Monday, 2 January 2012

PERJANJIAN BANGKOK 1909

Pengenalan
Pada hari ini, 10 Mac 1909 genaplah 100 tahun PerjanjianBangkok dimeteraikan antara Siam dan Britain yang membahagikan Negeri-negeri Melayu Utara (Kelantan,Terengganu, Kedah, Perlis, Patani, Yala, Narathiwat dan Setul) antara dua kuasa tersebut. Kelantan, Terengganu,Kedah dan Perlis menjadi naungan British manakala Patani,Narathiwat, Yala dan Setul (ringkasnya Patani) kekal menjadi sebahagian daripada wilayah Siam walaupun majoriti penduduknya terdiri daripada bangsa Melayu dan beragama Islam. Dalam membicara tentang Perjanjian 1909 tidak ramai yang membahas tentang ‘ketinggalan’ Patani,Narathiwat, Yala dan Setul di dalam Perjanjian itu. Kegagalan Perjanjian 1909 untuk memisahkan Patani daripada jajahan Siam telah memberi kesan buruk kepada kestabilan serantau. Justeru kegagalan itu, Patani kini sedang bergolak dengan keganasan.. Sempena ulangtahun ke-100 tahun perjanjian Bangkok (1909), elok kiranya peristiwa ini diulangkaji demi mencari perdamaian di wilayah yang sedang bergolak itu.

Patani Dan Negeri-Negeri Melayu Utara
Patani, asalnya, adalah sebuah kerajaan Melayu yang merdeka dan berdaulat. Majoriti penduduknya terdiri daripada orang Melayu dan beragama Islam (Ibrahim Syukri1958). Ia telah mencapai kemuncak keagungannya pada abad ke-16 pada masa pemerintahan Raja-Raja Perempuan. Pada akhir abad ke-18 Patani mengalami zaman kemerosotannya. Perang saudara telah melemahkan kekuatan Patani. Kesempatan itu telah diambil oleh Siam untuk menakluk Patani pada 1785. Setelah Patani tewas, Kedah pula menjadi mangsa dasar agresif Siam Pada 1821, Kedah diceroboh dan ditakluk. Britain, yang sepatutnya melindungi Kedah daripada pencerobohan Siam berasaskan Perjanjian 1786 dan 1800, telah mengkhianati Kedah. Britain telah membiarkan tentera Siam menakluk dan menganas di Siam. Sungguhpun Raja dan orang-orang Melayu di Kedah berusaha mempertahankan tanah airnya, tetapi tanpa bantuan luar, Kedah tewas. Sultan dan rakyatnya terpaksa berundur ke Pulau Pinang, bekas jajahannya, sebagai pelarian. Atas pertimbangan politik dan komersial, Britain mengiktiraf penaklukan Siam ke atas Kedah. Sebagai balasannya, kerajaan Siam bersetuju untuk memperakui Pulau Pinang dan Seberang Perai sebagai milik British. Kerajaan British pula berjanji akan membantu Siam dalam menghadapi tentangan orang Melayu.
Orang Melayu Patani dan Kedah menolak Perjanjian 1826 dan mengangkat senjata untuk membebaskan tanah air mereka daripada penjajahan Siam. Tidak tahan dengan kebangkitan orang Melayu Patani, pada awal 1840an, atas desakan British, Siam bersetuju untuk berdamai dengan orang Melayu Patani dan Kedah. Pemerintahan Raja Melayu telah dipulihkan di Patani dan Kedah tetapi menjadi negeri naungan Siam. Raja-Raja Melayu Patani dikhendaki mengirim Bunga Mas dan Perak setiap tiga tahun sekali ke Bangkok sebagai tanda taat setia dan persahabatan. Sejak itu hingga akhir abad ke 19, Negeri-Negeri Melayu kembali stabil.

Zaman Imperialisme Baru
Akhir abad ke-19 merupakan zaman imperialisme baru. Kuasa-kuasa Eropah berlumba dan bersaingan untuk menguasai sebanyak mungkin tanah jajahan di benua Afrika dan Asia. Di Tanah besar Asia Tenggara, satu persaingan yang hebat antara British dengan Perancis telah berlaku. British menakluk Hulu Burma pada 1886 manakala Perancis meluaskan penjajahannya di Annan dan Tongking. Persaingan ini mencapai kemuncaknya pada 1893. Pada masa itu kepentingan British tertumpu di dua kawasan, iaitu, pertama di timur laut Burma dan Selatan China, dan kedua di Negeri-Negeri Melayu Utara sehingga Genting Kra. Dikedua-dua kawasan itu, British mempunyai kepentingan perdagangan dan strategik. Bagaimanapun akibat perluasan Empayarnya yang luas dan berselerak, British enggan memperluaskan empayarnya kerana ada banyak masalah berkaitan dengan peluasan itu. Manakala Perancis masih lagi terlibat dalam peluasan tanah jajahan dan hanya menunggu kesempatan untuk menakluknya, terutamanya sekali di Tanah Besar Asia Tenggara, terutamanya jajahan Siam. Sekiranya Siam dijajah oleh Perancis, kepentingan British di Burma dan Negeri-Negeri Melayu Utara akan terjejas. Untuk mengelak British dan Perancis mempunyai sempadan yang sama, Kerajaan British telah mengadakan rundingan dengan Perancis pada 1895 bagi memelihara kemerdekaan Kerajaan Siam. Dalam pengisytiharan pada 15 Januari 1896 mereka bersetuju untuk memelihara kemerdekaan kerajaan Siam di Lembah Sungai Chao Phya. Berhubungan dengan wilayah-wilayah di luar Lembah Menam, mereka bersetuju membahagi antara mereka. Kawasan Timur Laut Siam,menjadi kawasan pengaruh Perancis manakala kawasan Negeri-Negeri Melayu Utara menjadi kawasan pengaruh British. Setelah pengumuman pengisytiharan itu, Kerajaan British telah mengadakan rundingan sulit dengan Siam bagi mengelak kuasa-kuasa Eropah lain, khususnya Jerman dan Russia, daripada bertapak di Negeri-Negeri Melyu Utara. Kerajaan Siam memberi jaminan bahawa ia tidak akan membenarkan mana-mana kuasa Eropah bertapak di situ tanpa persetujuan British. Kerajaan British pula berjanji akan menolong Siam menentang sebarang cubaan asing untuk bertapak di Negeri-Negeri Melayu Utara. Jaminan itu terkandung dalam Perjanjian Rahsia pada April 1897. Dengan jaminan itu, Siam mula mengukuh cengkamannya ke atas Negeri-Negeri Melayu Utara. Melalui dasar Thesaphiban, Siam memulakan reformasi pentadbiran di Negeri-Negeri Melayu Utara. Di bawah dasar ini, sistem pemerintahan beraja Melayu akan diganti dengan sistem Gabenur. Negeri-Negeri Melayu Patani, seperti Patani, Saiburi dan Jalor, menjadi sasaran utama sistem Thesaphiban. Raja-Raja Melayu Patani berusaha untuk mempertahan pemerintahan beraja Melayu. Mereka telah merayu kepada pihak berkuasa British di Singapura supaya menghalang kerajaan Siam daripada campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri mereka. Mereka juga bersedia untuk mengangkat senjata menentang Siam dengan sokongan kuasa-kuasa Eropah lain. Keadaan ini membimbangkan Frank Swettenham, Gabenur Negeri-Negeri Selat. Sekiranya kekacauan berlaku di Patani,sudah pasti ia akan memberi peluang kepada kuasa-kuasa Eropah lain, khususnya Jerman, untuk campurtangan di Negeri-Negeri Melayu Utara. Bagi Frank Swettenham,Negeri-Negeri Melayu Utara bukan tanah jajahan Siam tetapi hanya negeri naungan Siam. Beliau mendesak Kerajaan British mengambil alih Negeri-Negeri Melayu Utara. Selain untuk mengelak kuasa-kuasa Eropah lain bertapak di situ, iajuga bertujuan untuk menyelamat orang-orang Melayu daripada keganasan Siam. Kerajaan British menolak desakan itu kerana terikat dengan Perjanjian Rahsia 1897. Sekiranya British berbuat demikian sudah tentu Perancis pula akan membalas dengan merebut kawasan Timur Siam. Sementara itu, British mengalakkan kerajaan Siam melantik Penasihat-Penasihat Am di Negeri Melayu Utara untuk memantapkan pentadbiran. Penasihat-penasihat itu mestilah warganegara British. Belum pun Penasihat-Penasihat Am dilantik, Kerajaan Siam telah menahan Tengku Abdul Kadir, Raja Patani dan Tengku Mutalib, Raja Saiburi, pada 1902 yang dianggap oleh Siam sebagai pengerak gerakan menentang Siam. Pada 5 Oktober 1902, Kerajaan British, tanpa memperduli rayuan dan rintihan Raja-Raja Melayu, mengiktiraf Negeri-Negeri Melayu Utara sebagai jajahan Siam yang sah. Kerajaan Siam bersetuju untuk melantik Penasihat-Penasihat Am di Negeri Melayu Utara kecuali di Patani yang telah dihapus pemerintahan Melayu.
Berbanding dengan Negeri-Negeri Melayu utara lain, seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, Patani kurang bernasib baik. Patani diperintah secara langsung oleh Siam melalui seorang Gabenur. Gabenur dan kakitangannya adalah beragama  Buddhis dan berbangsa Siam. Mereka bukan sahaja tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu tetapi jahil tentang kebudayaan, agama dan adapt resamorang Melayu. Keadaan ini telah menimbulkan salah faham dan kekeliruan. Keadaan bertambah buruk apabial pegawai-pegawai Siam ini mentadbir Patani sebagai seorang penjajah, rasuah dan salah guna kuasa. Keadaan ini berbeza sekali dengan Negeri-Negeri Melayu yang beraja danmempunyai Penasihat-Penasihat Am Warga British. Kebajikan dan kepentingan orang Melayu dijaga. Seorang Konsul British di Songkhla menganggap orang Melayu Patani telah diperintah oleh sebuah rejim yang zalim. Beliau memberi ingatan kepada Kerajaan British sekiranya kekejaman itu berlarutan kemungkinan orang Melayu Patani akan memberontak dan meletakkan wilayah tersebut dalam keadaan yang tidak stabil. Beliau menasihat Kerajaan British campurtangan dan menyelamatkan orang Melayu Patani. Beliau ingatkan bahawa orang Melayu Patani telah merayu kepada Kerajaan Turki Uthmaniah supaya membantu mereka melepaskan diri daripada cengkaman Siam. Kerajaan Turki Uthmaniah dilaporkan telah memohon sekutunya Jerman supaya menyiasat rayuan orang Melayu Patani.
Keadaan ini membimbangkan Kerajaan British. Ini kerana Jerman adalah musuh ketatnya. Sekiranya Jerman campurtangan dan bertapak di Patani kepentingan British pasti akan terjejas. Wakil British di Bangkok, Paget, telah mengadakan perbincangan dengan Penasihat Hal Ehwal Luar Siam, Edward H. Strobel, tentang hal tersebut. Strobel sedar bahawa Kerajaan Siam tidak mampu untuk menghadapi ancaman Jerman kecuali mendapat sokongandaripada Britain dan Perancis. Bagi menangani masalah itu,Strobel Mencadangkan supaya kerajaan British  mengambil alih negeri-negeri Melayu yang Kerajaan Siam tidak dapat mengawalnya. Sebagai balasannya beliau berharap Kerajaan British bersetuju untuk memansukhkan hak keistimewaannya di Siam di bawah Perjanjian Bowring(1855) dan Perjanjian Rahsia (1897). Setiausaha Luar British Sir Edward Grey bersetuju dengan cadangan Strobel kerana ia bersesuaian dengan hasrat British untuk memperluaskan pengaruh British hingga ke Segenting Kra. Wakil British di Bangkok telah diarah berbincang dengan Strobel tentang hal itu. Dalam perbincangan itu, W.D. Beckett mencadangkan Kerajaan Siam menyerah kesemua negeri-negeri Melayu, termasuk Patani kepada British. Strobel menegaskan bahawa Siam hanya bersedia untuk menyerah negeri yang ia tidak mempunyai kuasa kawalan. Kerajaan Siam tidak mungkin akan menyerahkan Patani kerana ia adalah ‘Permata’ yang paling berharga. Hasil perbincangan itu telah disampai kepada Raja Chulalornkorn. Baginda bersetuju untuk melepaskan semua negeri-negeri Melayu kecuali Patani dengan syarat Kerajaan British bersetuju untuk membatalkan Perjanjian Bowring dan Perjanjian Rahsia serta memberi pinjaman kewangan dengan bunga yang rendah.
Keengganan Chulalongkorn untuk melepaskan Patani mengecewakan Paget. Ini kerana Patani merupakan wilayah bermasalah bagi Siam. Beliau tidak yakin bahawa Kerajaan Siam Mempunyai kemampuan untuk menangani kebangkitan orang Melayu Patani. Bagaimanapun Paget menyedari bahawa sekiranya Kerajaan British menekan kerajaan Siam supaya melepaskan Patani kemungkinan Kerajaan Siam akan membatalkan rundingan penyerahan Negeri-negeri Melayu. Demi untuk menyelamatkan Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis, Patani terpaksa dikorbankan. Paget berharap Kerajaan British dapat mempengaruhi Siam supaya berlaku adil terhadap orang Melayu Patani bagi memastikan kekacauan tidak akan berlaku yang boleh menjejaskan kestabilan di kawasan itu.
Pada 10 Mac 1909, Kerajaan British dan Siam telah memeterai sebuah perjanjian di Bangkok. Di bawah artikel 1 perjanjian itu, Siam bersetuju untuk menyerahkan hak kedaulatan, pertahanan, pentadbiran dan segala hak miliknya ke atas negeri-negeri Melayu, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, termasuk pulau-pulau berdekatan, kepada British. Menyedari bahawa Patani akan menjadi ‘duri dalam daging’ bagi Siam, Kerajaan British meminta jaminan daripada Kerajaan Siam bahawa Patani tidak akan diserah atau dipajak kepada kuasa-kuasa asing ataupun membenar mana-mana kuasa asing membuka pengkalan di sekitarnya yang boleh menjelaskan kepentingan British.

Reaksi
Dengan termeterainya perjanjian ini, Patani secara rasmi telah dipisahkan daripada negeri-negeri Melayu Semenanjung dan diserap secara paksaan menjadi wilayah Siam. Orang Melayu Patani ternyata kecewa dengan Perjanjian Bangkok yang memisahkan Patani daripada Negeri-Negeri Melayu lain. Mereka menolak percantuman paksaan Patani dengan Siam atas dasar bahawa Patani adalah negeri Melayu, beragama Islam dan kebudayaan Melayu yang amat berbeza sama sekali dengan Siam yang berketurunan Siam, beragama Buddha dan berkebudyaan Siam. Dengan itu tidak hairanlah, kekacauan dan pemberontakan terhadap penggabungan Patani dengan Siam berlaku pada awal 1910 hingga 1923. Apabila Perang Dunia I berlaku pada tahun 1914, orang Melayu Patani menaruh harapan bahawa Jerman, dan sekutunya Turki Uthmaniah, akan menyerang Siam kerana ia memihak kepada Britain dalam peperangan itu. Kiranya keadaan itu berlaku, orang Melayu Patani akan bangkit memberontak. Namun selepas 1918 perang tamat, hal yang sebaliknya pula berlaku iaitu Jerman dan Turki Uthmaniah tewas di tangan Pakatan Bersekutu yang diketuai oleh Britain. Sungguhpun begitu, sukarelawan Turki menyeludup masuk ke Patani bagi membantu orang Melayu Patani memberontak. Kemasukan sukarelawan itu telah dapat dikesan oleh pihak British dan Siam. Oleh kerana itu apabila orang Melayu Patani memberontak pada 1923 dengan mudah sahaja pemberontakan itu dapat dipatahkan oleh Siam. Nasib orang Melayu Patani telah mendapat simpati akhbar Penang Gazette. Dalam lidah pengarangnya, akhbar itu mendesak supaya Liga Bangsa-Bangsa campurtangan dan orang Melayu Patani diberi peluang untuk menentukan masa depan mereka berasaskan prinsip hak menentu nasib. Desakan Akhbar  Penang Gazette tidak ditimbang oleh Liga Bangsa-Bangsa yang turut dianggotai oleh Britain. Lagi pun Siam adalah sekutu rapat Britain. Nasib orang Melayu Patani semakin tertekan. Pada masa pemerintahan kuku besi Field Marshal Pibul Songgram,seorang nasionalis kiri, orang Melayu Patani menjadi mangsa dasar Rathaniyom. Di bawah dasar itu, orang Melayu, telah dipaksa menukar nama Melayunya kepada nama Siam,menghapuskan bahasa Melayu dan kebudayaan Melayu daripada mata pelajaran di Sekolah. Keadaan menjadi bertambah buruk lagi apabila Perang Dunia Kedua berlaku. Dalam peperangan itu Siam memihak kepada Jepun. Pibul Songgram memusuhi orang Melayu Patani kerana memihak kepada Britain. Ramai pemuda Melayu Patani yang menyertai Pasukan Force 136 (Melayu) yang dipimpim oleh Tengku Mahmud Mahyideen bin Tengku Abdul Kadir untuk menentang Jepun dan sekutunya Siam. Mana-mana pemuda Melayu yang disyaki memihak kepada British telah ditangkap dan dihukum. Ada juga yang dicolek dan dibunuh tanpa perikemanusiaan.
Pada 1943 Patani kembali bercantum dengan dengan negeri-negeri Melayu Utara apabila Negeri-negeri itu telah dipulangkan kembali oleh Jepun kepada Siam sebagai membalas jasa Siam kerana bekerjasama dengan Jepun.
Harapan Semasa perang sedang memuncak beberapa cadangan telah dikemukakan tentang masa depan Patani dan negeri-negeri Melayu Semenanjung. Tengku Mahmud Mahyidin mencadangkan supaya Perjanjian Bangkok 1909 dikaji semula dan Patani dicantum dengan negeri-negeri Melayu lain. Pada pandangannya masa depan keselamatan Melayu Patani adalah dengan Tanah Melayu.
Cadangan itu dikemukakan kerana pada masa itu British sedang menggubal dasar baru untuk Tanah Melayu. Berita tersebar bahawa negeri-negeri Melayu akan disatukan. Dengan itu harapan Patani untuk dikeluar daripada Siam dan diserap dalam gagasan baru itu amat mengalakkan. Apabila perang tamat pada Ogos 1945 dan tentera British Menguasai Siam, pemimpin Melayu Patani telah mengemukakan rayuan kepada kerajaan British melalui Lord Mountbatten supaya menimbangkan agar Patani dicantumkan dengan negeri-negeri Melayu Semenanjung di atas perisytiharan San Francisco. Antara lain mereka merayu, Kerajaan Pihak Berikat yang maha adil ini boleh menolongkan bagaimana cita-cita dan hajat kami supaya boleh melepaskan kami daripada tangan Siam. Dan jikalau sekiranya Kerajaan pihak Berika terlambat memberi keamanan kepada Negeri Patani dan jajahannya nescaya akan mendapat kepanasan atau mudarat kepada sekalian rakyat-rakyat melayu sekalian kelak. Harapan mereka berkecai. Apabila Perjanjian Damai ditandatangan antara Britain dengan Siam pada 1 Januari 1946, tuntutan orang Melayu Patani telah digugurkan. Ekoran itu, sekali lagi pada 15 Januari 1946 pemimpin Melayu Patani mengemukakan rayuan kepada kerajaan British agar dibebaskan Patani daripada belenggu penjajahan Siam.

…kami harapkan manakala telah selesai peperangan dunia tentulah Kerajaan Berikat terutama Kerajaan British yang maha adil supaya mengambil suatulangkah yang amat berat pada menghuraikanmasalah-masalah tunttan kami yang suci itu supaya terlepaskan daripada genggaman Kerajaan Siam yang amat zalim itu dengan seberapa segeranya.
Akan tetapi dukacitanya kami semua ternanti-nanti didalam masa dua tiga bulan hendak mendengar apa-apa natijahnya yang di bawa ke dalam perundingan di antara Kerajaan Siam dengan Kerajaan British yang telah ditandatangani perselesaian peperangan di antara Kerajaan Siam dengan Kerajaan Britishpada I Januari 1946 itu didapati tiada apa-apa pun yang bersangkut paut atau riaknya daripada Kerajaan
Berikat Mengambil berat di atas kemerdekaan kami dan negeri kami iaitu ‘Negeri-Negeri Melayu di dalam jajahan Siam’ dari itu kami sangat menaruh bimbang benar di atas pendirian kami bangsa Melayu kelak tertinggal di bawah kekuasaan Siam itu juga. Bagaimanapun kedua-dua rayuan itu telah ditolak oleh kerajaan British atas nasihat Pejabat Luar British atas alasan bahawa perayu itu bukan rakyat British dan dari segi itu British tidak mempunyai hak untuk menimbangnya. Tambahan pula Kerajaan British tidak mahu berbalah dengan Siam keranba bimbang ia akan menjejaskan bekalan beras Siam kepada tanah jajahannya.
Tuan Guru Haji Sulung pula mengemukakan rayuan kepada Kerajaan Thamrong pada 1947 supaya memberikan hak autonomi kepada Patani. Rayuan itu bukan sahaja telah ditolak, tetapi Tuan Guru Haji Sulung turut ditahan atas tuduhan menderhaka kepada Kerajaan Siam. Pengikut-pengikut Tuan Guru Haji Sulung juga telah ditangkap dan sebahagian daripada pengikutnya yang telah ditahan dan dibunuh dengan kejam atas alasan menggangu-gugat keamanan negara.
Kezaliman dan keganasan semakin menjadi-jadi terutama sekali semasa Siam berada di bawah pemerintahan tentera.Tidak tahan dengan keadaan itu, orang Melayu Patani telah menubuhkan gerakan pembebasan bagi membebaskan Patani dengan cara perang gerila. Pada 1960 Barisan Revolusi Nasional telah ditubuhkan oleh Haji Karim bin Hassan, disusuli kemudiannya oleh penubuhan Barisan Nasional Pembebasan Patani dan Patani United Liberation Organisation. Sejak 1960an hingga kini Patani berada dalam keadaan yang tidak stabil.Keadaan ini mungkin tidak akan terjadi kiranya pada 1909 Kerajaan Siam melepaskan semua Negeri-Negeri Melayu Utara, termasuk Patani, kepada British. Kerajaan Siam sedar dan tahu bahawa orang Melayu Patani tidak rela berada di bawah pemerintahan Siam yang bukan sahaja berlainan bangsa dan agama, tetapi juga bahasa dan kebudayaan. Kerana keangkuhan, Kerajaan Siam enggan melepaskan Patani walaupun tindakan itu membawa padah kepadanya. Untuk mengelak keganasan di Patani dari menjadi malapetaka besar bagi rantau ini, kerajaan Siam tidak mempunyai pilihan lain kecuali menyerahkan masalah Patani kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyelesaikannya dengan mengadakan pungutan suara atas prinsip hak menentu nasib.

KRISIS DI SELATAN THAI


PENGENALAN
Dari sudut persejarahan Negeri Patani memiliki sejarah yang cukup lama, jauh lebih lama daripada sejarah kerajaan-kerajaan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu.[1] Semenjak Pemerintahan Melayu Beraja dihapuskan pada tahun 1902, orang Melayu Patani berada dalam keadaan tertekan dan daif. Seperti yang diungkap oleh W.A.R. Wood, orang-orang Melayu telah menjadi mangsa sebuah pemerintahan yang 'misgoverned'. Dalam masa pemerintahan Pibul Songgram (1939-1944), orang-orang Melayu telah menjadi mangsa dasar asimilasi kebudayaan atau dasar Rathaniyom.
Tindakan Pibul Songgram memihak kepada Jepun dalam Perang Dunia Kedua telah memberikan harapan kepada orang-orang Melayu Patani untuk membetulkan ketidakadilan yang dikenakan ke atas mereka semasa Perjanjian Bangkok (1909). Tengku Mahmood Mahyideen, seorang pegawai berpangkat Mejar dalam pasukan Force 136, pernah mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa British di India supaya mengambil alih Patani dan wilayah sekitarnya serta digabungan dengan Tanah Melayu. Harapan mereka bertambah cerah apabila kuasa-kuasa besar dalam persidangan di San Francisco pada bulan April 1945 telah berjanji akan membantu untuk membebaskan mana-mana negeri yang dijajah berasaskan prinsip hak menentukan nasib sendiri.
Pada 1 November 1945, sekumpulan pemimpin Melayu Patani dipimpin oleh Tengku Abdul Jalal, bekas wakil rakyat wilayah Narathiwat, telah mengemukakan petisyen kepada kerajaan British merayu supaya empat wilayah di Selatan Siam dibebaskan daripada ‘penjajahan’ Siam. Pendirian British terhadap Siam bagaimanapun berubah apabila Peperangan Pasifik tamat. Keselamatan tanah jajahan dan kepentingan British di Asia Tenggara menjadi pertimbangan utama kerajaan British dalam penggubalan dasarnya terhadap Siam atau pun Patani. Kerajaan British juga memerlukan kerjasama Siam bagi mendapatkan bekalan beras bagi keperluan tanah jajahannya dan pengkalan ketenteraanya. Tidak kurang pentingnya kerajaan British terpaksa menyesuaikan dasarnya terhadap Siam dengan tuntutan Amerika Syarikat yang mahu mengekalkan wilayah Siam seperti dalam tahun 1941.
Selepas persidangan Songkhla pada awal bulan Januari 1949, pihak berkuasa British di Tanah Melayu mula mengambil tindakan ke atas kegiatan Gabungan Melayu Patani Raya (GEMPAR) di Semananjung Tanah Melayu.[2] Tengku Mahmood Mahyideen, seorang pemimpin utama Melayu Patani, telah ditekan oleh pihak berkuasa British di Tanah Melayu manakala Tuan Guru Haji Sulung telah ditangkap oleh pihak berkuasa Siam atas tuduhan subversif. GEMPAR, sebuah pertubuhan politik masyarakat Melayu Patani di Semenanjung juga telah disekat aktivitinya. Akibat daripada tekanan tersebut, gerakan Melayu Patani mula lemah dan goyah. Sungguhpun begitu, perjuangan Tengku Mahmood Mahyideen dan Tuan Guru Haji Sulung telah diteruskan generasi muda Patani.[3] Dalam tahun 1960-an, beberapa pertubuhan pembebasan telah ditubuhkan bagi memperjuangkan kemerdekaan Patani melalui perjuangan bersenjata. Perjuangan itu bagaimanapun masih belum mampu membebaskan Patani dari cengkaman Siam dan membawa kembali keamanan yang pernah mereka kecapi suatu ketika dahulu.
PERJANJIAN BANGKOK 1909
            Untuk menganalisis dasar yang diamalkan oleh kerajaan Siam terhadap Patani, kita semua harus tahu punca asal bagaimana hak pentadbiran mutlak ini diperoleh Siam. Pada 10 Mac 1909, Kerajaan British dan Siam telah memeterai sebuah perjanjian di Bangkok. Di bawah artikel 1 perjanjian itu, Siam bersetuju untuk menyerahkan hak kedaulatan, pertahanan, pentadbiran dan segala hak miliknya ke atas negeri-negeri Melayu, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, termasuk pulau-pulau berdekatan, kepada British. Dengan termeterainya perjanjian ini, Patani secara rasmi telah dipisahkan daripada negeri-negeri Melayu Semenanjung dan diserap secara paksaan menjadi wilayah Siam. Pada tahun ini juga, pemerintahan beraja Melayu Patani telah dihapuskan oleh kerajaan Siam dan digantikan dengan sistem Thesaphiban.[4] Tengku Abdullah Kadir Kamaruddin merupakan Raja Melayu Patani yang terakhir. Baginda telah dipenjarakan kerana menghalang usaha kerajaan Siam untuk menghapuskan sistem pemerintahan beraja Melayu-Islam. Orang Melayu Patani ternyata kecewa dengan Perjanjian Bangkok yang memisahkan Patani daripada Negeri-Negeri Melayu lain. Mereka menolak percantuman paksaan Patani dengan Siam atas dasar bahawa Patani adalah negeri Melayu, beragama Islam dan kebudayaan Melayu yang amat berbeza sama sekali dengan Siam yang berketurunan Siam, beragama Buddha dan berkebudayaan Siam.[5] Dengan itu tidak hairanlah, kekacauan dan pemberontakan terhadap penggabungan Patani dengan Siam berlaku pada awal 1910 hingga 1923. Orang-orang Melayu Patani amat berang dengan perjanjian ini kerana mereka lansung tidak diajak berunding sama, oleh sebab itu mereka mengemukakan rayuan kepada British agar Patani tidak dijadikan jajahan Siam tetapi digabungkan dengan negeri-negeri Melayu Semenanjung.



Namun tuntutan ini dibiarkan sepi kerana British mahu menjaga hubungan baiknya dengan Siam. Oleh hal yang demikian, orang-orang Melayu Patani telah mengemukakan rayuan kepada kerajaan Turki Uthmaniah dan sekutunya Jerman agar membebaskan mereka daripada belenggu Siam.[6]
Apabila Perang Dunia I berlaku pada tahun 1914, orang Melayu Patani menaruh harapan bahawa Jerman, dan sekutunya Turki Uthmaniah, akan menyerang Siam kerana ia memihak kepada British dalam peperangan itu. Sekiranya keadaan itu berlaku, orang Melayu Patani akan bangkit memberontak. Namun selepas perang tamat, hal yang sebaliknya pula berlaku iaitu Jerman dan Turki Uthmaniah tewas di tangan Pakatan Bersekutu yang diketuai oleh Britain. Hal ini bermakna impian mereka untuk keluar daripada cengkaman kerajaan Siam telah gagal. Selepas Perang Dunia Kedua tamat pada Ogos 1945, pemimpin Melayu Patani telah mengemukakan rayuan kepada kerajaan British melalui Lord Mountbatten supaya menimbangkan agar Patani dicantumkan dengan negeri-negeri Melayu Semenanjung di atas perisytiharan San Francisco. Tuan Guru Haji Sulung pula mengemukakan rayuan kepada Kerajaan Thamrong pada 1947 supaya memberikan hak autonomi kepada Patani. Rayuan itu bukan sahaja telah ditolak, tetapi Tuan Guru Haji Sulung turut ditahan atas tuduhan menderhaka kepada Kerajaan Siam. Pengikut-pengikut Tuan Guru Haji Sulung juga telah ditangkap dan sebahagian daripada pengikutnya yang telah ditahan dan dibunuh dengan kejam atas alasan menggangu-gugat keamanan negara.
Jelas dilihat tindakan British dan Siam dalam memeterai Perjanjian Bangkok seolah-olah merestui penindasan Siam terhadap masyarakat Muslim Selatan Thailand semata-mata mahu menjaga hubungan baik untuk kepentingannya seperti bekalan beras dan kawasan pertahanan. Oleh kerana terlaksana perjanjian ini juga, Patani kekal menjadi hak mutlak Siam sehingga kini dan menjadi mangsa kezaliman dan ketidakadilan pemerintahan kerajaan pusat. Untuk menjaga kepentingan Siam di Patani, kerajaan pusat telah melaksanakan beberapa dasar yang tidak wajar untuk menghapuskan budaya ‘kemelayuan’ digantikan dengan ‘kesiaman’ misalnya dasar Thesaphiban dan dasar Rathaniyum.

DASAR RATHANIYOM
            Semasa pemerintahan Phibul Songgram, beliau menjalakan pelbagai dasar untuk menanamkan semangat ‘kesiaman’ dalam kalangan masyarakat Melayu Patani. Di dalam perlembagaan Siam dinyatakan bahawa “Siam is a kingdom, one and indivisible[7] hal ini bermakna bermulalah dasar asimilasi terhadap penduduk-penduduk Patani. Dasar Kebudayaan Paksaan atau Rathaniyom[8] yang dijalankan oleh Phibul menunjukkan usaha beliau untuk mengasimilasikan penduduk Thailand demi membentuk satu entiti negara bangsa Siam dengan memansuhkan budaya dan bahasa Melayu serta mengantikan undang-undang Islam kepada Buddha dalam urusan nikah kahwin dan pembahagian harta pusaka. Di samping itu, kerajaan pusat turut menekankan konsep “homogeneous” dalam setiap urusan rasmi kerajaan dan wakilnya di Patani. Tidak cukup dengan itu, beliau menggunakan institusi pendidikan sebagai medium untuk mengasimilasikan masyarakat Melayu Patani. Dasar yang diperkenalkan adalah bertentangan dengan sistem agama dan budaya masyarakat Muslim Patani misalnya Akta Pelajaran yang mewajibkan kanak-kanak belajar di sekolah kebagsaan Siam yang mengunakan bahasa Siam sebagai bahasa pengantar serta mengarah sekolah pondok dan masjid mengubah sukatan pelajaran agar selari ketetapan kerajaan. Fenomena ini merupakan satu permasalahan bagi masyarakat Muslim Patani yang khuatir jati diri serta agama dan adat tradisi mereka akan terhakis.[9] Bagi golongan ibu bapa pula, mereka mula tidak menghantar anak-anak ke sekolah kerana tidak bersetuju dengan dasar kerajaan yang mewajibkan bahasa Siam dan setiap murid-murid perlu lulus dengan baik dalam matapelajaran bahasa Siam jika mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang seterusnya. Orang-orang  Melayu Patani tidak dibenarkan menggunakan nama Melayu, berpakaian Melayu, bercakap dan menulis dalam bahasa Melayu serta mempelajari agama Islam
            Melalui dasar ini juga, kerajaan Siam memberi keistimewaan kepada orang-orang yang beragama Buddha dan asalnya Siam di dalam kakitangan kerajaan. Orang-orang Melayu Patani didiskriminasikan dan corak kebudayaan mereka cuba dihapuskan terus melalui tindakan penyerapan semangat ‘kesiaman’ secara berperingkat.[10] Phibul juga mengamalkan kehidupan sosio-budaya ala Barat dengan memperkenalkan pemakaian potongan Eropah, bertopi, berkasut, makan dengan sudu dan menggunakan meja sebagai tempat makan. Kempen Rathaniyom itu adalah di bawah pengawasan Phibul sendiri dengan dibantu oleh Luang Vichit Vadhakarn, ketua Pengarah Jabatan Seni Halus dan juga seorang Menteri Tanpa Jabatan.[11] 
            Menyedari bahawa identiti agama dan kebudayaan mereka tercabar di bawah rejim Phibul, pemimpin-pemimpin agama Islam di bawah pimpinan Haji Sulung bin Abdul Kadir, seorang ulama yang terkemuka di Patani, telah menubuhkan sebuah pertubuhan agama yang dikenali sebagai He’et al-Napadh al-Lahkan ala Shariat (pertubuhan bagi mempertahankan undang-undang Syariat). Tujuan pertubuhan ini adalah untuk menggalakkan kerjasama dan mewujudkan pakatan di kalangan alim ulama dan guru-guru agama bagi menghadapi tindakan pihak kerajaan yang cuba mengasimilasi orang-orang Melayu dan mencabuli agama Islam.[12] Berikutan perletakan jawatan Phibul sebagai Perdana Menteri Siam pada bulan Julai 1944, Tengku Abdul Jalal telah menulis sepucuk surat kepada Perdana Menteri Siam yang baru, Khuang Aphaiwong, dengan menekankan betapa pentingnya membuat pindaan ke atas dasar yang dikuatkuasakan ke atas orang-orang Melayu bagi mengelakkan sebarang kekacuan berlaku di empat wilayah tersebut. Dengan sokongan Pridi Banamyong, pemangku Raja, Khuang Aphaiwongtelah menghapuskan ‘Dasar Kebudayaan’. Pada 3 Mei 1945, Pridi Banamyong, telah mengisytiharkan penggubalan Akta Islam yang bertujuan memecahkan halangan di antara pemerintahan Siam dan orang-orang Islam. [13] Walaubagaimanapun, bagai menarik rambut di dalam tepung, begitulah tidakan kerajaan Siam untuk mengaburi mata masyarakat Patani. Penubuhan Akta Islam ini sebenarnya tidak mempunyai apa-apa fungsi juga kerana mahkamah sivil mempunyai kuasa membatalkan arahan atau keputusan yang dikeluarkan oleh Jawatan Kuasa Islam Pusat Siam (Pejabat Chularajamontri). Oleh sebab itu, masyarakat Melayu Muslim atau Islam di Patani sentiasa berasa tertindas dan dijajah hasil daripada dasar-dasar yang diamalkan oleh kerajaan pusat.

DASAR THESAPHIBAN
Apabila secara rasmi Patani dijajah oleh Siam pada 1909 dan seiring dengan dasar Thesaphiban 1902, Raja-Raja Melayu satu demi satu telah digantikan dengan Gabenor Siam yang dilantik dari Perkhidmatan Awam Kebangsaan. Semua jawatan terletak di bawah Perkhidmatan Awam Kebangsaan dan segala urusan pentadbiran Patani dijalankan didalam bahasa Siam. Oleh itu, maka hampir kesemua jawatan kecil seperti kerani dan pelayan pejabat, telah dipegang oleh pegawai Siam yang didatangkan dari Bangkok.[14] Ini nyata memberi masalah yang besar kepada masyarakat Melayu Pattani dari aspek peluang kerja kerana mereka berbahasa dan berbudaya Melayu, bukannya Siam. Orang-orang Melayu menganggap, perubahan dalam sistem pentadbiran ini adalah satu penjajahan ke atas negeri dan bangsa mereka. Suatu hal yang menimbulkan masalah kepada orang-orang Melayu ialah pegawai-pegawai Siam yang dihantar bertugas ke Pattani adalah berpendidikan Siam. Mereka tidak mengetahui bahasa dan adat-resam tempatan. Maka berlaku ketidakpuasan hati terhadap pentadbir dari Siam dalam kalangan masyarakat Melayu Pattani.[15]
Pemerintah Siam biasanya akan memindahkan pegawai-pegawai mereka yang tidak berkualiti ke kawasan-kawasan yang jauh daripada pusat pentadbiran Siam di Bangkok.[16] Dalam hal ini, Patani yang terletak di selatan Siam tidak terkecuali daripada dihuni oleh pegawai-pegawai yang tidak berkualiti dan tidak berintegriti ini. Dengan hadirnya pegawai-pegawai yang korup, tidak cekap dan bertanggungjawab ini, ramai diantara pegawai-pegawai ini melakukan perkara-perkara jenayah seperti penyeludupan dan penipuan. Oleh kerana itu, pegawai-pegawai ini telah mengabaikan tugas hakiki mereka untuk membangun dan mentadbir Pattani dengan baik. Pembangunan, sosial dan ekonomi masyarakat Melayu Pattani bukan sahaja masih berada di takuk lama, bahkan semakin merosot. Hal pegawai Siam dan tahap pembangunan Pattani ini telah menimbulkan konflik yang mendalam didalam hati masyarakat Melayu Pattani memandangkan mereka membayar cukai kepada Siam dan Pattani sendiri yang kaya dengan sumber alam, telah dieksploitasi semaksimum mungkin oleh kerajaan Siam, tanpa hasil itu dapat dinikmati oleh warga Pattani sendiri. Semenjak penghapusan pemerintahan Kesultanan Melayu Patani, orang-orang Melayu-Patani berada dalam keadaan tertekan dan daif. Seperti yang diungkap oleh W.A.R. Wood, Konsol British di Senggora, orang-orang Melayu telah menjadi mangsa sebuah pemerintahan yang ‘misgoverned’. 
Apabila Perjanjian Bangkok antara Thai dan Inggeris ditandatangani pada bulan Mac 1909, Patani diserap menjadi wilayah Thai secara rasmi. Kerajaan Thai telah membahagikan Patani kepada tujuh wilayah pentadbiran yang diperintah oleh pemerintah yang dilantik oleh kerajaan Thai di Bangkok. Walaubagaimanapun, wilayah-wilayah ini secara dasarnya masih dikuasai oleh para pembesar elit tradisional Melayu yang mempunyai kuasa autonomi.[17] Dalam erti kata lain, raja- raja mengekalkan autoriti dalam wilayah yang lebih kecil. Pada tahun 1899, Raja Chulalongkorn memulakan satu reformasi pentadbiran wilayah melalui Kementerian Dalam Negeri atau Mahatthai. Konsep pemusatan kuasa pusat  yang dikenali dengan nama Thesaphiban diperkenalkan pada tahun 1902 oleh Raja Chulalongkorn atau Rama V. Salah satu sebab beliau memperkenalkan dasar ini kerana mahu mengukuhkan kedudukan Wangsa Chakri. Perubahan yang paling mengejutkan di wilayah selatan adalah apabila pesuruhjaya  yang  dilantik telah mengambil alih kekuasaan dari raja-raja Melayu. Isu ini tertumpu kepada kutipan hasil cukai yang menjadi sumber utama pendapatan raja-raja Melayu. Ini menimbulkan konflik yang serius antara kedua belah pihak. Desakan dan aduan raja-raja Melayu tidak dipedulikan oleh kerajaan Thai di Bangkok.
Tambah mengeruhkan keadaan, lebih ramai pegawai berbangsa Thai di hantar ke selatan hingga menimbulkan masalah kepada golongan elit Melayu Patani. Kerajaan Thai telah meletakkan kawasan dominasi orang Melayu di dalam pentadbiran wilayah. Para birokrat Thai mula menggantikan pembesar-pembesar Melayu sebagai gabenor wilayah secara berperingkat berlandaskan sistem politik Thai. Menerusi sistem pentadbiran baru, golongan elit Melayu tidak dibenarkan untuk melibatkan diri dalam politik. Dari segi politik, satu- satunya cara untuk melibatkan dalam politik adalah menerusi perkhidmatan awam atau bertanding dalam pilihanraya. Namun, peluang untuk orang Melayu amat terhad dan terbatas. Oleh hal yang demikian kerana latar belakang pendidikan orang Melayu yang tidak mempunyai asas dalam sistem pendidikan Thai yang merupakan syarat utama.[18] Tindakan pemerintahan pusat yang tidak adil jelas menyebabkan timbulnya kekacauan hasil daripada perasaan ketidakpuasan hati rakyat Patani. Raja adalah lambang kemegahan orang-orang Melayu secara warisan, dasar yang diwujudkan untuk menghapuskan kedudukan Raja-raja Melayu sudah tentu akan menimbulkan perbalahan kerana orang-orang Melayu beranggapan runtuhnya Kesultanan maka runtuhlah sesebuah keagungan ketamadunan.
KETIDAKSEIMBANGAN PENTADBIRAN KERAJAAN PUSAT
            Seperti yang kita semua sedia maklum, pegawai-pegawai yang dihantar bertugas di Patani terdiri daripada mereka yang tidak berintegriti dan mempunyai agenda kotor yang tersendiri. Hal ini dapat dilihat apabila terdapat pegawai yang membunuh dan merogol dengan sesuka hati.[19] Wilayah selatan Thailand masih lagi ketinggalan dalam aspek pembangunan  sosial dan ekonomi berbanding di kawasan tengah Thailand iaitu Bangkok walaupun rakyat Pattani dipaksa membayar cukai atas alasan untuk pembangunan seluruh negara.[20] Dari segi perspektif ekonomi pula, Wilayah Pattani merupakan anatara wilayah yang paling mundur dalam Thailand. Hal ini disebabkan pembahagian dana kewangan yang tidak adil oleh kerajaan Pusat kerana dipengaruhi sentiment keagamaan dan perkauman. Hal ini dapat dibuktikan dengan pelebaran jurang diantara penduduk luar bandar di daerah lain berbanding Patani. Purata pendapatan ekonomi penduduk luar bandar lebih tinggi iaitu purata pendapatan penduduknya ialah 2169 Baht berbanding 568 Baht sahaja bagi penduduk Muslim Pattani.[21]

            Dalam bidang kesihatan pula, hanya 50 orang doktor sahaja ditugaskan untuk mengawal selia kesihatan penduduk yang berjumlah hampir 1 juta orang. Oleh hal yang demikian, masalah kesihatan kian meruncing kerana tempoh rawatan yang lama disebabkan oleh kekurangan kakitangan kesihatan. Rangkuman analisis ketidakseimbangan inilah merupakan salah satu faktor perasaan tidak puas hati terhadap pemerintahan pusat sentiasa berlaku.
KESIMPULAN
            Konklusi yang dapat dibuat hasil daripada pemerhatian terhadap faktor-faktor pentadbiran pusat terdapat dua kata kunci utama iaitu paksaan dan ketidakadilan. Faktor paksaan melalui dasar-dasar yang diamalkan seperti Thesapiban dan Rathaniyom yang mana masyarakat Muslim Patani harus tunduk patuh. Agama Islam tergadai, bahasa Melayu dipandang enteng serta Raja Melayu dihapuskan menunjukkan petanda kebiadapan pemerintahan pusat terhadap mereka. Faktor ketidakadilan pula bagaimana pentadbiran pusat dan wakil-wakil yang dihantar tidak pernah memahami suara keluh mereka, kelebihan diberikan kepada orang-orang beragama Buddha dan berbahasa Thai. Maka penjelasan bernas dapat dibuat ialah masalah Melayu Muslim di Selatan Siam sememangnya berpunca daripada ketidakadilan pentadbiran pusat dan wakilnya di selatan yang tidak sensitif dengan norma hidup masyarakat Muslim ini.




BIBLIOGRAFI
Ahmad Fathy al-Fatani, Penghantar Sejarah Patani, 1994, Pustaka Darussalam.

Ahmad Omar Chapkia, Peradaban Melayu Timur Laut, 2003, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

A. Bangnara, Patani Dahulu dan Sekarang, 1977, Bangkok: Panel Penyelidikan Angkatan Al-Fatani.

D.G.E. Hall, Sejarah Asia Tenggara, 1971, Kuala Lumpur: Dewan Bhasa dan Pustaka.

Ibrahim Syukri, Sejarah Kerajaan Melayu Patani, 2002, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

M. Zambri A. Malek, Patani dalam Tamadun Melayu, 1994, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nantawan Haemindra. “The Problem of the Thai-Muslim in the Four Southern Provinces of Thailand, 1977.

Nik Anuar Nik Mahmud, Sejarah Perjuangan Melayu Pattani 1785-1984.2006. Bangi : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Surin Pitsuwin, Islam di Muangthai, Nasionalisme Melayu Masyarakat Patani, (terjemahan Hasan Basari dari Islam and Malay Nasionalism : A Case Study of Malay Muslims of Southern Thailand), LP3ES, 1989, Jakarta.

Syed Serajul Islam, The Politics of Islamic Identity in Southeast Asia. 2005 Singapore: Thomson Learning.



[1] M. Zambri A. Malek, Patani dalam Tamadun Melayu, 1994, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 12.
[2]  Ahmad Fathy al-Fatani, Penghantar Sejarah Patani, 1994, Pustaka Darussalam. Hlm. 101.
[3]  Ibid, Hlm. 104.
[4]  Ibid, Hlm. 74.
[5]  Surin Pitsuwin, Islam di Muangthai, Nasionalisme Melayu Masyarakat Patani, (terjemahan Hasan Basari dari Islam and Malay Nasionalism : A Case Study of Malay Muslims of Southern Thailand), LP3ES, 1989, Jakarta. Hlm. 77.
[6]  Mohd. Zambri A. Malek, Umat Islam Patani Sejarah dan Politik, 1993, Shah Alam : Penerbit Hizbi, Hlm. 12.
[7] Nik Anuar Nik Mahmud, Sejarah Perjuangan Melayu Pattani 1785-1984.2006. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. hlm.55.
[8] Ibid. Hlm. 53.
[9] Syed Serajul Islam, The Politics of Islamic Identity in Southeast Asia. 2005 Singapore: Thomson Learning hlm. 83.
[10] Ahmad Fathy al-Fatani, Penghantar Sejarah Patani, 1994, Pustaka Darussalam. Hlm. 74.
[11]  Ibrahim Syukri, Sejarah Kerajaan Melayu Patani, 2002, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 65.
[12]  Ahmad Omar Chapkia, Peradaban Melayu Timur Laut, 2003, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 311.
[13] Nik Anuar Nik Mahmud, Sejarah Perjuangan Melayu Pattani 1785-1984.2006. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. hlm. 35.
[14] M. Zambri A. Malek, Patani dalam Tamadun Melayu, 1994, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 235.
[15] Ibid, Hlm. 236.
[16]  A. Bangnara, Patani Dahulu dan Sekarang, 1977, Bangkok: Panel Penyelidikan Angkatan Al-Fatani. Hlm. 53.
[17] Nantawan Haemindra. “The Problem of the Thai-Muslim in the Four Southern Provinces of Thailand, 1977. Hlm. 200.
[18]  D.G.E. Hall, Sejarah Asia Tenggara, 1971, Kuala Lumpur: Dewan Bhasa dan Pustaka. Hlm. 973.
[19]  A. Bangnara, Patani Dahulu dan Sekarang, 1977, Bangkok: Panel Penyelidikan Angkatan Al-Fatani. Hlm. 54.
[20]  Syed Serajul Islam, The Politics of Islamic Identity in Southeast Asia. 2005 Singapore: Thomson Learning hlm. 82.
[21]  A. Bangnara, Patani Dahulu dan Sekarang, 1977, Bangkok: Panel Penyelidikan Angkatan Al-Fatani. Hlm. 75.