat dan mempunyai institusi beraja yang memerintah negara. Namun setelah kedatangan kuasa barat ini telah menjadikan raja sebagai boneka yang terus menerus mengikut telunjuk mereka dan mengiyakan setiap tindakan yang mereka lakukan. Melalui penjajahan ini, pelbagai pembaharuan dan perubahan yang dilakukan memberi kesan kepada masyakat di kedua-dua buah negara samaada kesan tersebut bersifat positif dan negatif yang meliputi kesan politik, ekonomi dan sosial.


Bibliografi
Abu Talib Ahmad, 1991, Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur

David Joel Steinberg(e.t all), 1981, Mengenali Sejarah Asia Tenggara Moden, Dewan Bahasa  dan Pustaka, Kuala Lumpur

John Bastin dan Harry J. Benda, 1977, Sejarah Asia Tenggara Moden, Penjajahan Nasionalisma dan Kebijajahan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur.

Philippe Devillers, 1988, Sejarah Indo-China Moden Perkembangan Sosiopolitik Hingga Abad ke-20, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur

Sufian Bin Taimon, 1972, Intisari Sejarah Asia Tenggara, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur

W.Williams dan Joginder Singh Jessy, 1969, Sejarah Rengkas Asia Tenggara, M.P.H Publications Sdn. Bhd, Singapura

Wan Abdul Rahman Latif et.al. , 2001, Sejarah Perkembangan Tamadun Dunia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment